BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 17 November 2020

Kenapa Popeye jadi kuat lepas makan bayam?


Siapa yang membesar menonton kartun Popeye The Sailor Man mesti pernah tertanya kenapa dia jadi kuat selepas memakan setin bayam. Ia sebenarnya adalah berdasarkan realiti, tapi tak ada lah sampai boleh tumbuk terajang orang terpelanting jauh.

Selain daripada Popeye, bayam memang sudah sekian lama dicanang sebagai sejenis 'superfood' kerana ia kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral yang bermanfaat untuk mata, otak, jantung dan banyak lagi. Memang tak ramai gemar sayur hijau, tapi inilah makanan yang dapat memastikan tubuh anda sihat dan bertenaga seperti Popeye.


1. Bayam mengandungi pelbagai jenis khasiat

Menurut Bahagian Agrikultur AS (USDA), satu cawan penuh bayam mentah sahaja mengandungi 24.8 miligram (mg) kalsium, 0.67 mg zat besi, 140 mg potassium, 7 mg vitamin C dan 19.8 mg sodium. 

Bayam juga mengandungi sedikit zink, folate, vitamin A, vitamin K karotin, lutein dan zeaxanthin - yang juga penting untuk memastikan tubuh berfungsi dengan baik. 


2. Bayam menjamin kesihatan otak

Sayur ini padat dengan kandungan antioksidan seperti vitamin A, lutein dan karotin yang sangat diperlukan dalam melambatkan proses kemerosotan otak disebabkan penuaan. Ada juga pembuktian bahawa bayam dapat merawat masalah kemurungan.

Dalam satu kajian pada 2018, saintis mengikuti pengambilan makanan dan menguji kebolehan kognitif sekumpulan subjek berusia atas 58 tahun. Nyata mereka yang mengambil bayam dalam diet setiap hari kurang mengalami kemerosotan fungsi kognitif.


3. Bayam boleh merendahkan tekanan darah

Sayur kegemaran Popeye ini juga adalah sumber nitrat, sejenis kompaun kimia yang dapat memperbaiki kelancaran pengaliran darah sekaligus merendahkan tekanannya. Ia meningkatkan penghasilan, tindakan dan fungsi nitrik oksida dalam badan yang membantu mengembangkan salur darah.

Kajian kecil pada 2015 memerhatikan kesan jangka pendek pemakanan sup bayam yang tinggi nitrat. Selepas tujuh hari memakan sup bayam itu, didapati subjek mengalami penurunan tekanan darah dan ketegangan urat berbanding kumpulan subjek yang makan sup asparagus.


4. Bayam boleh memperbaiki kesihatan mata

Sepertimana yang dimaklum tadi, bayam sangat tinggi kandungan lutein dan zeaxanthin, yang ditemui juga dalam mata kita, berfungsi melindunginya daripada dirosakkan cahaya ultraviolet.

Satu kajian pada 2006 membuktikan bahawa mereka yang mengambil makanan tinggi kandungan lutein dan zeaxanthin dalam diet mereka berdepan kurang risiko penyakit katarak nuklear. Ia adalah bentuk katarak paling lazim di mana selaput kelabu dan kuning membentuk apabila kita semakin menua.


5. Bayam dapat mengurangkan risiko anemia

Bila badan tidak dapat menghasilkan sel darah merah pada tahap yang diperlukan, keadaan itu dinamakan anemia. Ini berpunca daripada kekurangan zat besi untuk proses penghasilan itu.

Bayam adalah makanan yang diketahui sebagai antara sumber alam boleh dimakan yang paling tinggi kandungan zat besi. Maka ia sangat disarankan terutamanya kepada kanak-kanak yang sedang membesar, ibu-ibu hamil malah wanita biasa kerana hilang darah sewaktu proses haid.

Bagaimana cara hidangan bayam yang terbaik?

Macam-macam cara, boleh direbus, goreng, kukus atau dikisar menjadi minuman jus. Tapi para pengkaji mendapati lagi lama bayam didedahkan kepada suhu tinggi, ia akan semakin hilang kandungan lutein. 

Ikut lah selesa dan suka mahu diambil bagaimana. Janji makan.


*Sumber: Insider


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu