BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 3 November 2020

9 jenis manusia toksik di tempat kerja & cara menanganinya


Kita ingat bila kita sudah lepas zaman dan kolej, manusia sekeliling kita juga membesar dan tiada lagi perangai-perangai bodoh seperti membuli dan mengejek. Malang sekali tidak, malah sifat-sifat negatif ini tetap wujud dalam bentuk yang lebih 'matang'.

Manusia-manusia toksik ini pun membesar dan memasuki alam pekerjaan. Kalau anda bernasib malang, berkongsilah satu pejabat dengan mereka. Lama-lama, boleh jadi kita akan dirosakkan dan budaya kotor itu merebak sehingga menjadi satu kebiasaan di pejabat.

Sebelum terlambat, kenal pasti jenis-jenis manusia tak sihat di tempat kerja dan bagaimana untuk mengatasinya.


1. Kaki 'sailang'

Kita punya pulun kerja keras nak siapkan sesuatu projek, kemudian sampai peringkat yang kita sudah 'barai' mental dan fizikal untuk selesaikannya di selekoh terakhir.

Sekali datang seorang manusia 'berhati mulia' menawarkan bantuan. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, kita pun terima dengan hati terbuka. Memang dia berjaya siapkan, dan siap hantarkan kepada bos. Rupanya dia cakap pada boss yang dia buat semuanya. 

Solusi: Maklum pada bos jika anda sedang mengerjakan sesuatu projek secara spesifik. Kalau ada orang lain nak tolong, tengok dulu latar belakang atau track recordnya.


2. Kaki mem'bawang'

Di mana-mana pun ada orang jenis ini. Suka cerita pasal orang lain, lebih parah adalah tentang cerita buruk orang. "Kau tahu tak si Milah tu bercinta dengan suami orang? Iyaaaa." Begitulah antara yang keluar dari mulut mereka.

Elok-elok kita tak tahu tentangnya, entah betul entah tidak kesahihannya, persepsi buruk itu sudah berada dalam minda kita. Ada pula yang percaya dengan gosip-gosipnya. Tak ke kesian si tertuduh difitnah.

Solusi: Cuba jauhkan diri. Kalau terpaksa dengar, cakap elok-elok dengan dia yang apa dia buat itu tidak baik. Kalau dia jenis yang tak boleh ditegur, jangan dilayan lagi.


3. Micromanager

Dia suruh kita buat kerja, tapi semua benda kena ikut cara dia. Bukan kita tak tahu macam mana nak buat, tapi dia tetap beri kita arahan itu ini. Sejenis tak percaya dengan stafnya.

Sudahnya, aturan kerja kita lari dari jadual, lama-lama boleh timbulkan perasaan benci dengan bos jenis begini.

Solusi: Telus dengan bos anda, beritahu dia yang perbuatan dia itu mengganggu perjalanan kerja anda. Tapi maklumkan padanya apa yang anda sedang kerjakan pada satu-satu hari itu.


4. Jenis orang kena faham dia

Ini agak payah sebab tak semua orang ada ilmu membaca fikiran dan isi hati orang lain. Tak kira sama ada rakan sepangkat atau bos, mesti ada yang mengharapkan kita faham apa yang dia mahu, atau kita faham dengan situasinya jika ada apa-apa kesulitan berlaku.

Kita bukan Profesor X, dan orang lain pun ada kerja lain yang lebih penting daripada nak faham dia seorang.

Solusi: Tanya, apa masalah dan apa sebenarnya yang dia mahu. Kita pun tak boleh harap semua orang faham keadaan kita, jadi kita kena beritahu atau tanya supaya segalanya jelas.


5. Pemalas

Kalau dia malas seorang diri tak apa, tapi kalau melibatkan kerja berkumpulan memang satu masalah. Tak dapat dinafikan semua orang mesti pernah rasa malas dan hilang semangat bekerja, tapi usah dibiar berpanjangan.

Sama ada dia seorang yang bagus tetapi lama-lama leka, atau memang sejak awal seorang yang kuat merungut tentang kerjanya, ini perlu diatasi.

Solusi: Kalau anda baik hati dan terpaksa demi kelangsungan kumpulan kerja, tanya padanya apa masalah yang sedang dihadapi. Kadang-kadang dia terlalu memikirkan banyak perkara sehingga kerjanya terganggu.

Kalau tak jalan juga, beritahu saja pada bos. 


6. Penikam belakang

Berhati-hati dengan manusia jenis ini. Depan-depan nampak mesra bersih mulia, tapi ketahuilah iblis juga boleh bersembunyi di balik penampilan yang suci. Memang ada orang yang suka tengok orang lain jatuh.

Memang tak semua yang baik dengan kita mahu tikam kita, tapi jaga-jaga dengan manusia bermuka-muka.

Solusi: Sentiasa berwaspada dan jangan terlalu percaya dengan orang yang kita tak berapa kenal hati budinya. Lebih-lebih lagi yang tiba-tiba jadi baik dengan kita. Mesti ada udang di sebalik mi.


7. Kaki jilat bos

Kita bekerja cukup tekun, capai matlamat yang disasarkan, hantar tugasan tepat pada waktunya, alih-alih orang yang kerjanya tak seberapa yang mendapat pengiktirafan - sebab dia baik dengan bos. 

Depan bos bukan main baik macam malaikat, dipuji-pujinya tinggi melangit. Kerana kita tak mengampu bos, kerja cemerlang kita ditutup dengan kehadiran manusia pengipas begini.

Solusi: Abaikan mereka. Kalau bos tak nampak kerja keras kita, ketahuilah Tuhan itu Maha Melihat. Lambat laun pasti ada rezeki kita dalam apa sahaja bentuk yang kita tak terduga.


8. Si gatal

Ia boleh bermula sebagai gurauan, tetapi bila ia berlarutan dan melarat menjadi gangguan. Lama-lama anda jadi takut untuk berdepan dengan orang-orang sebegini di pejabat. Sama ada lelaki atau perempuan, dunia hari ini kedua-duanya berisiko berdepan dengan gangguan seksual.

Solusi: Kalau ia mendatangkan rasa tidak selesa serta ancaman mental dan fizikal kepada anda, laporkan kepada bahagian sumber manusia (HR) pejabat anda. Jangan takut.


9. Jenis yang suka buat orang rasa bersalah

Kerja kita sudah siap, dan sudah sampai masa untuk kita pulang. Tiba-tiba sedang kita berkemas, ada pula orang nampak dan berkata, "takkan nak balik kot, awal lagi ni?"

Mereka akan mengatakannya dalam bentuk yang paling pasif-agresif, membuatkan kita rasa bersalah dengan tindakan kita untuk pulang awal walaupun semua kerja hari itu telah kita selesaikan.

Solusi: Jelaskan pada bos bahawa tugasan anda semuanya telah siap supaya tindakan anda balik awal itu tidak diragui. Pedulikan kata orang lain, kita tahu apa yang kita buat dan bos juga tahu.

*Sumber: Mashable.SEA

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu