Hari kedua kami di Ozamiz City jatuh pada hari Ahad. Semua orang cuti, kedai ditutup termasuklah kedai makan yang diusahakan Jonathan Forosuelo dengan isterinya, Estela. Inilah hari untuk mereka meluangkan sepenuh masa bersama keluarga.
Sepertimana diberitahu semalam, hari ini mereka mahu membawa saya dan Ian ke sebuah sungai yang menjadi tempat penduduk sekitar menikmati Ahad mereka. Pagi-pagi lagi tiga orang anak mereka sudah siap memakai pakaian renang, terutamanya si bongsu yang berlari ke sana ke mari sambil kedua-dua orang tuanya menyusun bekalan makanan ke dalam kereta.
Lebih kurang 15 minit pemanduan, kami melewati pekan, kampung dan kawasan pedalaman yang rupanya tidak jauh dengan suasana desa kita di Malaysia. Malah tidak langsung terasa asing kerana rupa mereka dengan kita seakan serupa, cuma bahasa mereka yang kembali menyedarkan bahawa kami berada jauh di Filipina.
Kemudian kami perlu berjalan kaki melalui denai yang merentasi ladang dan anak sungai sebelum tiba ke tempat yang dimaksudkan, sungai Bati-Bati di kawasan bernama Bito'on. Sepanjang tebingnya didirikan deretan pondok untuk disewa kepada pengunjung. Airnya dingin mengalir dari tanah tinggi dan jernih hingga menampakkan keriril di dasar sungai. Tebing setinggi lebih kurang empat meter di seberang sungai menjadi tempat anak-anak muda mempamer pelbagai aksi terjunan.
Semakin lama, semakin ramai yang memenuhi kawasan perkelahan itu. Ada yang seperti kami membawa bekalan makanan dari rumah, ada juga yang menyembelih ayam dan terus memanggangnya di situ. Jaring penutup kipas meja dijadikan gril memanggang ayam dan ikan.
Mereka tiada pusat beli belah besar dengan panggung wayang, jadi beginilah penduduk sekitar Ozamiz City, Clarin dan penempatan sekitarnya meluangkan hujung minggu mereka. Memandangkan tidak ramai pelancong luar yang datang apatah lagi ke kawasan perkelahan terpencil sebegitu, rasanya kami berdua sahaja orang luar yang berada di situ. Cuma tak nampak sangat sebab rupa lebih kurang sama.
Ketika matahari semakin condong ke barat, selepas puas terjun, main air dan makan di situ, kami berkemas untuk ke satu lagi lokasi berlibur hujung minggu orang tempatan. Kami dibawa ke Pantai Rama yang jauhnya dalam 30 minit dari Bito'on.
Terletak di daratan paling barat di Ozamiz City, pantainya menyambut hempasan ombak kuat dari Teluk Iligan. Istimewanya pantai Rama ini adalah pasir hitamnya, kesan daripada letusan Gunung Malindang jutaan tahun lalu yang kini diklasifikasi sebagai gunung berapi mati. Selainnya, sama seperti pantai-pantai biasa yang lain.
Cumanya di sini, deruan bayu kuat dan bunyi ombak membawa bersama suara orang berkaraoke di hujung pantai. Kalau sedap, tak apa.
-Israr Khalid