BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 1 Disember 2020

Misteri pembunuhan beramai-ramai Keluarga Diraja Nepal


Pada malam 1 Jun 2001, Istana Narayanhity bermandi darah apabila Raja Nepal, Raja Birendra dan isterinya Permaisuri Aishwarya serta tujuh lagi ahli keluarga diraja dibunuh, menjadikannya detik paling hitam dalam sejarah moden negara itu.

Berdasarkan laporan rasmi siasatan jawatankuasa siasatan dan saksi kejadian, pelaku jenayah kejam itu adalah anak sulung Raja Birendra dan Permaisuri Aishwarya sendiri, iaitu Tengku Mahkota Dipendra.

Butiran terperinci kejadian diceritakan kembali Dr. Rajiv Shahi, menantu kepada adik lelaki Raja Birendra yang berada di tempat kejadian semasa segala-galanya berlaku. Dia bercakap kepada media tujuh hari selepas insiden ngeri itu, mengikut laporan The New York Times.



Ketika makan malam keluarga sedang berlangsung pada Jumaat itu, Tengku Mahkota Dipendra dikatakan tiba dalam keadaan yang 'sangat mabuk'. Percakapannya tergagap-gagap dan mahu bertengkar dengan semua orang. Oleh hal yang demikian, dia dibawa oleh adiknya Putera Nirajan, sepupunya Putera Paras, dan Dr. Shahi ke kamar peribadinya.

Sekembalinya tiga putera itu menyertai hadirin yang lain, Raja Birendra dan kira-kira 20 orang lagi tetamu sudah beralih ke ruang tamu berbentuk L. Di situ ada sebuah meja snuker dan mereka duduk secara dalam beberapa kumpulan-kumpulan kecil.

Tiba-tiba pada jam 9 malam, dia terdengar satu tembakan dilepaskan. Pada mulanya dia memikirkan bahawa ia satu gurauan, tetapi kemudian dia terdengar seseorang menjerit "Tuanku sudah ditembak!"

Dr. Shahi pantas bergegas ke arah Raja Borinda yang sudah terbaring, membuka kotnya lalu ditekapkan pada luka tembakan pada leher raja malang itu. Dalam lemah, Raja Borinda berkata pada Dr. Shahi bahawa baginda juga ditembak pada perut.

Tengku Mahkota Dipendra datang dari kamarnya dengan beberapa senjata api, menembak bapanya sebagai sasaran pertama. Dia keluar seketika dan kembali ke bilik tamu itu dan melepaskan lagi tembakan bertubi-tubi. Adik bongsu Raja Birendra, Dhirendra yang juga merupakan bapa mertua Dr. Shahi, cuba menghentikan Dipendra. Namun dia juga menemui ajal apabila ditembak pada jarak 'point blanc' di dadanya.


Pada ketika itu, Dipendra sudah 'naik hantu' dan menembak sesiapa sahaja yang ada di hadapannya. Kata Dr. Shahi, segalanya berlaku hanya dalam tempoh seminit setengah.

Dia kemudian lari menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari sebuah tingkap dan memanggil ambulans. Apa yang berlaku kemudian di dalam istana tidak dapat disaksikannya, namun mendapat tahu selepas itu bahawa Tengku Mahkota itu juga membunuh adiknya Putera Nirajan dan ibunya Permaisuri Aishwarya di taman istana.

Kemudian, Dipendra dilaporkan menembak dirinya sendiri di kepala di atas sebuah titi yang merentasi sungai kecil di taman istana itu, namun tidak mati dan sempat diselamatkan pasukan perubatan yang tiba tak lama kemudian.

Keluarga Diraja Nepal. Raja Birendra dan Permaisuri Aishwarya bersama tiga anak mereka (dari kiri: Puteri Shruti, Tengku Mahkota Dipendra dan Putera Nirajan). - Foto Mero Tribune.

Oleh kerana ramai yang terbunuh dalam insiden itu adalah pewaris terdekat mahkota Kerajaan Nepal, Dipendra menjadi raja ketika dalam keadaan koma. Selepas tidak sedar selama tiga hari, Dipendra meninggal dunia dan takhta diturunkan kepada adik Raja Birendra yang bernama Gyanendra.

Motif sebenar di sebalik pembunuhan dahsyat itu masih tidak terjawab, namun ada beberapa teori. Dipendra dikatakan bergaduh dengan ibunya kerana mahu mengahwini Devyani Rana, seorang gadis kerabat yang dikenalinya ketika menuntut di United Kingdom.

Dipercayai keturunan ibu dan kerjasama politik bapa Devyani yang menyebabkan cinta mereka terhalang. Di sebelah ibu Devyani adalah keturunan Gwalior, antara keluarga bekas raja yang terkaya di India dan dipercayai jauh lebih kaya daripada keluarga Shah Nepal. Sementara di sebelah bapanya adalah keturunan Rana, sama dengan Permaisuri Aishwarya. Begitupun, suku keluarga Devyani adalah pesaing kepada suku keluarga permaisuri itu. Maka istana Nepal khuatir akan kewujudan pengaruh India sekiranya Devyani dan Dipendra disatukan.

Peristiwa hitam itu dikatakan punca berakhirnya sebuah monarki berusia 239 tahun yang membawa kepada penubuhan sebuah negara republik pada 2008. Sehingga hari ini, banyak persoalan yang masih tidak terjawab tentang pembunuhan tersebut. Tidak semua 23 juta rakyat Nepal percaya bahawa Tengku Mahkota Dipendra yang melakukannya.

Jika benar, mengapa tiada pengawal diraja ketika itu yang cuba menghalangnya? Bagaimana Dipendra yang bukan kidal boleh menembak dirinya - bukan sedas, tetapi dua das - di bahagian kepala sebelah kiri? Mengapa majlis pada malam itu tidak dihadiri oleh Putera Gyanendra ketika semua ahli keluarganya ada? Dan mengapa anaknya Putera Paras, yang dikenali sebagai kaki botol juga terselamat?

Raja Gyanendra, raja terakhir Kerajaan Nepal. - Foto: Wikipedia

Ramai yang tidak berpuas hati dengan laporan rasmi yang dikeluarkan oleh jawatankuasa siasatan yang dibentuk oleh hanya dua orang sahaja - Ketua Hakim Mahkamah Tinggi, Keshav Prasad dan Speaker Dewan Rakyat, Taranath Ranabhat - selepas hanya dua minggu tanpa melibatkan mana-mana pakar forensik.

Apa dan siapa di sebalik ini sebenarnya?


*Sumber: The New York Times, Wikipedia


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu