BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Isnin, 12 Oktober 2020

Di mana makam Alexander the Great?


Alexander the Great merupakan seorang pemimpin ulung empayar Macedon yang dianggap sebagai kalau bukan yang terunggul, salah seorang general perang terhebat dalam sejarah.

Menaiki takhta pada usia 20 tahun, beliau menghabiskan tempoh pemerintahannya dengan meluaskan kuasa ke barat Asia dan timur laut Afrika. Menjelang usianya 30 tahun, Alexander berjaya membentuk empayar terbesar dunia sebelum Masihi apabila wilayah jajahannya meliputi dari Greece sehingga ke barat laut India.

Sepanjang itu, dari peperangan pertama pimpinannya di Chaeronea pada 338 SM hingga penaklukan Multan pada 325 SM, Alexander melakar rekod bersih tidak pernah kalah dalam satu pun pertempuran. Namun dua tahun kemudian Alexander tewas dengan kuasa tuhan, mangkat di Babylon pada usia muda 32 tahun.

Sebab kematiannya tidak begitu jelas; ada yang mengatakan beliau diracun, ada pula teori mendakwa beliau diserang demam malaria atau kepialu. Tidak kurang juga yang mengatakan kematiannya kesan daripada tabiatnya yang kuat minum serta luka perang yang melarat.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Alexander sempat meminta supaya tubuhnya dimakamkan di kuil Zeus Ammon di Siwa Oasis. Beliau yang juga mahu digelar sebagai anak Zeus Ammon, tidak mahu dikebumikan di samping ayahnya, Philip II di Aegae (kota purba yang terletak dekat dengan pekan Vergina di utara Greece hari ini). Bagaimanapun, permintaannya itu tidak dikabulkan.

Pedati yang membawa keranda Alexander the Great. Gambaran kurun ke-19 berdasarkan catatan sejarawan Greek purba, Diodorus Siculus. (foto: Wikipedia)

Tubuh Alexander dipercayai disemayamkan di dalam keranda emas berukir yang diisi madu. Semasa perarakan persemadiannya dalam perjalanan ke Macedon pada 321 SM, pedati yang membawa kerandanya dirampas oleh salah seorang jeneralnya, Ptolemy I Soter di Syria. Ptolemy membawa keranda Alexander dan mengebumikannya di Memphis, pusat pemerintahan Alexander di Mesir.

Pada lewat kurun ke-4 atau awal kurun ke-3 SM, tubuh Alexander dipindahkan dari Memphis ke Alexandria oleh pemerintah Mesir, Ptolemy II Philadephus selepas mendapat jawapan positif daripada oracle. Pada 274 SM, tubuh Alexander disemayamkan di sebuah perkuburan awam di Alexandria oleh Ptolemy Philopator.

Kewujudan dan keberadaan makam Alexander II Macedon itu diceritakan menerusi catatan lawatan sosok-sosok pemimpin besar dalam sejarah lampau. Pengasas Empayar Rom, Julius Caesar datang menziarahi makam tersebut pada tahun 48 SM dan kemudian oleh Augustus Caesar. 

Augustus Caesar melawat makam Alexander di Alexandria. Lukisan oleh Sébastien Bourdon, 1643. (foto: Wikipedia)

Ia juga menjadi mangsa eksplotasi dan kecurian oleh Cleopatra, yang didakwa mencuri emas dari makam tersebut untuk membiayai angkatan Mark Antony menentang Augustus. Pemerintah Rom yang gila, Caligula juga dikatakan telah mencuri perisai dada dari tubuh Alexander untuk kegunaan sendiri. 

Pada sekitar 200 AD, Septimius Severus telah menutup makam itu kepada khalayak umum. Anaknya yang juga pewaris takhta Empayar Rom, Caracalla, yang juga merupakan pengagum Alexander, meneruskan usaha menjaganya malah mencari semula barangan yang telah dicuri dari makam tersebut.

Beberapa tokoh lain seperti Ibn Abd Al-Hakam (lahir 803 AD), Al-Mas'udi (lahir 896 AD) dan Leo Africanus (lahir 1494) berdasarkan catatan mereka pernah melihat makam Alexander the Great. Leo Africanus menulis:

"Di celah runtuhan Alexandria, masih ada tinggalan kecil, seperti chapel, dapat dilihat sebagai sebuah makam luar biasa yang dihormati orang Mahomet; di mana di situ, tegas mereka, bersemayam Alexander Agung... Ramai orang asing berkunjung ke sana, bahkan dari negara-negara yang jauh, demi memuja dan memberi penghormatan kepada makam tersebut, di mana sejumlah derma juga disumbangkan."

Kali terakhir penampakan makam Alexander adalah daripada catatan lawatan pengembara British, George Sandys yang datang ke Alexandria pada 1611. Selepas itu, butiran mengenai makam tersebut semakin pudar.

Sejak itu, Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir mengenal pasti lebih 140 percubaan untuk mencari makam Alexander. Cendekia Mesir, Mahmoud el-Falaki (1815-1885) yang mengumpulkan peta Alexandria purba, percaya makam Alexander berada di tengah-tengah kota itu, di persimpangan antara Horreya Avenue dan sebatang jalan purba yang dilabel R5.

Peta Alexandria 2015. Makam Alexander dipercayai berada di lokasi yang ditandakan nombor #7. (foto: Wikipedia)

Pada 1850, seorang penterjemah bernama Ambroise Schilizzi mendakwa yang mayat Alexander dan makamnya berada di dalam Masjid Nabi Daniel di Alexandria. Kemudian suatu hari pada 1879, seorang pekerja secara tidak sengaja menebuk sebuah bilik berkunci bawah tanah di bawah masjid tersebut. Beberapa monumen granit kelihatan, tetapi dinding tersebut segera ditampal semula dan pekerja itu diarahkan untuk tidak menceritakan tentangnya kepada sesiapa. Sembilan tahun kemudian, permohonan ahli arkeologi German bernama Heinrich Schliemann untuk mengekskavasi dasar Masjid Nabi Daniel ditolak.

Dalam satu episod siri televisyen Mystery Files di National Geographic Channel pada 2011, Andrew Chugg, seorang pengkaji makam Alexander mendakwa bahawa tubuh maharaja Macedon itu telah dicuri dari Alexandria oleh pedagang Venice yang mempercayai ia adalah milik Saint Mark the Evangelist, lalu menyimpannya di Basilica Cattedrale Patriarcale di San Marco.

Dunia arkeologi turut digemparkan pada 2014 apabila satu set rangka manusia ditemui di sebuah permakaman purba zaman Alexander di Amphipolis dekat wilayah Macedonia, Greece. Bagaimanapun, penggalian dan pemeriksaan lanjut terhadap rangka itu bersama segala penemuan lain merumuskan bahawa ia adalah milik sahabat karib Alexander, Hephaestion.

Sehingga hari ini, usaha mencari makam dan peninggalan maharaja dan jeneral perang teragung dunia purba itu masih diteruskan.

*Gambar muka: The Death of Alexander the Great. Lukisan Karl von Piloty (1886).

*Sumber: Wikipedia, Factpoint

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu