Kenapa begitu malang nasib kita asyik ditimpa bala? Apakah ia memang satu sumpahan menjadi manusia takkan hidup tenang di dunia? Atau sebenarnya silap kita sendiri yang membawa nasib spesis kita menuju bencana?
Belum berakhir badai hebat COVID-19 yang menggelapkan seluruh tahun 2020, tanah air kita dilanda musibah banjir, buat kesekian kalinya. Tiap-tiap tahun banjir. Semacam satu acara tahunan yang menjadi identiti negara kita di mata dunia, tapi acara yang dipenuhi duka.
Orang kita hilang tempat tinggal, rugi ribuan malah jutaan ringgit, lebih buruk lagi kepergian ahli keluarga ditelan limpahan air ini. Mereka yang tinggal atas singgahsana di pusat bandaraya hanya membaca tentangnya di berita, dan menjadi sekadar sebuah berita. Seakan tidak dipedulikan. Kalau benar peduli kenapa kesialan ini terus berulang?
Ada satu kenyataan di berita tempoh hari yang mengatakan banjir berlaku kerana taburan hujan di luar jangka. Kenapa alam pula dipersalahkan, walhal kita yang gagal membaca sebab musabab di sebalik kejadiannya? Sejak kewujudannya lebih 4.5 bilion tahun lalu, Bumi berfungsi dalam sistem yang sama. Sehinggalah kedatangan manusia, dan kerakusan spesis ini telah mengubah iklim dunia.
Sejak 'turunnya' Nabi Adam ke bumi, alam dan manusia saling bergantungan. Qabil belajar mengebumikan Habil daripada melihat perilaku gagak, Ibrahim mengenal Tuhan daripada membaca makna dalam setiap perincian segala unsur alam sekitarnya. Kita berfungsi bersama dan digerakkan oleh satu Kuasa yang Agung.
Sekiranya kita faham apa maknanya hidup dalam kesatuan, kita akan mengambil berat keadaan ahli kita yang lain kerana nasib kita juga bergantung kepada kesejahteraanya. Dalam satu Sistem Agung ini, kita adalah ahlinya bersama dengan haiwan, tumbuhan, tanah, air, api, angin dan segala unsur yang wujud. Dan dalam kalangan semua itu, manusia adalah yang paling istimewa kerana dikurniakan akal untuk menjadi khalifah mentadbir kestabilan Sistem Besar ini.
Namun apabila manusia tidak menyedari dan memahami bahawa kita semua adalah satu, maka wujudlah segala cabang kejahatan di dunia ini. Bermula dari hasad Qabil terhadap Habil, manusia berbunuhan, dan tetap berbunuhan sehingga hari ini kerana martabat, ego, kekayaan dan kuasa. Didorong oleh rasa tidak puas dan tidak pernah tahu bersyukur.
Apa yang telah diajarkan oleh sistem pendidikan kita yang menekankan tentang pemahaman ini? Kita diajarkan pelbagai subjek tanpa diceritakan falsafah di sebalik ilmu-ilmu itu. Akhirnya, melahirkan manusia yang tidak faham tentang fungsi dirinya lalu menjarah alam untuk membesarkan temboloknya sendiri.
Ketika negara mencatatkan peningkatan kes jangkitan wabak saban hari, kita dilanda banjir sekali lagi, dan pada masa yang sama jugalah politikus sibuk bergaduh tentang hal pecat lah, lompat parti lah, pakatan itu pakatan ini lah, tak sudah-sudah. Sedangkan rakyat di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sehelai sepinggah basah kuyup terumbang-ambing di atas air bah. Tiap-tiap tahun, terutamanya di pantai timur.
Sejujurnya, selepas 63 tahun 'merdeka', kita masih lagi belum menganggap kita semua adalah satu. Hanya pada nama, tetapi kita belum cukup memahami apa makna Malaysia. Kepelbagaian di tanah bertuah ini pada hakikatnya adalah sebuah kesimpulan dunia yang beraneka. Namun kita masih belum melihat Malaysia ini sebenar-benar rumah kita. Kalau tidak, masakan ada yang tanpa rasa bersalah membuang sampah merata-rata. Seremeh itu, tetapi siapa yang sanggup buang sampah merata di dalam rumah sendiri melainkan dia memang pengotor dan tak sayang rumahnya?
Bukan sahaja mengundang bencana alam, malah kita telah mencipta bencana pada masa sama. Segala kemalangan yang terjadi adalah apabila hilangnya keseimbangan dalam pemikiran dan waras akal orang yang diamanahkan untuk menjaga sesuatu. Kita tidak boleh menyalahkan takdir Tuhan, sedangkan sudah disebut bahawasanya tidak akan berubah nasib sesebuah kaum itu melainkan oleh gerak mereka sendiri.
