BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 2 Disember 2020

Kenapa doktor pakai kot putih?


Kot putih menjadi satu simbol yang dipandang tinggi masyarakat, kerana ia dipakai oleh doktor. Bukan sembarangan orang boleh memakainya, ia adalah tanda pengesahan kelayakan seseorang itu layak menjadi seorang pengamal perubatan.

Begitu besar makna kot putih ini sehingga banyak sekolah kedoktoran mempunyai majlis upacara khas bagi mentauliahkan para penuntutnya yang sudah berhak memiliki dan memakainya.

Kenapa kot putih, ketika kerja-kerja berkaitan merawat pesakit ini banyak berurusan dengan benda kotor? Menjadi doktor lebih terdedah kepada darah dan cecair tubuh manusia, tapi kenapa menjadi tradisi untuk memakai pakaian yang mudah dicemari?

Sebenarnya pakai warna apa pun risiko kotornya adalah sama, dan asalnya doktor tidak memakai kot putih. Kalau dilihat lukisan atau gambar dari zaman dahulu kala, anda pasti lihat doktor memakai kot serba lengkap berwarna hitam kemas. Ini kerana warna hitam melambangkan kerasmian atau formaliti, jadi sesuai dengan tona sesuatu lawatan perubatan. Malah, ia dapat menyembunyikan kekotoran.

Namun menjelang penghujung kurun ke-19, doktor dan saintis mula menyedari kepentingan mengekalkan fasiliti perubatan pada tahap sebersih mungkin untuk mengekang bakteria penyakit berbahaya daripada merebak. Warna hitam memang dapat menyembunyikan kekotoran, tetapi ia berisiko tinggi menyimpan segala macam kuman tanpa disedari.

Warna putih membawa konotasi bersih dan suci, maka hospital memperkenalkan kot putih bagi memudahkan pengesanan sebarang kekotoran yang perlu dibasmi segera, juga simboliknya mencerminkan kesucian perjuangan mereka merawat penyakit.

Peralihan pakaian doktor dari hitam ke putih ini digambarkan dengan jelas daripada dua lukisan oleh Thomas Eakins. Dalam karyanya pada 1875 berjudul The Gross Clinic, Dr. Samuel Gross bersama rakan seangkatannya dilihat memakai kot hitam sedang membedah kaki si pesakit. Tidak sampai 15 tahun kemudian, Eakins melukis The Agnew Clinic, memaparkan sekumpulan doktor sedang membuat pembedahan - kali ini semuanya memakai kot putih.

The Gross Clinic/The Clinic of Dr. Gross oleh Thomas Eakins, 1875. - (foto: Wikipedia)

The Agnew Clinic/The Clinic of Dr. Agnew oleh Eakins, 1889. - (foto: Wikipedia)

Walaupun kot putih juga memudahkan doktor dilihat lebih-lebih lagi ketika hospital sedang sesak ketika waktu genting, ia didapati memberikan kesan negatif kepada pesakit. Wujudnya 'sindrom kot putih' atau 'white coat hypertension' di mana tekanan darah sesetengah orang meningkat apabila mereka terlihat orang memakai kot putih atau tatkala mereka melangkah masuk ke pejabat doktor.

Kerana ini atau macam-macam sebab lagi, ada doktor yang tidak memakai kot putih dan lebih mengenakan pakaian yang bersahaja untuk lebih mudah dihadiri dan disenangi pesakitnya.


*Sumber: Mental Floss


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu