BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 18 November 2020

Apa sebab Michael Jackson dari hitam jadi putih?


Siapa tak kenal Michael Jackson, The King of Pop. Antara sosok paling berpengaruh dunia pada abad ke-20 yang serba serbi ikonik baik suara, tarian dan fesyennya, memang tiada galang ganti. 

Karier MJ sebagai penyanyi dan penghibur bermula sejak kecil, ketika dia bersama empat abangnya membentuk The Jacksons 5 pada era 70-an. Apabila kehidupan berada di bawah lampu sorot sejak kecil, memang tak dapat lari daripada skandal seiring kemasyhurannya.

Salah satunya adalah perubahan warna kulitnya daripada gelap ke cerah. MJ yang dilihat menari bersama hantu-hantu kubur ketika era album Thriller pada 1982 sama sekali berbeza apabila terbitnya album HIStory pada 1995. Memasuki dekad 90-an, kulitnya sudah menjadi pucat secerah susu.

Adakah perubahan ini kerana MJ mahu lebih diterima khalayak khususnya masyarakat barat yang mengagungkan kulit putih berbanding warna kulit asalnya? Mungkin, tetapi menurut MJ sendiri dan keluarganya, dia menghidap sejenis masalah dipanggil vitiligo.

Vitiligo adalah keadaan di mana kulit hilang pigmen, atau depigmentasi, yang selalunya menyebabkan tompok-tompok cerah muncul dan kelihatan pada kulit. Tompok itu kelihatan lebih jelas terutamanya pada orang yang berkulit gelap. 1 daripada 250 orang di dunia ini menghidap vitiligo dan genetik itu wujud dalam keluarga Jackson.

1 daripada 250 orang di dunia ini menghidap vitiligo. (foto: Wikipedia)

Selain daripada masalah itu, MJ juga dilaporkan menghidap systemic lupus erythematosus (SLE), sejenis penyakit di mana sistem imun menyerang tisu organ tubuh dan mendatangkan keradangan dan kerosakan tisu organ terlibat termasuk kulit. Jadi ada dua penyakit yang didakwa menyebabkan kulit MJ memutih.

Selepas MJ membuat pendedahan dalam rancangan bual bicara Oprah pada 1993, perkara itu disahkan oleh dermatologisnya, Dr. Arnold Klein yang mengatakan bahawa MJ mula didiagnos menghidap vitiligo pada 1984. Tetapi tetap ada juga mereka yang merasakan ia tidak cukup dan mendakwa MJ meluntur kulitnya secara sistematik dengan menggunakan krim Benoquin dan pengambilan ubat-ubatan lain.

Ditambah dengan tabiatnya yang kerap menjalankan pembedahan kosmetik pada hidung (dari kembang menjadi tirus), kening, bibir menguatkan lagi dakwaan bahawa MJ dengan sengaja mahu mengubah dirinya menjadi orang putih. Jadi yang mana satu benar?

Dr. Christopher Rogers, doktor yang bertanggungjawab membuat bedah siasat terhadap mayatnya selepas kematian Raja Pop itu, mengesahkan bahawa memang MJ menghidap vitiligo yang tompoknya banyak menjejaskan kulit pada muka, dada, abdomen dan lengannya.

Tetapi bersama itu, adakah benar MJ melunturkan kulitnya? Menurut dermatologis bernama Dr. Hanish Babu, cara itu adalah antara bentuk rawatan untuk mereka yang menghidap vitiligo, supaya perbezaan tona kulit yang begitu ketara akibat penyakit itu dapat dikurangkan.

Ketika tompok-tompok putih mula muncul, kalau anda teliti betul-betul beberapa rakaman visual daripada konsertnya, boleh nampak MJ cuba menutup cela itu dengan solekan untuk disamakan dengan tona asal kulitnya. Apabila tompok itu semakin banyak dan sukar untuk ditutup dengan solekan, dia menukar strategi dan mula melunturkan kulitnya dengan krim Benoquin di bawah nasihat dan pengawasan doktor pakar kulitnya.

Selain daripada menjadikan kulitnya putih, kesan sampingan rawatan tersebut adalah kulitnya lebih mudah terbakar di bawah cahaya matahari. Sebab itu dia selalu kelihatan dalam keadaan berselubung apabila berada di luar terutama ketika matahari sedang terik.

Pada akhirnya, hanya dia dan tuhan sahaja tahu apa motif dan sebab di sebalik evolusi warna kulitnya. Tak kisahlah, hitam atau putih, hati mesti mau baik. Bak kata MJ sendiri, "It don't matter if you're black or white."


*Sumber: Today I Found Out, Wikipedia.


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu