BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 26 November 2020

Vaksin mana efektif lawan COVID-19


Sejak dua menjak ini, perbualan tentang vaksin untuk menangani jangkitan COVID-19 semakin hangat.


Ia seakan perlumbaan di antara negara-negara bagi menghasilkan produk yang paling efektif untuk diedarkan kepada seluruh warga dunia, demi menangani virus pembunuh yang sudah meragut lebih 1.4 juta nyawa sejak permulaan pandemik hampir setahun lalu.


Dalam ratusan vaksin yang sedang dikaji, empat telah mendapat perhatian dunia -  vaksin Pfizer dan BioNtech, vaksin Moderna, vaksin Oxford, AstraVeneca dan vaksin Rusia, Sputnik V.


Macam mana tahu vaksin itu efektif?


Kesemua vaksin yang disebutkan di atas sudah menjalankan ujian klinikal fasa ketiga ke atas manusia untuk mendapatkan data interim.


Data dihasilkan kesemua vaksin itu mendakwa mampu peroleh keberkesanan sekitar 90 hingga 95 peratus dalam melawan COVID-19.


Vaksin mana paling berkesan?


Pfizer, vaksin syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) dan Jerman BioNtech mendakwa vaksin mereka 95 peratus berkesan.


Tetapi, vaksin jenis mRNA yang diperlukan dalam dua dos itu bakal mendepani isu logistik kerana perlu disimpan pada suhu sekitar negatif 75 darjah Celsius.


Sementara itu, vaksin buatan syarikat AS, Moderna mendakwa vaksin mRNA mereka itu yang juga diperlukan dalam dua dos, adalah 94.5 peratus berkesan.


Vaksin Universiti Oxford dan AstraZeneca pula adalah vaksin vektor viral, berbeza dengan Pfizer dan Moderna.


Dua dos diperlukan dan boleh disimpan dalam pada suhu dua hingga lapan darjah Celsius.


Data awal ujian menunjukkan vaksin itu 62 peratus berkesan bagi peserta yang diberi kedua-dua dos penuh, manakala 90 peratus berkesan bagi peserta yang dikurangkan dos pertama, dan dos kedua penuh.


Vaksin Rusia Sputnik V yang merupakan vaksin vektor adenovirus, mengumumkan pada Selasa vaksin mereka 91.4 peratus berkesan melawan COVID-19.


Berapa jangkaan harganya?


Bagi harga pula, vaksin Pfizer dijangka menawarkan vaksin mereka pada AS$20 (RM81) untuk satu dos, jadi AS$40 dolar seorang, lapor Bloomberg.


Harga vaksin Moderna pula terpulang kepada jumlah yang diborong, di antara AS$10 hingga AS$39 dolar untuk satu dos. 


AstraZeneca boleh didapati pada AS$4 hingga AS$5 dolar satu dos, membolehkan ia diperoleh oleh semua negara termasuk negara membangun. 


Sputnik V telah menetapkan harga satu dos adalah tidak melebihi AS$10 dolar.



Sumber foto: CDC




Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu