BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 13 Oktober 2020

#PlaylistRANCAK - 5 lagu yang meniup semangat anda di pagi hari!

Selamat pagi!

Tak semua orang boleh ucapkannya dengan penuh semangat. Tidak perlu meninggi suara, cukup dengan ungkapan yang bermakna dari mata dan senyumannya.

Biasalah, mood pagi hari. Tidak dinafikan kita semua pernah merasa sugul, bebal, lemau dan segala yang negatif itu, dari kecil sampai lah ke usia hari ini. Tak apa sesekali, tapi bahaya kalau ia berlanjutan atau dilanjut-lanjutkan.

Apatah lagi bila work from home, lebih mudah bermalas-malasan dan menangguh kerja. Bahayaaa, dan perlu ditangani sebaiknya.

Sambil cuba mencari ikhlas dalam bangkit di waktu pagi demi apa sahaja tanggungjawab yang perlu dilunaskan, ini saya cadangkan supaya anda dengar lima lagu ini untuk menaikkan semangat anda!


1. Here Comes The Sun - The Beatles

"Here comes the sun, du du du du~". Tenang sahaja, namun menginspirasikan. Sesuai untuk dijadikan lagu pertama yang anda dengari sebagai pemula hari.

George Harrison menulis lagu ini pada suatu petang Julai 1969 ketika melepak di taman rumah kawannya, Eric Clapton. Lagu legenda ini dimuatkan dalam Abbey Road, album kesebelas kugiran yang turut dianggotai oleh John Lennon, Paul McCartney dan Ringo Starr.



2. I Am The Best - Phir Bi Dil Hai Hindustani

Begitulah mesej lagu ini: sentiasa fikirkan anda adalah yang terbaik dan tiada siapa boleh meruntuhkan semangat anda untuk berjaya dan bahagia!

Lagu pop Hindi ini salah satu daripada nada yang menghiasi filem komedi thriller tahun 2000 dibintangi tidak lain tidak bukan, Shah Rukh Khan. Tapi bukan dia yang nyanyi, sebenarnya suara dalam lagu ini milik Abhijeet Bhattacharya.



3. Selamat Pagi Sayang - Noorkumalasari

Siapa tak bergoyang mana-mana anggota badannya walau satu hun apabila mendengar lagu ini, mustahil. Rentak rancaknya pasti menekan sedikit kelenjar dopamin anda, cukup untuk membuatkan deria jadi segar dan sedia untuk menempuh hari.

Lagu ini antara yang dimuatkan dalam album ketiga Noorkumalasari, Aku dan Dunia Seni diterbitkan oleh S.Atan pada 1980. Teringat zaman-zaman anak muda naik bas mini nak pergi kerja.



4. Perdoa - Paulinho da Viola

Kalau teringin nak rasa bagaimana agaknya rasanya matahari pagi di wajah ketika berjalan menyusuri pantai Copacabana, inilah lagunya. Rentak samba tenang membangkitkan perasaan bahawa hidup itu cukup indah, rugi untuk kita siakan dengan mood sugul.

Perdoa, yang bererti 'maafkan' dalam bahasa Portugis ditulis dan digubah Paulinho sebagai lagu kelima dalam album studio kelapannya berjudul Memórias Cantando (Memori Nyanyian), serentak dengan album kesembilannya Memórias Chorando.



5. Le temp de la rentrée - France Gall

Sesuai dengan judulnya yang bermaksud 'Waktu kembali ke sekolah', ia sedikit sebanyak mengembalika semangat kita semasa kecil mahu ke sekolah dahulu. Rentak a go-go Perancis ini mungkin boleh membantu anda melangkah bersama khalayak berpusu keluar masuk tren mahupun supaya kekal peka ketika memandu dalam kesesakan waktu puncak.

Dendangan penyanyi petite France Gall ini diterbitkan sebagai EP (extended play) pada 1965 kemudian dimuatkan dalam album Baby pop pada tahun berikutnya.



Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu