Source: YouTube
|
Nayarana Reddy atau lebih dikenali sebagai "Grandpa Kitchen" menghembus nafas terakhir pada usia 73 tahun, 27 Oktober lalu.
Namun kehidupannya penuh bermakna bukan sahaja kepada ahli keluarga dan kenalan rapat, tetapi juga kepada ratusan anak yatim serta lebih enam juta penonton di saluran YouTube, Grandpa Kitchen.
Kepada yang kenal atau tidak kenal, warga emas yang berasal dari Telangana, India ini menyahut hati ramai peminat melalui YouTube kerana masakan kuantiti besar bagi mengisi perut mereka yang kurang bernasib baik, terutamanya anak-anak yatim.
Bagi menghargai pemergiannya di dunia ini, mari kita mengenang jasa baik lelaki hati emas ini terhadap komuniti serta penonton seluruh dunia.
Masak dan memberi makan kepada anak yatim
Reddy bersama tiga lelaki sering memasak pelbagai jenis makanan dari masakan tempatan seperti kari kambing atau biryani ayam, kepada masakan Barat seperti pizza dan chicken popcorn, semua bagi menderma kepada golongan miskin dan anak-anak yatim.
Mereka kemudian merakam perbuatan itu dan kongsikannya pada seluruh dunia melalui YouTube.
Menderma hasil dari tontonan YouTube kepada mereka yang susah
Sejumlah 380 juta tontonan di 160 buah video di YouTube Grandpa Kitchen mengutip wang yang bertujuan untuk membeli keperluan asas seperti peralatan sekolah, pakaian serta bahan memasak dan diderma kepada golongan miskin.
Reddy turut menggalakkan orang ramai mengikut video-video yang dimuat naik serta subscribe kepada saluran itu supaya dapat bersama membantu yang susah.
|