Tikus takkan datang kalau rumah kita dijaga bersih. Kemalangan jalan raya takkan jadi kalau jalan tidak berlubang dan berbenggol. Bencana takkan berlaku kalau alam tidak diganggu. Banjir takkan jadi kalau pokok yang menjadi penampan semula jadi tidak ditebang. Celaka takkan menimpa sekiranya perjanjian manusia dengan tuhannya tidak dilanggar. Kita telah melampaui batas dan sendiri mengundang malapetaka.
Dalam hal ini, kita semua bersalah. Kita bersalah apabila terlalu bergantung harap kepada mereka 'di atas sana' tanpa berbuat apa-apa dengan kuasa yang kita ada. Kuasa dalam makna ini adalah segala kemampuan setakat mana yang dimiliki. Biarkanlah mereka bertikam tak sudah, sejak dahulu mereka memang begitu. Kita sebagai manusia berakal seharusnya memiliki jiwa merdeka yang tahu berjalan sendiri bersama mereka yang senada tanpa mengharapkan sesiapa kecuali diri sendiri dengan restuNya.
Sebagaimana yang dikatakan penyair dan pemikir Islam, Muhammad Iqbal dalam puisinya 'Hikmah Nabi Musa':
Kau lahir seekor helang, jangan ikuti jalan pemakan bangkaiSeekor burung harus membangun sarang di tamanMenurut citanya sendiri.Kau yang memiliki angan-angan tinggi mengangkasaJangan merasa rendah di hadapan seekor burung.Bangunlah kembali langit lapis sembilan iniDan bentuklah kembali dunia ini menurut citamu.
Sebelum kita mahu membetulkan kerajaan, kita harus membetulkan diri kita sendiri dahulu. Cerminlah diri, sebenarnya ada kekurangan kita yang tidak kita sedari menyumbang kepada kecelakaan ini. Walaupun sekecil perbuatan membuang sampah merata, ketahuilah ia berupaya mengubah segalanya. Seperti menukar lorong tanpa memberi isyarat atau parkir di bahu jalan boleh menyebabkan kesesakan trafik sehingga berkilometer panjangnya. 'Butterfly effect' namanya.
Membetulkan kerajaan sebenarnya bukanlah semudah mengadakan pilihan raya. Tidak juga terlalu rumit, tetapi ia perlu ditanam, disemai, disiram, dan dijaga supaya kukuh dari akar umbinya menjadi sebuah gerakan yang jitu. Daripada ekosistem yang sihat dan sejahtera jasmani serta rohani, kita akan melahirkan pemimpin masa depan yang seiring dengan perjuangan yang sama menuju jaya dan redhaNya.
Fungsi kewujudan kita adalah untuk mensejahterakan alam ini dengan segala yang dikurniakan tuhan kepada kita. Dalam Sistem Agung ini, setiap dari kita punyai ciri unik dan istimewa serta peranan masing-masing untuk dimanfaatkan supaya kitarannya bergerak cantik dalam aturanNya. Bukan untuk semata-mata melepaskan tengkuk sendiri, apatah lagi menyembelih tengkuk lain demi kesenangan diri.
Apabila kita pulang ke negeri abadi kelak, kita akan ditanya apakah manfaat yang telah kita bawa di tempat persinggahan kita ini. Kita sembahyang tak tinggal, tapi apa gunanya kalau hati penuh tamak haloba hasad dengki iri hati. Kita terlalu mengejar ganjaran (pahala), sehingga akhirnya tidak mengenal erti ikhlas dan jujur. Definisi berjaya kita sudah carca marba, dan ini perlu kita renung kembali dan segera kita perbetulkan.
Ini adalah sebuah perjuangan panjang sampai ke liang lahad yang ditempuh oleh setiap makhluk bernama manusia, tidak ada seorang pun yang sempurna. Namun, lebih baik menyedari kekhilafan diri dan berjuang untuk memperbaikinya hari demi hari. Impian untuk melihat negara dan dunia yang sejahtera bermula dari setiap tindakan kita sebagai seorang insan. Bak kata Michael Jackson, "if you wanna make a world a better place, take a look at yourself and make a change."
Apabila manusia dapat kembali berdiri teguh di atas paksi keseimbangannya, maka berakhirlah bala bencana malapetaka di Bumi yang dipertanggungjawabkan kepada kita ini.