BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Ahad, 22 November 2020

#mataisrarkhalid : Persiapan Menjadi Seorang Pelakon


Tugas pelakon itu adalah mempamerkan semula perlakuan-perlakuan manusia untuk kita menimbang kembali baik buruk segala tindakan kita dalam hidup di dunia ini. Ertinya, menjadi pelakon bukan kerja mudah sebenarnya.

Dalam menjadi watak lain sepertimana yang dituntut naskhah, perlunya pelakon itu mengenal dirinya terlebih dahulu. Kalau tidak, hanyut dan rasa itu tidak sampai. Bila tak sampai rasa dan maknanya, ia kerja sia-sia.

Bayangkan berlakon ini, tidak kiralah di depan kamera atau di atas pentas, seperti pergi berperang. Seseorang itu perlu mempersiap dirinya bersedia untuk menggunakan senjata supaya peluru dapat tepat ditembak ke hati musuh. Senjata sang pelakon adalah seluruh tubuh dan mentalnya. Kalau dia sendiri tak kenal senjatanya, macam mana perjuangan itu mahu mencapai matlamatnya?

Maka persiapan menjadi seorang pelakon adalah satu proses yang sangat mustahak bukan sahaja dalam menjadi pemeran yang baik, tetapi lebih utama dalam membentuk peribadi sebagai seorang manusia. Bila kenal diri, kenal ruang dan kenal masa, mesej daripada watak yang dibawakan itu sampai dan terkesan kepada audiensnya. Dari situ, pemikiran yang dicetuskan dan disiplin yang dibentuk akan menjadi pegangan untuk kehidupan yang lebih bertujuan.

Ketika pelakon-pelakon baharu hari ini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan yang datang entah dari mana wajah mereka kini ada di mana mana, tidak ramai yang mahu mencari, mengenal dan mempelajari ilmu lakon. Kerana tak semua mereka tahu dan faham apa sebenarnya falsafah di sebalik seni lakon. Memetik kata Ku Seman Ku Hussain dalam salah satu artikelnya suatu ketika dahulu, ramainya seperti belon - naik meninggi namun di dalamnya kosong.

Syafi Tee adalah seorang pelakon muda Malaysia yang sedang meningkat naik, dan dia ada secebis kesedaran itu. Sebagai persiapannya membintangi sebuah siri drama televisyen terbaharu, dia cuba mempelajari asas seni lakon daripada aktivis teater berpengalaman, Fazleena Hishamuddin.

Dalam waktu yang sangat singkat dan langkah yang terhad ketika keadaan dunia semasa yang mencabar ini, dia cuba menyerap segala yang mampu dikongsikan oleh Fazleena dalam beberapa sesi kelas dan latihan di Serambi Karya Jalan Bellamy, KL.

Diambil dengan kamera Canon AE-1 Program berfilemkan Kodak Tri-X 400 +3.




















Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu