BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Jumaat, 18 Disember 2020

RBIK : Kenapa orang Melayu pakai tanjak?


Sejak akhir ini, acap kali kita nampak orang memakai tanjak, atau tengkolok, di mana-mana. Semakin ramai orang Melayu bergaya mengenakan pakaian kepala tradisi ini yang berbagai bentuk, warna dan gubahan.

Bagaimanapun beberapa tahun dahulu, pemakaian destar ini adalah sesuatu yang sangat janggal. Kata Sallehin Hussain, pernah satu ketika dia terasa sangat berat untuk melangkah di dalam KLCC apabila semua orang melihatnya dengan air muka hairan kerana memakai tanjak.

Namun digagahkan jua dan ditepis perasaan malu itu kerana memikirkan bahawa itu adalah pakaian orang kita, orang Melayu, yang patut menjadi kebanggaan, bukan kemaluan. Daripada minat memakai, ia berbunga menjadi rasa ingin mendalami ilmu seni busana bangsa ini. Maka empat tahun lepas dia mula mengarang tanjak dengan sendiri, dan belajar sedikit demi sedikit dengan guru dan kenalan sealiran.

Pada asalnya, dia mengarang tanjak untuk dipakai sendiri. Tetapi ada khalayak yang menghargai hasil kerjanya dan bermulalah perusahaan sambilannya menghasilkan tanjak atas permintaan dan pesanan orang. Kini, dia sudah memiliki sebuah ruang pejabat untuk dia lebih selesa mengarang, tetapi tetap seorang diri. Segala-galanya daripada memotong kain, menjahit dan menggubah, semuanya dibuat dengan tangannya sendiri.

Empat tahun mengusahakan tanjak, Sallehin akui berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk dikecam oleh bangsanya sendiri. Ada sahaja orang yang mengaku diri lebih benar dan mengatakan orang lain salah. Dia tidak kisah dikatakan salah kerana dia pun baru sahaja belajar ilmu ini, namun kadang kala ada yang menegur itu tidak bersama nilai Melayunya yang penuh adab dan sopan.

Akibatnya wujud beberapa kumpulan yang masing-masing mengaku betul dan menuduh orang lain salah. Namun dalam debu kemelut itu, Sallehin melihat sinarnya, bahawa tanjak dan tengkolok semakin diperkatakan dan semakin ramai yang mula menggali ilmunya. 

Ilmu Melayu tersangatlah luas dan bukan sahaja kaya, tapi juga sangat halus dan dalam falsafahnya. Destar bukan sekadar fesyen di kepala, tetapi ia membawa makna pengenalan si pemakai - dari mana asal, apa kedudukannya. Dan pembuatannya penuh dengan makna, pantang larang dan tertib. Kenapa? Itu rahsianya yang perlu kita cari bersama.

Hari ini makna kewujudan tanjak atau tengkolok tidak begitu dirasakan mustahak kerana semua orang sudah ada kad pengenalan masing-masing (kecuali pendatang asing). Bagaimanapun, andai satu hari segala teknologi tiba-tiba luput dan tidak berfungsi, bagaimana untuk manusia terus hidup dan mengenal kelilingnya?

Ilmu Melayu adalah merentas zaman dan relevan sampai bila-bila. Adalah satu kerugian jika seorang Melayu itu sendiri tidak mengenali kekuatan bangsanya sendiri. Bukan untuk bermegah dan mengecilkan bangsa lain, tetapi untuk berkongsi manfaatnya dengan sekalian alam. 

Maka satu petang, saya hadir menziarah juragan Tanjak Fansuri ini di pejabatnya yang baru dibuka di sekitar Ukay Perdana, Ampang. Apa yang dia tahu, dia kongsikan. Kalau ada yang tidak betul, sama-sama kita perbetulkan dengan hemah dan kebijaksanaan. Kerana Melayu itu bangsa yang mekar dengan kelembutannya.





Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu