BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 12 November 2020

Sebab orang Amerika panggil bola sepak sebagai 'soccer'


Sebagai generasi bekas jajahan British, kita tidak dapat lari daripada terikut-ikut budaya mereka. Ini kerana banyak terma baharu yang tidak wujud dalam alam Melayu sebelum kehadiran mereka diperkenalkan dan digunakan secara meluas sehingga hari ini.

Termasuklah dalam sukan, khususnya bola sepak. Bola sepak dibawa British dan diperkenalkan kepada masyarakat setempat, di mana mereka memanggilnya 'football'. Ketika kita sudah biasa dengan panggilan itu, orang Amerika pula memanggil sukan itu 'soccer'.

Mana datang perkataan 'soccer'? Kan jauh bunyinya antara 'football' dengan 'soccer' itu. Sebenarnya, terma itu diperkenalkan oleh orang British sendiri, malah ia adalah nama pertama bagi sukan bola sepak sebelum ia dipanggil 'football'.

Jenis sukan yang menggunakan bola dan disepak-sepak ini sudah wujud seawal tahun 1000 Sebelum Masihi (SM) dan asal usulnya masih kabur sama ada ia dicipta di timur atau barat. Kebanyakan variasi sukan ini memiliki peraturan yang hampir sama.

Pada ketika awal pengenalan sukan itu di Britain pada 1860-an, secara spesifiknya pada 26 Oktober 1863, pasukan-pasukan pemain sukan itu di England bersepakat menubuhkan satu standard peraturan dan undang-undang permainan yang dapat digunakan dalam setiap perlawanan. Mereka menamakannya 'Association Football' (bola sepak persatuan).

Orang British terutamanya budak-budak sekolah mereka gemar menggelar dan mengubah suai apa sahaja perkara, dan mereka juga suka meletakkan '-er' di belakang nama-nama gelaran yang diberikan. Maka 'Association Football' digelar sebagai 'Assoccer', dan lama-lama ia dipendekkan menjadi 'soccer'. 

Pencipta nama gelaran ini dipercayai pelajar Oxford bernama Charles Wredford Brown, sekitar waktu ketika penubuhan 'Association Football'.

Terma ini popular dalam kalangan para bangsawan dan golongan kelas atasan. Golongan ini yang ramai berhijrah ke bumi Amerika membawa bersama budaya mereka. Kerana itu terma 'soccer' lebih meluas di Amerika dan terus digunapakai sehingga hari ini di sana.

Hanya sekitar 18 tahun selepas 'Association Football' diperkenalkan, barulah permainan itu semakin ramai dimainkan oleh masyarakat bukan elit dan terma 'football' digunakan oleh masyarakat kelas pertengahan dan bawahan untuk membezakan mereka dengan golongan aristokrat. 

Kerana ia lebih meluas dalam kalangan orang kelas pekerja (working class people), dan dibantu dengan sejarah kuasa imperialis British yang besar di serata dunia, maka terma 'football' lebih popular dan lebih diterima umum sampai hari ini.


*Sumber: Today I Found Out


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu