BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 2 Disember 2020

7 tip untuk membaca lebih cepat & berkesan


Tidak kira siapa pun anda dan apa pun pekerjaannya, kita perlu membaca. Sama ada artikel di blog, dokumen kerja ataupun novel fiksyen, hari-hari kita memerlukan kita membaca.

Namun kesibukan dunia hari ini kadang-kadang menjadi alasan untuk kita tidak membaca. Ia memakan masa dan meletihkan mata, kerana itu ramai tak suka membaca. Membaca ini ada seninya, jadi ini ada panduan untuk membaca dengan cepat pada masa sama mengekalkan pemahaman anda.


1. Pratonton teks sebelum memulakan pembacaan penuh

Macam kita tengok trailer filem, membuat previu kepada sesebuah teks memberikan kita konteks terhadap apa yang bakal anda baca. Bagaimana untuk previu? Imbas dari mula sampai akhir, beri perhatian terhadap heading, subheading, setiap font yang ditulis besar, bold atau dalam bentuk poin. Untuk mendapat gambaran besar isi sesebuah teks, baca sepintas lalu bahagian pembukaan dan perenggan rumusannya. Kenal pasti ayat transisi, periksa sebarang gambar atau imej, dan ketahui bagaimana penulis menyusun struktur teksnya.


2. Rancang 'serangan' anda

Cara membaca pun ada strateginya supaya anda dapat menghadam bahan bacaan dengan baik. Pertama, apa matlamat anda? Apa yang anda mahu pelajari daripada pembacaan itu? Senaraikan beberapa soalan yang mahu dijawab di akhir pembacaan. Kemudian, ketahui apa tujuan penulis menulis teks tersebut, berdasarkan previu anda. Matlamat penulis misalnya, mahu menceritakan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, sementara matlamat anda mahu mencari punca kejatuhannya. Kalau matlamat anda lebih terhad skopnya berbanding matlamat penulis, rancang untuk baca bahagian/bab yang berkaitan sahaja.


3. Kekal peka

Membaca cepat dengan pemahaman yang baik memerlukan tumpuan dan fokus. Kurangkan gangguan, dan peka dengan apa yang difikirkan otak anda ketika anda membaca. Bila otak mula melilau ke benda lain, segera kembalikan tumpuan kepada pembacaan. Ramai membaca dengan cepat tetapi pasif tanpa fokus, menyebabkan mereka terpaksa membaca semula untuk memahamkannya. Ini yang banyak buang masa.


4. Jangan baca setiap perkataan

Untuk meningkatkan kelajuan pembacaan, beri perhatian kepada mata anda. Gerakkan mata seperti mesin pengimbas, mengimbas tiga atau empat perkataan sekali gus dan bergerak ke kelompok perkataan seterusnya. Manfaatkan pandangan periferal anda untuk memahamkan perkataan secara imbasan berkelompok berbanding membaca satu-persatu perkataan yang ada. Kalau tak memang berkurun lah baru nak habis baca.

Letakkan jari pada teks boleh menjadi panduan kelajuan pembacaan anda. Dinasihatkan jangan disebut perkataan yang dibaca di mulut mahu pun di dalam hati, kerana ia melambatkan pembacaan.


5. Jangan baca setiap bahagian

Menurut Pusat Kemahiran Akademik Kolej Dartmouth, ia adalah mitos purba bahawa pelajar mesti baca setiap bahagian yang ada dalam sesebuah buku teks atau artikel. Melainkan anda membaca sesuatu yang sangat penting, langkau bahagian yang tidak relevan dengan matlamat anda. Membaca secara selektif membolehkan anda menghadam isi penting daripada banyak teks, daripada menghabiskan banyak masa membaca hanya satu dua teks.


6. Buat rumusan

Tugas anda tidak berakhir pada perkataan terakhir yang anda baca. Selepas habis baca, tulis beberapa baris ayat untuk merumuskan pembacaan anda, dan lihat sama ada soalan-soalan anda terjawab atau tidak. Dengan meluangkan sedikit masa untuk berfikir, mencerna maklumat dan menulis apa yang telah anda pelajari, ia akan lebih diingati. Tidak kiralah, tulis atau lukis semula rumusan anda ikut cara masing-masing.


7. Latih kelajuan dan pemahaman

Membaca dengan strategi, aktif dan merumuskannya dengan berkesan memerlukan latihan. Kalau anda mahu meningkatkan kelajuan pembacaan, gunakan timer untuk uji berapa banyak perkataan atau muka surat yang boleh dibaca dalam seminit. Bila anda sudah boleh membaca dengan lebih pantas, periksa juga tahap pemahaman anda.


*Sumber: Mental Floss


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu