Pencuci muka yang dijual di pasaran hari ini diperbuat daripada pelbagai jenis bahan. Ada yang baik untuk kulit muka, namun tidak kurang juga bahan kimia yang membawa mudarat.
Penting untuk mengetahui apa kandungan pencuci yang mahu kita gunakan, lebih-lebih lagi kepada mereka yang memiliki kulit muka sensitif. Kalau pun jenis kulit muka yang tidak sensitif, dinasihatkan agar anda elak daripada membeli pencuci muka yang mengandungi bahan-bahan ini:
1. Wangian
Wangian asli atau buatan, kedua-duanya boleh mendatangkan gatal atau rasa tidak selesa pada kulit muka. Wangian adalah salah satu penyebab utama contact dermatitis, sejenis keadaan di mana kulit jadi kemerahan dan meradang apabila disentuh sesuatu bahan.
Wangian buatan diperbuat daripada campuran bahan kimia seperti pengawet yang merosakkan kulit anda. Ia juga boleh mencetuskan ekzema, dek tindak balas bahan kimia dalam pencuci itu dengan kulit kita.
Lebih baik memakai pencuci muka bebas wangian. Orang tak bau pun wangi ke tidak muka kita.
2. Paraben
Paraben adalah sejenis bahan kimia yang digunakan sebagai pengawet dalam produk penjagaan muka untuk memanjangkan jangka hayatnya. Bahan ini mencegah pertumbuhan kulat dan mikroorganisma seperti bakteria di dalam sesuatu produk itu.
Selalunya paraben ada dalam produk solek dan pelembab wajah. Ada yang kata ia tidak mendatangkan risiko kepada kesihatan kulit muka dan selamat digunakan. Namun lama-kelamaan apabila digunakan berpanjangan, ia akan meresap masuk ke dalam kulit dan seterusnya ke dalam tubuh.
Paraben ditemui dalam sel kanser payudara, walaupun belum ada lagi kajian yang membuktikan kebenaran hubung kait penyakit itu dengan bahan kimia itu.
Pada masa sama, ia juga membawa kesan kepada kestabilan penghasilan hormon apabila ia menyerupai estrogen, hormon yang penting dalam sistem zuriat wanita. Apabila paraben ada, badan akan kurang menghasilkan estrogen lantas menyumbang kepada ketidaksuburan.
Antara paraben yang sering digunakan adalah butylparaben, propylparaben, methylparaben, dan isobutylparaben. Kalau ada, elakkan membelinya.
3. Formaldehyde
Lebih kurang paraben, ia berperanan untuk menghalang kulat dan bakteria merosakkan kandungan produk. Kalau anda masih ingat dalam kelas sains di sekolah dahulu (memang tak lah), formaldehyde dalam bentuk cecair digunakan untuk mengawet mayat.
Menurut Agensi Antarabangsa bagi Kajian Kanser, pendedahan lama kepada bahan kimia ini boleh menyebabkan kanser. Walaupun syarikat pembuat mengatakan kandungan formaldehyde dalam produk mereka hanyalah sedikit, pencuci muka ini bukan dipakai setahun sekali.
Ramai juga pakar berpendapat bahawa formaldehyde ini sepatutnya tidak digunakan langsung dalam produk kosmetik dan penjagaan muka. Bahaya.
4. Phtalates
Nak menyebutnya pun sakit, apatah lagi untuk meletakkannya pada wajah. Kesannya memang bukan serta merta, tetapi bila didedahkan dengan kerap memang ada kesan buruknya.
Bahan kimia ini lazim digunakan untuk melembutkan plastik. Phtalates juga selalu terkandung dalam wangian yang diletakkan dalam produk kosmetik untuk membuatkan baunya kekal melirik.
Kata FDA, phtalates yang terkandung dalam produk muka tidak berbahaya walaupun dalam kandungan yang banyak. Tapi bahan kimia ini diketahui sebagai pengganggu penghasilan endokrin, kacau hormon.
Untuk mengesan keberadaan phtalates ini agak payah, memandangkan banyak syarikat pengeluar tidak menyenaraikannya di label belakang produk mereka. Mahu selamat, cari produk yang jelas tertulis 'bebas phtalates'.
5. Alkohol
Ya, benda yang paling lazim dalam apa sahaja produk kecantikan dan penjagaan muka kerana fungsinya yang versatil, bermacam. Antaranya sebagai pengawet, atau membantu produk mengering dengan cepat apabila disapu pada kulit, juga membantu merapatkan liang-liang roma.
Dari situ jelas ia bersifat mengering, maka ia berupaya menyebabkan kulit kita menjadi kering. Lebih buruk lagi, alkohol berlebihan dalam produk mengenai kulit kita yang sensitif boleh mendatangkan keradangan. Alkohol seperti ethanol, isopropanol, dan propanol adalah penyebabnya, yang sering ditemui dalam toner, sabun dan pencuci.
Bagaimanapun kajian menunjukkan bahawa alkohol berlemak seperti stearyl, cetearyl dan cetyl adalah selamat untuk kulit. Alkohol jenis ini kurang merengsakan kulit pada masa sama membawa khasiat. Ia bertindak sebagai pengimulsi, di mana ia mengekalkan kandungan cecair dan minyak bersama dalam produk seperti pelembab dan krim pelindung sinar matahari.
*Nota: Gambar muka sekadar hiasan.
*Sumber: Insider