Jerawat merupakan satu keadaan kulit yang terjadi apabila liang pori tersumbat dengan minyak, peluh dan sel-sel kulit mati. Selalunya melanda para remaja yang sedang meningkat usia, namun tidak kurang juga yang berlanjutan sehingga ke usia dewasa.
Apa yang menyebabkan jerawat? Watak utamanya adalah hormon endrogen yang terhasil dengan banyak terutamanya ketika seseorang lelaki atau wanita sedang melalui fasa akil baligh, menyebabkan kelenjar sebum membesar dan menghasilkan lebih banyak sebum/minyak.
Pemakanan yang tinggi karbohidrat boleh memburukkan jerawat. Pengambilan ubat yang mengandungi corticosteroid, testosterone dan lithium boleh merancakkan pertumbuhannya. Stress tidak menumbuhkan jerawat, tetapi bertindak sebagai 'baja'nya.
Tahapnya berbeza antara individu, ada yang sedikit dan ada yang sampai nak keluar rumah pun malu. Tetapi sekiranya dirawat awal dengan cara yang betul, masalah jerawat boleh dikawal dan dapat dirawat sepenuhnya.
Banyak ubat-ubatan untuk merawat jerawat di pasaran, tetapi jika sudah berputus harap dengan segala yang dijual di kedai, bolehlah cuba penawar yang boleh didapati di dalam almari atau rak dapur anda.
1. Minyak pokok teh
Orang putih panggil tea tree oil. Ia diperakui berkesan kerana minyak pokok teh mengandungi ciri-ciri antimikrobial yang dapat mengurangkan kewujudan bakteria penyebab jerawat pada kulit.
Dalam satu reviu pada 2015 oleh International Journal of Microbial Agents menemukan bahawa kesannya sama seperti ubat larutan 5% benzoyl peroxide dan gel 2% erythromycin.
Macam mana nak guna? Sebenarnya bukan boleh terus sapu minyak ekstrak pokok teh kerana ia boleh menyebabkan kerengsaan. Ia perlu dicarkan dengan minyak karier seperti contoh minyak jojoba.
Campurkan 3-4 titis minyak pokok teh dengan sesudu kecil minyak jojoba sebelum disapu pada tempat yang berjerawat.
2. Aspirin
Selalunya aspirin diambil untuk meredakan sakit, tapi anda boleh hancurkannya dan jadikan pes untuk disapu pada kulit berjerawat. Aspirin mengandungi asid acetylsalicylic, bahan kimia yang ada kaitan dengan asid salicylic yang terkandung dalam ubat-ubatan jerawat.
Ia mempunyai ciri anti keradangan yang baik, yang boleh merawat kemerahan dan bengkak. Bagaimanapun, aspirin tidak berupaya untuk menyingkirkan sebum seperti asid salicylic.
Cara gunanya, hancurkan 2-3 pil aspirin menjadi serbuk dan adun dengan air sehingga menjadi pes. Sapu pada jerawat dan biarkan selama 10-15 minit sebelum dibilas.
3. Suplemen zink
Zink (bukan atap rumah itu) boleh meredakan keradangan dan kemerah-merahan pada kulit. Pada masa sama, ia berupaya menurunkan kadar penghasilan minyak oleh kulit kita, sesuai untuk orang kulit berminyak.
Walaupun jerawat anda banyak, tak bermakna boleh makan suplemen zink banyak. Doktor menyarankan supaya anda mengambil antara 8-11 miligram dan tidak melebihi 40 miligram sehari.
4. Madu manuka
Sejak sekian lama manusia menggunakan madu sebagai penawar masalah kulit, namun ukan sembarangan madu untuk merawat jerawat dan masalah kulit lain dengan efektif.
Madu manuka, madu yang dihasilkan daripada tumbuhan yang terdapat Australia dan New Zealand masyhur kerana ciri-ciri anti bakterianya. Semua madu adalah anti bakterial, tapi madu manuka adalah 100 kali lebih berkesan dalam melawan bakteria berbanding madu lain. Selain itu, ia juga berupaya merawat keradangan dan kesakitan pada kulit.
Cara guna, ambil sedikit dan sapukan pada kulit bermasalah. Kalau pekat sangat boleh dicampur dengan air. Tapi ketahuilah bahawa madu manuka adalah mahal.
5. Teh hijau
Selalu kita minum teh hijau untuk manfaat kesihatannya, tapi ia juga baik untuk kulit. Ini kerana ia mengandungi polyphenol yang boleh membunuh bakteria dan meredakan keradangan.
Sebuah reviu terhadap enam kajian pada 2017 mendapati bahawa menyapu losyen yang mengandungi 2-5% ekstrak teh hijau dapat menurunkan kadar penghasilan minyak oleh kulit.
Caranya, buat air teh hijau pekat dengan merendamnya ke dalam air panas dan tunggu sehingga sejuk. Kemudian, gunakan kain atau kapas dan tekap-tekap ke kawasan berjerawat.
Cuba dahulu semua saranan ini dalam tempoh 2 hingga 4 minggu. Kalau tak mendatangkan kesan malah kalau semakin memburuk, pergilah dapatkan rawatan profesional daripada dermatologis.
*Sumber: Insider, Mayoclinic