BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 24 November 2020

Siapa akan ganti Johnny Depp sebagai Grindelwald?


Baru-baru ini, Johnny Depp mengumumkan pengundurannya daripada terus memainkan watak Gillert Grindelwald dalam sekuel kedua siri filem Fantastic Beasts yang masih belum diumumkan tajuknya. 

Ia merupakan arahan daripada penerbit filem tersebut, Warner Bros. susulan bintang Hollywood itu kalah dalam kes saman fitnah terhadap akhbar The Sun, yang mendakwa Depp memukul bekas isterinya, Amber Heard. Perkata tersebut diumumkan pelakon berusia 57 tahun itu di Instagram. 

Menghormati permintaan WB, Depp bagaimanapun keputusan itu sukar dipercayai dan dia tetap dengan pendiriannya untuk membuktikan bahawa segala dakwaan terhadapnya adalah salah. Meskipun Depp hilang kerja, Warner Bros. tetap membayar penuh pampasan kepadanya yang dianggar sebanyak $10 juta. 

Apapun ceritanya, sama ada dia benar bersalah atau tidak dalam hal peribadinya, apa yang menjadi persoalan mustahak para peminat dan pengikut dunia Harry Potter menantikan siapakah pelakon yang sesuai menggantikan Depp.

Grindelwald adalah watak antagonis yang menjadi seteru lama Pengetua sekolah sihir Hogwarts, Albus Dumbledore. Pada filem pemula seterusnya sekuel pertama, The Crimes of Grindelwald, Depp memainkan watak tersebut dengan baik, begitupun kutipan tiket tidak begitu memberangsangkan dan ramai menyalahkan Depp.

Maka untuk sekuel seterusnya yang telah memulakan penggambarannya pada September tempoh hari di London meskipun dalam pandemik ini, pihak studio penerbitan mahu wajah lain menggantikan Depp yang sedang buruk reputasinya.

Baru-baru ini, terbit ura-ura mengatakan bahawa pengarah Fantastic Beasts 3, David Yates mahu posisi kosong itu diisi oleh pelakon Denmark, Mads Mikkelsen.

Kalau siapa tak kenal Mikkelsen, dia adalah pelakon yang memainkan watak antagonis dalam filem James Bond, Casino Royale sebagai Le Chiffre dan Kaecilius dalam filem Marvel, Dr. Strange. Bukan pelakon sembarangan, Mikkelsen pernah merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Cannes 2012 menerusi persembahannya dalam The Hunt.

Sesuai atau tidak sebagai Grindelwald? - (foto: Wikipedia)

Bagaimanapun menjawab tentang khabar angin tersebut, pelakon berusia 55 tahun itu berkata 'ia hanyalah sebuah ura-ura, di mana dia sendiri pun mengetahuinya daripada laporan berita'. Kemudian menambah, "jadi saya masih menantikan panggilan telefon itu."

Selain Mikkelsen, juga dikatakan sesuai menggalas peranan Grindelwald itu adalah Colin Farrell, yang memainkan watak Percival Graves dalam filem Fantastic Beasts yang pertama. Siapa pun pelakonnya, harap sesuai dan dapat membawa karakter ahli sihir jahat terhebat itu dengan baik.

Walaupun masih ramai terutamanya peminat setia Depp yang mengharapkan Warner Bros. dapat menarik semula keputusannya dan Depp dapat kekal sebagai Grindelwald.


*Sumber: International Business Times, LAD Bible


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu