Sejujurnya, saya pernah ada rasa iri hati dengan Han Zalini. Bukan kerana dia lebih kacak atau kaya daripada saya, tetapi kerana dia menjadi seorang pelakon.
Dibesarkan dalam keluarga penggiat teater, maka menjadi pelakon sebenarnya merupakan impian terdalam saya. Namun apabila meningkat dewasa dan tidak dapat meneruskan cita-cita di dalam bidang itu kerana menurut kata ibu, saya mula bersikap negatif terhadap sesiapa yang saya lihat 'tidak cukup bagus' dalam dunia lakonan.
Lama-lama, saya melihat itu bukan salah mereka, tetapi masalah diri saya sendiri. Walaupun mereka 'tidak berapa pandai berlakon', sekurang-kurangnya mereka buat apa yang mereka suka. Saya, yang merasakan diri 'bagus sangat', tapi tak kejar cita-cita itu atas pelbagai alasan.
Perjalanan setiap orang adalah berbeza, dan saya akhirnya menyedari bahawa membandingkan diri saya dengan orang lain adalah sama sekali tidak sihat malah menghancurkan diri sendiri. Kita sendiri bertanggungjawab atas segala apa yang terjadi dalam hidup kita. Seperkara tentang Han Zalini yang saya akui dan hormati adalah keberaniannya untuk melakukan apa yang dimahukan.
Han yang mulanya mengorak langkah sebagai pelakon teater, perlahan-lahan dia menjadi pengarah, penulis skrip, kemudian wajahnya sudah mula menyinari drama-drama televisyen dan kini filem. Tidak cukup dengan itu, kini dia hadir dengan satu gerakan yang berteraskan produk pakaian yang diberi nama Klab Jiwa Asmara.
Bab ini yang membuatkan saya terpanggil untuk bertemu dengan orang yang pernah saya kecam dan dengki dahulu, dan kami akhirnya berbual panjang atas dasar minat dan jiwa yang sama. Kami adalah dua jiwa yang suka bernostalgia dan menghargai karya-karya lama yang kami rasakan lebih berisi dan bermakna.
Orang kata mengapa melihat ke belakang ketika semua mahu ke depan. Benar, tetapi alangkah bahagianya rasa apabila kita dapat mengenang kembali saat-saat di mana kehidupan lebih ringkas dan mudah. Tidak seperti hari ini yang terlalu berkejar-kejar dan penuh dengan tekanan sehingga semakin ramai yang menderita jiwanya.
Penubuhan Klab Jiwa Asmara bukan sekadar syok sendiri, tetapi misi Han lebih besar - iaitu selain daripada menghasilkan barangan memorabilia seni retro dan filem tanah air, ia berhasrat menjadi satu 'azimat' yang boleh dipakai dan diperagakan sebagai mesej kepada masyarakat.
Memang dia berdepan kesukaran, orang tak mahu terima ideanya, tak ada modal, dan macam-macam lagi cabaran. Tapi cakap banyak tak guna, yang penting buat sampai jaya. Terima kasih Han, kerana terus berani mengejar cita-citamu.