BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Jumaat, 23 Oktober 2020

Sejarah ringkas Sumeria, empayar pertama di dunia


Empayar pertama di dunia lahir di landskap yang panas dan tandus pokok dan batuan untuk binaan, tiada hujan untuk mengairi tanaman. Begitupun, bangsa Sumer membangunkan kota-kota pertama dengan seni bina menakjubkan dan populasi yang besar, dan segalanya dibina daripada lumpur. 

Peradaban Sumeria menghuni bahagian selatan wilayah yang hari ini dipanggil Iraq, di kawasan yang dipanggil Mesopotamia. Namanya berakar daripada bahasa Greek mesos bererti 'tengah' dan potamos bermaksud 'sungai, kerana lokasinya yang berada di antara dua sungai - Euphrates dan Tigris.

Sekitar 5,000 SM, orang Sumeria terawal membuat pengairan, empangan dan kolam takungan dari sumber air sungai bagi menyuburkan tanah penempatan mereka. Menggunakan tanah liat dan lumpur, mereka membina kediaman dan kuil yang bertingkat-tingkat.

Mereka mencipta roda tembikar untuk membentuk lumpur menjadi pelbagai peralatan kegunaan seharian. Daripada batuan tanah liat, orang Sumeria membangunkan kota pertama di dunia sekitar 4,500 SM.  

Taburan bandar-bandar di bawah empayar Sumeria. (foto: Wikipedia)

Di puncak tangga sosial adalah para pendita, sami dan agamawan yang dianggap sebagai bangsawan, kemudian diikuti para pedagang, seterusnya orang-orang tukang, petani dan di kelas terbawah, hamba sahaya. 

Empayar Sumeria terdiri daripada beberapa negeri bandar yang beroperasi seperti negara-negara kecil. Mereka terhubung dengan berkongsi bahasa dan kepercayaan spiritual, namun kekurangan dari segi kawalan berpusat. Antara bandar terawal adalah Uruk, Ur, dan Eridu.

Setiap satu bandar dikepalai oleh seorang raja yang bertindak juga selaku pendita dan pentadbir. Antara satu bandar dengan yang lain, mereka sering berperang, cuba untuk meluaskan kuasa masing-masing.  

Juga, setiap bandar ada tuhan penaung tersendiri yang dianggap sebagai pengasas penempatan mereka. Mereka membina ziggurat, binaan kuil berbentuk piramid bertangga sebagai kediaman tuhan mereka dan menjadi bangunan paling penting dalam sesebuah bandar itu.  

Ziggurat purba dekat pangkalan udara Ali, Iraq. (foto: Wikipedia)

Sekitar 3,200 SM, bangsa Sumeria mula meluaskan wilayah mereka. Dari roda membuat tembikar, mereka menerapkannya kepada pedati dan gerabak. Mereka membina bot daripada lalang dan pelepah daun pohon kurma dengan layar kain linen yang dapat membawa mereka lebih jauh di sungai dan laut.

Supaya tidak dilanda kekurangan bekalan, mereka membentuk rangkaian perdagangan dengan kerajaan sekitar yang sedang berkembang seperti Mesir, Anatolia dan Ethiopia. Emas, perak, lapis lazuli dan kayu gaharu antara barang dagangan utama ketika itu. Perdagangan juga mendorong penciptaan sistem tulisan pertama di dunia. 

Ia bermula sebagai sebuah sistem mengira oleh para pedagang Sumeria. Beberapa ratus tahun kemudian, sistem piktogram yang dipanggil kuneiform itu berkembang menjadi skrip. Mereka menggariskan undang-undang bertulis pertama dan mencipta sistem persekolahan pertama untuk mengajar seni penulisan. Mereka juga mempelopori sistem birokrasi dan percukaian.

Di sekolah, para penulis mengaji sepanjang hari, dari kecil sehingga dewasa. Mereka belajar tentang akaun, matematik, dan menyalin teks sastera, syair, mitos, peribahasa, cerita dongeng, mantera magis dan kisah epik pada tablet tanah liat.

Tablet V daripada Epik Gilgamesh, dari zaman Babylon sekitar 2003-1595 SM. Disimpan di Muzium Sulaymaniyah, Iraq. (foto: Wikipedia)

Antara yang terukir adalah Epik Gilgamesh, kisah mitos tentang seorang raja Sumeria yang masuk ke hutan menentang raksasa dalam mencari rahsia kehidupan abadi. Ketika digambarkan sebagai manusia separa tuhan dengan kekuatan luar biasa, dipercayai Gilgamesh merupakan sosok sebenar yang merupakan raja kelima kerajaan Uruk yang hidup sekitar 2,700 SM.

Namun memasuki milenia ketiga SM, Sumeria bukan lagi satu-satunya empayar yang ada di dunia. Gelombang bangsa nomad mula menceroboh wilayah mereka dari utara dan timur. Pada 2,300 SM, Raja Akkad bernama Sargon menakluk bandar-bandar Sumeria.

Bagaimanapun, Sargon menghormati budaya Sumeria, malah orang Akkad dan Sumer hidup bersama selama beratus-ratus tahun selepas itu. Walaupun budaya Sumeria terus berkembang di bawah pentadbiran Assyria dan Babylon, serangan demi serangan akhirnya membunuh semua orang Sumer menjelang 1,750 SM. Sejarah mereka ditenggelamkan dan hanya ditemukan semula pada kurun ke-19.

*Sumber: Youtube TED-Ed, History, Wikipedia


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu