BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 22 Oktober 2020

Sloth, haiwan yang berak seminggu sekali


Ketika kepantasan dan ketangkasan menjadi nilai yang sering dipandang tinggi pada seseekor haiwan itu, sloth tetap dengan rentaknya. T e n a n g  s a h a j a

Malang sekali, sifat semulajadi sloth ini sudah sinonim dengan tabiat negatif. Dalam bahasa Inggeris, sloth dijadikan kata sifat kepada kemalasan. Walhal sloth bergerak perlahan bukan suka-suka, mereka memang diciptakan begitu.

Keperlahanan sloth ini ada kaitan relatif dengan dietnya yang rendah kualiti, di mana mereka memakan dedaun bertoksik yang membekalkan tenaga yang sedikit dan boleh mengambil masa berbulan untuk dihadam dengan baik. Dedaun tersebut tidak boleh dihadam dengan cepat kerana toksiknya akan membunuh sloth.

Maka sloth perlu banyak berehat kerana tenaganya banyak digunakan untuk proses penghadaman. Sekitar 60% waktu dalam sehari dihabiskan untuk berehat selepas makan. Lebih kurang macam kita terdampar selepas jamuan hari raya.

Walaupun sloth tinggal di atas pokok, mereka boleh berenang. Renangan mereka tiga kali lebih pantas daripada pergerakan mereka di luar perairan. Dibantu dengan keupayaan untuk memperlahankan degupan jantungnya, sloth boleh menahan nafas sehingga 40 minit di dalam air.

Tidurlah, apa lagi mau buat... (foto: Pixabay)

Kalau dah fizikalnya perlahan, begitulah juga pergerakan dalamannya. Mereka hanya akan buang air besar seminggu sekali, dan selalunya di tempat yang sama. Mereka tidak berak dari atas pokok, tetapi akan turun ke tanah untuk melepaskan hajat itu.

Bagaimanapun tulang empat kerat yang lemah menyebabkan dia lebih terdedah kepada para pemangsa apabila berada di atas darat. Itu pasal mereka tahan berak seminggu.

Di tangannya, nampak macam kuku yang panjang tapi sebenarnya tulang jari yang menonjol dari tapak tangannya. Tulang sepanjang empat inci itu diselubungi lapisan nipis keratin, bahan yang sama membentuk kuku dan rambut kita. Tulang jari ini memberikan deria sentuh yang sensitif untuk sloth, memandangkan mata mereka tak berapa nak tajam.

Sekarang sudah jadi fesyen berkuku panjang macam sloth. Ini baru influencer. (foto: Pixabay)

Hampir semua aktiviti sloth - kecuali buang air besar - dibuat di atas pokok. Makan, tidur dan melahirkan anak. Kerana itu organnya dicipta tuhan untuk berfungsi dengan baik dalam keadaan tubuhnya terbalik ketika bergayut pada dahan pokok. 

Sloth juga memiliki tulang belakang yang lebih berbanding haiwan bertulang belakang yang lain, membolehkannya menoleh kepalanya sehingga 270 darjah ke arah kiri dan kanan. Walaupun kurang pada kelajuannya, ada kelebihan lain tuhan berikan kepada makhluk ini.

Sudahlah perlahan, bulunya pula sangat lebat, menjadikannya habitat yang digemari oleh pelbagai alga dan kulat. Ia bukanlah sesuatu yang buruk buat sloth, malah ia membentuk satu hubungan yang bermanfaat untuk kedua-duanya - alga dan kulat mengekalkan kelembapan bulu sloth dan sebagai penyamarannya dari pemangsa yang lapar. Sloth juga diketahui memakan alga daripada kulitnya sebagai suplemen.

Lebih menakjubkan, kajian saintis pada 2014 mendapati ada sejenis fungus pada bulu sloth yang berpotensi untuk digunakan sebagai rawatan penyakit malaria dan kanser payudara.

Maka, janganlah kita ingat semua yang perlahan itu tidak bagus, masing-masing ada fungsinya. Sloth tidak pernah diminta mengikut rentak kuda belang atau haiwan selainnya, begitu jugalah manusia.

Laju-laju nak pergi mana?

Tapi bab buang air besar seminggu sekali sloth jangan diikut. Tak pasal masuk hospital nanti. Rancak TV peduli.


*Sumber: Lonely Planet, Wikipedia 

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu