BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 17 November 2020

Teddy Roosevelt, sang presiden yang suka ajak orang bertinju


Theodore Roosevelt dianggap sebagai salah seorang daripada lima presiden terbaik yang pernah meneraju Amerika Syarikat. Sebagai presiden ke-26, beliau dikenali dengan peribadinya yang saksama, keras dan tegas. 

Malah kisah ketertinggian budinya menjadi legenda yang melahirkan gelaran umum buat anak patung beruang yang diguna pakai sehingga hari ini (BACA: Kenapa anak patung beruang dinamakan 'Teddy Bear'). Keperibadian itu terbentuk daripada pengalaman getirnya ketika membesar.

Sewaktu kecil, Roosevelt dirundung masalah lelah dan lemah jantung. Menyedari kelemahan itu, Roosevelt melatih dirinya dengan melakukan kerja-kerja berat dan segala bentuk aktiviti yang mencabar had kemampuan dirinya - termasuk bertinju dengan sesiapa sahaja.

Segalanya bermula ketika beliau berusia 14 tahun semasa satu kembara ke Tasik Moosehead, sekumpulan budak lelaki yang lebih tua daripadanya memukul Roosevelt. Kecewa kerana tidak mampu mempertahankan dirinya sendiri, dia nekad menyertai kelas tinju dan berusaha keras melatih dirinya. Bersama itu, dia membina badan dengan mengangkat batuan granit serta secara rawak mengajak sesiapa sahaja untuk beradu kekuatan.

Walaupun diketahui bukanlah seorang peninju yang hebat, dia adalah seorang petarung yang bermaruah. Ada satu acara ketika pertandingan tinju kolejnya di mana dia menerima tumbukan padu di muka yang dilepaskan lawannya selepas loceng tamat pusingan dibunyikan. Penonton yang melihat naik marah, namun Roosevelt berjenaka sambil meredakan khalayak dengan berkata "Hush diam, dia tak dengar!" sambil mengelap hidungnya yang berdarah.


Tabiatnya yang suka bergasak itu dibawa sehingga beliau dilantik menjadi presiden. Selalu dia akan menghiburkan tetamu di White House dengan mempertunjukkan gerakan tinju dan gusti kepada tetamu yang sudi menjadi 'sparring partner'nya.

Selain daripada tinju, Roosevelt juga mempelajari jiu-jitsu dan judo di bawah tunjuk ajar legenda pengamal seni mempertahankan diri, Yamashita Yoshiaki. Walaupun pada mulanya ia sekadar aktiviti untuk menurunkan berat badannya yang meningkat selepas banyak menghabiskan waktu di pejabat, beliau suka dan terus mendalaminya sehingga memperoleh tali pinggang perang.

Teddy Roosevelt selalu turun padang memimpin angkatannya dalam banyak kempen peperangan. (foto: Wikipedia) 

Pernah juga Roosevelt pergi mandi tanpa seurat benang pada tubuhnya di Sungai Potomac yang sejuk membeku ketika musim salju, hanya kerana mahu menguji dan melatih dirinya supaya tahan dalam keadaan yang sangat ekstrem.

Semasa menjadi Gabenor New York, Roosevelt adav memasang tikar gusti di pejabatnya supaya senang dia mahu bergasak dengan sesiapa yang datang. Perangainya ini adalah sesuatu yang menyulitkan mereka yang menjaga keselamatannya sampai mencadangkan beliau supaya beralih ke sesuatu yang lebih tenang seperti billiard. Mana maunya dia. 

Malah dia pernah mencabar bekas-bekas jaguh tinju dan gusti dari serata A.S. untuk mengukur keupayaan dirinya. Sehingga menjadi Naib Presiden dan seterusnya Presiden, amalan itu tetap diteruskan apabila beliau memasang tikar gusti di bilik bawah tanah White House supaya dia boleh bergasak pada bila-bila masa dengan sesiapa yang diinginkannya.

Isterinya juga selalu menjadi 'sparring partner' untuk menguji dan melatih gerakan judonya, selain pekerja-pekerja White House dan mana-mana kepala negeri yang datang menjadi tetamu kerana ingin tahu sama ada cerita tentang kehebatannya adalah benar atau sengaja dibesar-besarkan.

Mungkin ramai menganggap Roosevelt banyak menang dalam pertarungannya hanya kerana lawan tidak mahu 'menyakiti' Tuan Presiden, tetapi beliau sangat serius dalam hal ini dan meminta lawannya untuk memberikan yang terbaik. Sehingga suatu hari dia menerima tumbukan padu tepat ke mata kirinya sehingga menyebabkan ia buta. Beliau tidak kesal, malah lagi berjenaka mengatakan ia satu kejadian yang baik kerana bukan mata kanan yang buta, mata yang digunakannya untuk membidik semasa memburu.

Roosevelt disanjung sehingga hari ini kerana bukan sahaja ketokohannya dalam mengendalikan hal ehwal negara, tetapi serba serbi lengkap sebagai seorang pemimpin rakyat yang disegani dan digeruni. 

Punya keras, apabila pada 14 Oktober 1912 ketika beliau ditembak pada bahu pada jarak dekat, Roosevelt tetap terus menyampaikan ucapannya sepanjang 90 minit sepertimana dirancang. Ucapannya dimulakan dengan "Tuan-tuan dan puan-puan, saya tidak tahu sama ada anda faham bahawa saya baru lepas ditembak; tetapi ia memerlukan lebih dari itu untuk membunuh seekor Bull Moose." Selepas itu baru beliau dikejarkan ke hospital, di mana doktor mendapati peluru hanya tersangkut pada otot dadanya yang pejal dan tidak sampai ke paru-paru.

Kalau ini macam punya ketua, siapa berani langgar?

Kertas ucapan dan bekas kaca matanya yang ditembusi peluru ketika beliau mahu menyampaikan ucapan dalam kempen pilihan raya di Milwaukee, Wisconsin pada 14 Oktober 1912. (foto: Wikipedia)


*Sumber: Today I Found Out, Wikipedia


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu