BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 3 November 2020

Cara sebenar untuk elak pandemik global


Punca sebenar pandemik global adalah manusia yang tak reti nak jaga hutan dan hidupan liar, dengan memulihara kepelbagaian biologi atau biodiversiti.


Sebelum kita terpaksa buat penjarakan sosial dan juga pakai pelitup muka buat selama-lamanya, baik kita cegah sebelum terlambat.


Apa dia biodiversiti ni?


Menurut kamus, biodiversiti adalah kepelbagaian spesies tumbuhan dan haiwan dalam persekitaran semula jadinya.


Jadi dengan hampir tiada polisi yang utama untuk melindungi alam semula jadi kita, sekumpulan saintis memberi amaran bahawa dunia akan melalui satu lagi pandemik global seperti COVID-19.


Selama ini, kita diajar di sekolah untuk jaga alam sekitar dan menanam pokok kerana pokok-pokok itulah yang memberikan kita oksigen untuk bernafas dan mewujudkan keseimbangan alam sekitar.


Tetapi, apa yang kita saksikan semasa kecil, orang dewasa memusnahkan hutan untuk perladangan, memusnahkan biodiversiti dan habitat asal flora dan fauna.


Pokok habis ditebang untuk membenarkan samseng-samseng giat menjalankan penebangan hutan secara haram.


Foto: Kal Visuals @ Unsplash


Dalam satu artikel yang ditulis National Geographic pada 29 Oktober, seorang saintis iklim, Lee Hannah dari Conservation International menjelaskan, krisis COVID-19 ini dicetuskan oleh penebangan hutan.


“Tanpa strategi pencegahan, pandemik akan lebih kerap berlaku, merebak dengan lebih cepat, membunuh lebih ramai orang dan mempengaruhi ekonomi global dengan kesan yang lebih dahsyat daripada yang pernah berlaku sebelum ini,” kata Hannah.


Apa kaitan kemusnahan hutan dengan penyakit?


Laporan yang dikeluarkan Platform Polisi Sains Antara Kerajaan Terhadap Biodiversiti dan Perkhidmatan Ekosistem (IPBES), mendapati penyakit-penyakit yang kita hadapi kini dipanggil zoonosis.


Virus yang berasal dari mikrob yang hidup dalam hidupan liar boleh menjangkiti manusia seperti kelawar, burung dan tikus seperti virus COVID-19, HIV dan Influenza, begitu juga Ebola, Zika dan Nipah.


Foto: Georgy Trofimov @ Unsplash


Benda ni bukan baru, malah pada November 2019 lagi, para saintis sekali lagi memberi amaran bahawa peningkatan penebangan hutan akan memudahkan lagi penyebaran wabak penyakit seperti yang kita hadapi sekarang.


Hannah memberi perhatian khusus kepada hutan kerana  hutan mempunyai kepadatan biodiversiti yang tinggi dan aktiviti manusia akan meningkatkan pembawa penyakit. 


Kalau di China, punca kemungkinan besar disebarkan oleh kelawar di sebuah pasar di Wuhan, Hannah pula memberi contoh pada hutan Amazon di Brazil.


Hutan di Amazon ditebang untuk membina laluan ternakan, lembu, yang turut mampu menjadi perantara ataupun pembawa penyakit kepada manusia, apabila ia dijangkiti dengan spesis di hutan.


Kemusnahan habitat hidupan liar juga memaksa haiwan termasuk kelawar dan burung, berhijrah ke kawasan baharu, yang lebih dekat dengan manusia ataupun ternakan mereka.


Kerajaan negara masing-masing memainkan peranan sangat besar untuk memastikan pemuliharaan biodiversiti di tempat mereka dan daripada beratus-ratus negara yang wujud di muka bumi ini, hanya 30 negara yang berikrar untuk menyokong Campaign For Nature. 


Campaign For Nature bermatlamat untuk melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus hutan dan lautan di dunia menjelang 2030.


Pemimpin dunia harus berjanji untuk tidak memusnahkan lagi alam sekitar, terutamanya hutan, untuk mengelak satu lagi pandemik yang bakal memusnahkan kehidupan dan ekonomi secara global.


Saintis menjangkakan ada 1.7 juta virus yang belum ditemui dan ia hidup dalam mamalia dan burung, dengan lebih separuh mampu menjangkiti manusia, jadi bertindaklah sekarang.



Foto cover: Anne Nygard @ Unsplash


 


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu