BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 1 Oktober 2020

Kenapa nama dia Teddy Bear?


Teddy bear. Apa sahaja bentuk, rupa dan warnanya permainan patung beruang itu, tetap kita panggil sebagai Teddy Bear. Dari dahulu memang tak ada nama lainnya.

Siapa Teddy? Mana datang nama Teddy? Ceritanya bermula nun di Mississippi, Amerika Syarikat pada suatu November tahun 1902.

Presidennya ketika itu, Theodore Roosevelt bersama orangnya masuk ke hutan untuk memburu beruang atas jemputan Gabenor Mississippi, Andrew H. Longino. Sehari suntuk mereka berburu sehingga semua orang sudah ada bunuhan, kecuali Roosevelt yang tembakannya masih belum mengena.

Untuk legakan hati bosnya, Holt Collier bersama beberapa orang konco-konconya pergi mendapatkan seekor beruang, menangkapnya dan diikat pada sebatang pohon willow supaya dapat ditembak Roosevelt. Namun, presiden itu menolak atas sebab tidak bersemangat kesukanan, tak nak main tipu lah senang cerita. (Tapi diceritakan yang Roosevelt mengarahkan supaya beruang itu dibunuh untuk 'menamatkan kesengsaraannya').

Cerita itu dipungut oleh seorang kartunis Clifford Berryman dan diterbitkan di The Washington Post pada 16 November, menjadi topik kartun politik yang popular. Pada mulanya beruang hitam dilukis dengan saiz dewasa, tapi pada edisi-edisi seterusnya beruang jadi semakin kecil dan comel.

Ini dia kartun Berryman untuk The Washington Post bertajuk 'Drawing The Line in Mississppi' terbitan 16 November 1902. (foto: Wikipedia)

Morris Mitchtom tertarik dengan lukisan Berryman itu dan terilham untuk menghasilkan sejenis patung lembut berbentuk beruang kecil yang disumbat kapas di dalamnya. Ia mula digantung di kedainya untuk jualan dengan label 'Teddy's Bear', yakni 'Teddy punya beruang'.

Kenapa bukan Roosevelt's bear ke, atau Theodore's bear? Nama Roosevelt memang panggilan pendak dan manjanya Teddy (macam Muhammad jadi Mat, Mansur jadi Chot). Malah, Mitchcom juga menulis kepada Presiden memohon kebenaran menggunakan namanya, dan diluluskan. Jualan hebat patung beruangnya itu membawa kepada penubuhan syarikat permainan kanak-kanak, Ideal Novelty and Toy Co.

Teddy bear yang original buatan Mitchcom pada awal 1900-an, milik cucu Theodore Roosevelt yang kini dipamerkan di Smithsonian Museum of Natural History. (foto:Wikipedia)

Pada masa sama juga, kebetulan ada seorang pencipta patung lembut di Jerman bernama Richard Steiff melalui syarikatnya Steiff menhasilkan sejenis patung beruang. Ia membuat penampilan pertamanya di Leipzig Toy Fair pada 1903 dan mendapat sambutan kurang memberangsangkan sehinggalah ada seorang Amerika membeli kesemua 100 patung yang dipamerkan malah memesan lagi 3,000 unit. 

Mungkin lelaki itu mengambil kesempatan dengan menjualnya dengan harga yang lebih mahal kepada pelanggan Amerika memandangkan permintaan di sana ketika itu sangat tinggi. Menjelang 1906 begitu, teddy bear ada di mana-mana - dibawa wanita, apatah lagi kanak-kanak, dan menjadi maskot kempen pemilihan semula oleh Roosevelt sebagai Presiden AS.

55PB, model anak patung beruang keluaran Steiff yang dipamerkan di muziumnya di Giengen au der Brenz, Jerman. (foto: Wikipedia)

Bagaimanapun, patung beruang keluaran Steiff tidak diletakkan nama, hanya nama modelnya 55PB jadi ia tidak mempunyai satu jenama untuk diingati umum. 

Maka selepas itu semakin ramai orang dan syarikat menghasilkan patung beruang dan walaupun ada yang diletakkan nama lain, di ceruk dunia mana pun, nama teddy bear juga yang dipanggil.

*Sumber: Wikipedia

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu