BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 10 Disember 2020

POV: Trend bunuh diri naik mendadak, naik 20 peratus berbanding tahun lepas


Kemurungan dan seterusnya ambil jalan singkat dengan membunuh diri.

Perihal cubaan bunuh diri bukan satu perilaku yang boleh dipandang remeh meskipun ada dalam kalangan mangsa yang berjaya diselamatkan daripada membiarkan nyawa mereka melayang secara sia-sia.

Melihat kepada statistik tahunan, kes-kes yang melibatkan cubaan membunuh diri atau mangsa yang telah meninggal dunia mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus pada tahun ini berbanding tahun lepas.

Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Dato’ Nor Hisham Mohammad berkata, jika dibandingkan tahun lepas dengan tahun 2020, tahun lepas merekodkan 188 kes yang dihadiri oleh bomba manakala tahun ini sehingga 30 November, ia telah meningkat kepada 226 kes.

Dato’ Nor Hisham Mohammad, Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan dan Penyelamat JBPM. Foto: JBPM

“Jadi ia menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding tahun lepas..tetapi jika kita bandingkan pula dengan tahun 2020 dengan 2018, kita tengok peningkatan dia lebih tinggi..kerana pada tahun 2018, kita telah hadir kepada 167 kes, tetapi tahun 2020 ini adalah sebanyak 226, peningkatan sebanyak 35 peratus.

“Jadi trend nampak mendadak..maksudnya dari jumlah dan peratusan itu meningkat berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Selain daripada itu, saya dapati juga bahawa kalau tengok kepada trend dari segi jantina, tidak berlaku perubahan yang ketara,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambah Nor Hisham, peratusan masih menunjukkan kadar yang sama iaitu 55 ke 60 peratus adalah lelaki, manakala selebihnya lebih kurang 40 ke 45 peratus merupakan wanita.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, apabila melihat kepada cubaan membunuh diri dan berdasarkan pengalaman, lazimnya mangsa lebih kepada berbelah bahagi antara untuk membunuh diri atau sebaliknya.

“Dalam kes bunuh diri, tahun ini kita dapati ada 11 kes memang dan meninggal, maksudnya kita hadir dan mangsa telah meninggal, manakala selebihnya itu berjaya kita selamatkan.

“Salah satu daripada elemen utama yang kita terapkan pada pegawai ialah kita ada do’s and dont’s. Boleh buat dan tak boleh buat. Saya dapati bahawa maklum balas daripada anggota ialah orang yang bunuh diri ini lebih kepada sama ada kita boleh memberi empati kepada mereka atau tidak.

“Maksudnya menyelami perasaan mereka. Jadi kalau kita boleh menyelami permasalahan mereka itu, dapat memujuk mereka, dapat membawa mereka melihat balik keputusan yang mereka nak buat bunuh diri ini betul ke tidak, selalunya mangsa ini akan tone down, mengubah keputusan dan dapat diselamatkan dengan kaedah yang tidak memerlukan kekerasan,” jelasnya.

Dalam usaha menyelamatkan mangsa, anggota bomba adakalanya terpaksa mempraktikkan kemahiran yang lebih tinggi dan lazimnya menggunakan tali.

Anggota yang menggunakan tali akan membuat serbuan mengejut kepada mangsa yang boleh diselamatkan dan kemudian ambil tindakan drastik selagi ia tidak membahayakan penyelamat dan mampu menyelamatkan mangsa.

Anggota bomba sedia menyelamatkan orang yang nak bunuh diri. Foto: JBPM


“Saya tengok pada trend yang paling tinggi ialah cubaan bunuh diri di bangunan, maksudnya yang paling banyak itu saya tak ada figure yang spesifik tetapi bangunan yang mendominasi. 

“Cuma kalau yang sungai, kebanyakan mangsa telah terjun dan ada saksi yang melihat dan kita lebih kepada mencari dan menyelamat..tapi yang ketara sekali bangunan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai peratusan kelompok paling besar dalam cubaan membunuh diri, beliau berkata, kebanyakan mangsa merupakan daripada golongan tenaga kerja aktif iaitu dalam lingkungan usia 16 hingga 60 tahun.

Pecahan umur mangsa bunuh diri: Kredit: JPBM


Masyarakat kadangkala perlu peka dengan perubahan seseorang individu terutama pada masa ini ramai yang kehilangan pekerjaan, syarikat tidak mampu bertahan dan ia sekali gus menjurus ke arah perubahan diri mangsa.

“Jadi apabila berlaku perubahan diri ini, selalunya mangsa ini dia lebih kepada nak bercerita tentang permasalahan itu. Jadi sebagai anggota masyarakat, bagi saya tidak salah kiranya apabila orang itu bermasalah kita luangkan masa mendengar dan pada masa yang sama menasihat.

“Keduanya saya lihat juga kepada isu apabila orang bermasalah dan cubaan bunuh diri selalunya trend bahawa dia akan katakan dua tiga kali mengugut, niat itu maksudnya memaklum.

“Jadi kita kena dekati mereka, empati kan mereka dan kalau yang lebih baik kita ada platform yang memberikan perkhidmatan kaunseling untuk diberikan.

“Kalau bomba ini bukan pakar dalam memberi kaunseling, tetapi kita ada platform yang disediakan oleh Jabatan Perpaduan..kalau kewangan, ada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan kita juga ada pegawai kaunseling di hospital-hospital,” jelasnya.

Justeru, Nor Hisham menyarankan agar masyarakat memberi sokongan kepada mangsa-mangsa dan yakinkan mereka bahawa bukan satu dosa atau kesalahan untuk mendapatkan pandangan daripada pihak ketiga dalam memberi pandangan khususnya khidmat nasihat.

Mulakan langkah dan hentikan stigma. Anda boleh mengubah kehidupan seseorang menjadi lebih bermakna.


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu