Kalau hendak diikutkan cara yang betul, tidur pun bukan boleh suka-suka rebahkan badan dan lelapkan mata. Bagaimana kita tidur juga memberi kesan kepada kesihatan dan kesejahteraan tubuh dan minda kita.
Selain daripada tidur terlentang, posisi lazim ketika tidur sama ada sedar atau tidak adalah secara mengiring. Ada juga selesa tidur meniarap, namun posisi itu amat tidak disarankan memandangkan ia menekan dada kita yang penuh dengan organ-organ penting serta memaksa leher kita menoleh ke satu arah untuk satu tempoh yang mendatangkan mudarat.
Tidur terlentang dapat mengembalikan postur tubuh ke posisi neutral, di mana tiada titik yang dikenakan tekanan yang lebih daripada yang lain. Posisi terlentang juga boleh mengurangkan risiko refluks asid serta baik untuk mereka yang tidak mahu wajah mengalami kedutan. Namun posisi ini kurang sesuai untuk mereka berdengkur. Walaupun ini posisi paling popular, tidur dalam keadaan mengiring sebenarnya lebih memberi manfaat.
Bercakap tentang tidur mengiring, persoalannya yang sering tidak dapat dijawab dengan jelas adalah sama ada ke kiri atau ke kanan yang lebih baik?
Menurut perubatan purba Ayurveda, tidur mengiring ke kiri didakwa dapat memperbaiki kelancaran peredaran darah sekaligus membantu organ supaya berfungsi lebih baik. Posisi ini juga disarankan untuk para wanita hamil supaya darah lebih lancar untuk sampai ke kandungan.
Pada masa sama, kedudukan perut yang lebih rendah daripada eosofagus ketika mengiring ke kiri dapat mengelakkan pergerakan asid perut ke salur itu yang menyebabkan refluks asid. Mengiring ke kiri juga dikatakan baik jika seseorang itu mengalami masalah penghadaman.
Sementara dalam ajaran Islam pula, menjadi amalan Nabi Muhammad SAW untuk tidur mengiring ke kanan. Ada hadis menyatakan bahawa pemimpin ulung Islam itu tidur pada sisi kanan tubuhnya dengan menghadap kiblat dan tapak tangannya diletakkan di bawah pipi.
Pada posisi itu, ruang dalaman dada menjadi lebih luas sekaligus mengurangkan tekanan pada otot jantung yang terletak pada sebelah kiri dada kita. Apabila kita baring, graviti menarik jantung ke ruang dalam dada berbanding menghimpitnya ke tulang rusuk. Maka posisi ini sangat baik khususnya buat mereka yang mengalami masalah jantung.
Ini kerana tidur mengiring ke kanan juga memberi manfaat kepada sistem saraf simpatetik, iaitu bahagian yang mengawal tindak balas 'lari atau lawan' kita. Apabila kurang tekanan dikenakan pada jantung ketika mengiring ke kanan, ia melaraskan aliran darah sekaligus menstabilkan kadar degupan jantung dan tekanan darah.
Satu kajian pernah dibuat pada 2016 terhadap sekumpulan pesakit jantung sempit (congestive heart failure, CHF). Didapati mereka tidak selesa apabila diminta tidur mengiring ke kiri, dan mereka sendiri beralih menghadap ke kanan untuk mengurangkan kerengsaan itu. Corak yang sama diterapkan kepada kumpulan ujian yang tiada menghidap CHF. Kesimpulannya, mereka yang memilih tidur mengiring ke kanan didapati lebih baik bacaan ujian jantungnya pada penghujung eksperimen.
Bagaimanapun, ada cara untuk tidur mengiring supaya ia tidak mendatangkan sakit pada sendi memandangkan ia bukan pada posisi neutral badan kita. Letakkan bantal untuk menyokong kepala anda dan satu lagi bantal di antara kelengkang anda supaya leher dan tulang belakang tidak senget dan kekal lurus sepanjang malam.
Tidaklah mengatakan bahawa tidur mengiring ke kiri itu tidak baik, malah ada kajian yang dapat membuktikan manfaatnya tidur dalam posisi tersebut. Pendek kata, ketika kajian lanjut masih dibuat untuk mencari jawapannya, kedua-dua cara ada pro dan cons nya.
Namun harus diingat, Nabi Muhammad SAW tidak tidur begitu suka-suka, ada sebab dan musababnya. Dengar atau baca sahaja tidak cukup. Cuba sendiri, baru anda dapat tahu jawapannya.
*Sumber: Sunday Rest, The Sleep Doctor