BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 11 November 2020

Supreme, jenama yang terlalu cool untuk skate & fesyen


Bagaimana nak menggambarkan Supreme? Ia bukan jenama skate ataupun street wear. Supreme ada kelasnya yang tersendiri.


Tapi apa yang pasti, Supreme bermula untuk memenuhi hasrat remaja yang bermain skateboard untuk mempunyai sebuah kedai yang menjual papan selaju di kawasan perumahan mereka di New York.


Pengasasnya, James Jebbia bukan seorang skateboarder tapi sangat berminat dengan gaya hidup, seni grafik pada papan selaju dan imej memberontak yang dibawa.


Selepas menutup kedai pertamanya, Union yang dibuka bersama Sean Stussy (pengasas jenama street wear Stussy), pekerja di kedai itu yang merupakan remaja yang gilakan skateboarding, mendesaknya untuk membuka sebuah skate shop.


Iklan Supreme dekat 'kitab' skateboarding, Thrasher Magazine


Bermodalkan AS$12,000, dia membuka Supreme di Lafayette Street, New York, kawasan yang agak sunyi, berjirankan penggiat seni dan muzik dengan membayar sewa AS$2,000 sebulan.


Ia merupakan kunci kejayaan Supreme, mewujudkan sebuah kultus skateboarding dan menganggap kedai itu sebagai ruang melepak dimana orang berbicara mengenai seni dan muzik, sambil menjual barangan papan selaju.


Jebbia, warga Amerika-British. Foto: Neil Rasmus/BFA.com

Supreme kemudian mengeluarkan pakaian yang menepati kehendak skateboarder era 90-an dan fokus kepada jumlah yang kecil sahaja.


Sebelum jenama kedai itu menambah cawangannya di Amerika Syarikat, ia terlebih dahulu melebarkan sayapnya di Tokyo, Osaka dan Fukuoka, Jepun pada 1998.


Kemudian Supreme membuka kedai di Los Angeles pada 2004 dan menambah cawangan tiga lagi cawangan di Jepun iaitu Harajuku  pada (2006), Nagoya (2008) dan Shibuya (2012).


Kedai Supreme baharu di New York. Foto: highsnobiety.com

Supreme hanya membuka kedai di Eropah pada 2011 di London dan Paris pada 2016, sebelum menambah dua lagi kedai di Brooklyn, New York pada 2017 dan kedai baru di Bowery, New York tahun lepas.


Kolaborasi dengan artis seperti Christoper Wool, Jeff Koons, Mark Flood yang memenuhi ruang yang ada di skate shop pertama menjadikan Supreme unik dan mendapat status kultus.


Supreme x Comme des Garcons Foto: Hypebeast

Pada 2012, kolaborasinya dengan jenama fesyen Jepun, Comme des Garcons membuka mata orang ramai kepada Supreme.


Presiden Comme des Garcons, Adrian Joffe menyifatkan kerjasama dengan Supreme menaikkan nama kedua-dua jenama dan ia satu kolaborasi yang sangat bermakna.


Jebbia mengakui, dia tak pernah ada perancangan yang rapi untuk berjaya seperti sekarang dan semua yang berlaku adalah secara kebetulan.


Visi Jebbia hanya satu, dia memastikan orang akan berfikir produk mereka tidak akan kekal lama di kedai, jadi jika seseorang itu suka produk itu, dia akan terus beli walaupun harga jaket itu RM8,000 sepasang.


Supreme X Jean Paul Gaultier (kiri) dan Supreme X Nike/NBA


Selain koleksi yang terhad dan cool, golongan haters juga yang membina populariti Supreme selain kolaborasinya yang tak masuk akal (dengan Nike, Louis Vuitton, Vans dll.).


Supreme kerap dikecam oleh ramai orang kerana harganya yang mahal dan boleh meningkat lebih daripada 300 peratus apabila disambar reseller (orang yang jual semula barang yang dibeli untuk mengaut untung).


Berita orang beratur panjang, bermalam di depan kedai Supreme untuk beli koleksi terbaharunya menjadi bahan kutukan sehingga ia menjadi popular di seluruh dunia.


Barisan panjang nak masuk kedai Supreme di Shibuya, Jepun. Foto: Charles Deluvio

Supreme tidak belanja besar untuk mengiklankan produk mereka sebaliknya fokus kepada media sosial.


Kunci kejayaan sudah pasti kolaborasi dengan artis dan jenama fesyen, termasuklah mewujudkan kerjasama dengan Louis Vuitton (LV).


Koleksi Supreme X LV. Foto: Facebook/SupremeOfficial

Sememangnya kolaborasi dengan LV satu yang tak terfikir boleh dilakukan kerana ia hanya bermula sebagai sebuah skate shop.


Jebbia bagaimanapun sudah menjual 50% kepentingannya dalam Supreme dengan harga AS$500 juta kepada syarikat ekuiti swasta, The Carlyle Group pada 2017.


Pada November, VF Corporation (VF Corp) bersetuju untuk membeli Supreme dengan bayaran tunai sebanyak AS$2.1 bilion, dan ia sudahpun direalisasikan pada Isnin.




Sumber: Vogue, highsnobiety.com, GQ, Interview Magazine



Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu