BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Isnin, 16 November 2020

10 bandar tertinggi di dunia


Ketika kita membandingkan kota-kota di dunia, selalunya kita mengukur dari segi kebesaran, kekayaan, kehijauan, paling ramai dikunjungi, dan macam-macam lagi ciri. Namun jarang kita bandingkan kedudukan mana yang paling tinggi dari segi altitud.

Data ini hasil dapatan pengkalan data Suruhanjaya Eropah berkenaan pusat bandar, menggunakan set data Populasi Bandar oleh pakar geoinformatik, Thomas Brinkhoff. Penyenaraian melibatkan bandar-bandar dunia yang mempunyai populasi lebih daripada sejuta penduduk dan berada lebih daripada kedudukan 1,000 meter dari paras laut.

Berada di puncak senarai adalah bandar El Alto di Bolivia pada ketinggian 4,150 meter. Bersebelahannya adalah ibu kota La Paz yang berada 3,869 meter, dan gabungan dua kota itu membentuk metropolis paling tinggi di dunia. Malah, ia lebih tinggi daripada gunung Fuji yang berketinggian 3,776 meter.

Lebih 1,000 meter di bawahnya terletak ibu negara Ecuador, Quita di tempat kedua pada ketinggian 2,784 meter diikuti Toluca di Mexico pada 2,648 meter, seterusnya Cochabamba di Bolivia di kedudukan 2,621 meter dan Bogota, Colombia pada ketinggian 2,601 meter melengkapkan senarai lima teratas. Untuk pengetahuan anda, ia 100 meter di atas kota purba Machu Picchu di Peru yang berada pada ketinggian 2,430 meter.

Ini dia senarai penuh:



Daripada 10 bandar tertinggi, tiga daripadanya terletak di wilayah pergunungan Mexico sementara lima teratas berada bersebelahan dengan Pergunungan Andes. Begitu bergunung-ganang bentuk muka bumi Amerika Latin dicipta Tuhan.

Selalunya pembentukan sesebuah pusat populasi itu adalah yang dekat dengan paras laut di mana beradanya sumber air seperti sungai, tasik dan laut, bagaimanapun kebanyakan kota terutamanya di Amerika Selatan masih mengikut jejak langkah peradaban terdahulu untuk mendiami tanah tinggi.

Ibu kota Ethiopia, Addis Ababa menjadi bandar tertinggi di bumi Afrika pada kedudukan 2,361 meter dari paras laut. Sementara kota tertinggi di Asia adalah Xining, China pada kedudukan 2,299 meter. Hanya dua kota ini dalam senarai 10 teratas adalah bukan dari benua Amerika Latin. 

Amat menakjubkan apabila mengetahui ada peradaban yang dapat hidup di altitud tinggi, di mana kita yang datang dari tanah rendah ini boleh berdepan kesukaran bernafas. Bagaimanapun sebenarnya, kajian telah membuktikan bahawa hidup di altitud tinggi menyumbang kepada kesihatan kardiovaskular yang lebih baik serta kurang risiko angin ahmar atau kanser.

Hidup dalam keadaan yang kurang oksigen membentuk genetik yang menghasilkan lebih banyak salur darah untuk membawa lebih darah memandangkan nisbah oksigen:darah tidak sama seperti mereka yang hidup di tanah rendah.

Selain itu menurut laporan yang diterbitkan dalam Journal of Epidemiology and Community Health, berada lebih dekat dengan matahari mendedahkan penduduk kepada radiasi solar. Ia sekaligus membantu tubuh dalam menyerap dan memproses vitamin D yang sangat berkhasiat buat kulit, jantung dan dapat mencegah kanser.

Mungkin kerana itu bumi Amerika Latin melahirkan ramai pemain bola sepak yang dahsyat-dahsyat. Jantung mereka lain macam.


*Sumber: World Economic Forum, Science Daily


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu