BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 22 Disember 2020

Kenapa matematik banyak simbol?


Pada kurun ke-16, seorang ahli matematik bernama Robert Recorde menulis buku bertajuk 'The Whetstone of Witte' untuk mengajar para pelajar Inggeris tentang algebra. Namun dia jadi letih untuk menulis perkataan 'sama dengan' berulang-ulang kali. 

Solusinya? Dia menggantikan perkataan itu dengan simbol dua garis melintang yang sama panjang. Tapi kenapa bua baris sahaja? Kenapa tidak empat, atau dua baris itu ditulis menegak?

Apa sebabnya, hanya Recorde dan Tuhan sahaja yang tahu. Bagaimanapun simbol itu mudah difahami dan semakin dipakai oleh ahli matematik lain, dan akhirnya menjadi simbol standard mewakili maksud 'sama dengan'.

Matematik penuh dengan simbol, baris, titik, anak panah, abjad Romawi, abjad Yunani dan macam-macam lagi. Normal untuk seorang manusia biasa naik serabut melihat simbol-simbol itu, buat mereka yang tidak memahaminya. Dari mana datangnya semua simbol-simbol ini?

Kalau simbol 'sama dengan' datang dari ilham Recorde, simbol 'tambah' pula dipercayai berakar daripada abjad latin 'et' yang bererti 'dan'. 

(Grafik: Youtube/TED-Ed)

Ada juga simbol diperkenalkan yang tiada kaitan dengan makna yang diwakilkannya. Seperti Christian Kramp, ahli matematik yang memperkenalkan tanda seru sebagai simbol faktorial untuk meringkaskan ekspresi seperti ini - 4*3*2*1 = 4!.

Pada hakikatnya, semua simbol ini adalah dicipta atau dipinjam oleh ahli matematik yang tidak mahu menulis panjang sesuatu idea matematik dan perkataan sama berulang kali. Buang masa, buang tenaga. Ahli matematik akalnya tajam dan cepat, maka segalanya harus seringkas mungkin.

Banyak simbol dalam matematik menggunakan abjad, selalunya Latin atau Yunani. Bilangan yang tidak diketahui akan diwakili dengan huruf seperti a, b, c, x, y, z. Simbol-simbol itu juga mewakili nombor spesifik yang banyak kali muncul tetapi leceh untuk ditulis penuh dalam perkataan. 

Set nombor dan keseluruhan persamaan juga boleh diwakili oleh abjad. Simbol juga mewakili operasi, seperti tambah, tolak, bahagi dan darab. Pengulangan satu-satu simbol operasi juga boleh diwakili dengan satu simbol lain. Contohnya 2+2+2+2+2 boleh ditulis 2x5, tak membazir ruang.

Nombor yang didarab dengan jumlahnya sendiri sebanyak beberapa kali akan diwakili dengan simbol kuasa. Nombor berturutan yang ditambah - 1+2+3+4+....98+99+100 diringkaskan dengan simbol sigma. Takkan nak tulis panjang-panjang kan? Dipendekkan untuk memudahkan.

(Grafik: Youtube/TED-Ed)

Jadi sebenarnya kewujudan simbol-simbol ini lebih memudahkan pemahaman matematik, dalam apa jua bahasa. Kalau tidak, matematik akan jadi lebih memeningkan dan meloyakan apabila semuanya dalam perkataan. Muntah hijau membacanya.

Matematik adalah antara mata pelajaran yang tidak digemari ramai, terutamanya kepada manusia-manusia visual. Bukan kerana tak pandai mengira, tetapi manusia otak kanan dominan cenderung melihat idea besar sebelum memahami butiran kecil di dalam idea tersebut. Berbeza dengan manusia berotak kiri yang boleh terus memahami logika kira-kira dengan mudah.

Sejak mula dikenalkan dengan nombor, kita diajar terus untuk menyelesaikan persamaan dan ungkapan tanpa difahamkan falsafah di sebaliknya. Apa maksud simbol-simbol itu, kenapa wujudnya sesuatu formula kira-kira, apa hubung kaitnya dengan kehidupan seharian. Punca ramai gagal matematik kerana mereka tidak faham kenapa ia perlu dipelajari.

Setelah dewasa ini, baru saya tahu bahawa matematik itu adalah bahasa ringkas yang mewakili segala keajaiban alam ciptaan tuhan. Ada seni di dalam matematik yang menjadi kunci kepada jawapan terhadap segala persoalan di dunia ini.

Saya percaya, kalau cikgu-cikgu ajar tentang apa maksud matematik sebelum ajar cara selesaikan masalahnya, nescaya ramai tak gagal matematik.


Sumber: TED-Ed


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu