BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 9 Jun 2020

Benarkah Robert Johnson menjual rohnya kepada syaitan?



Robert Johnson, legenda blues yang tersohor dengan keunggulan kemahiran blues dan cerita dongengnya.

Ceritanya bermula pada suatu hari di tahun 1930, seorang anak muda berusia 19 tahun yang bercita-cita mahu menjadi pemuzik blues bernama Robert Johnson melepak di sebuah 'juke joint' di Mississipi Delta. selatan Amerika.

Petang itu legenda blues, Son House dan Willie Brown bergilir-gilir menghiburkan khalayak yang memenuhi premis istirahat Robinsonville di pinggir bandar itu selepas seharian membanting tulang di ladang.

Ketika waktu transisi antara set kedua-dua pemuzik itu, Johnson memberanikan diri ke pentas dan mula bermain gitar. Namun ia tidak mendapat sambutan yang diharapkan.

"Dia mula bermain dan hanya membingitkan telinga orang."

"Mereka keluar dan berkata 'apa kata salah seorang daripada kalian suruh budak itu berhenti bermain gitar. Naik gila kami dibuatnya!" imbas House dalam satu dokumentari tentang Johnson bertajuk 'ReMastered: Devil at the Crossroads' di Netflix.

Akhirnya Johnson dihalau keluar dari permis itu, dan itulah kali terakhir kelibat anak muda itu kelihatan. Selama lebih kurang setahun, Johnson hilang tanpa sebarang khabar.

'Juke joint', tempat komuniti Afrika-Amerika melepak dan bersuka-ria zaman dahulu.


Kemudian pada satu malam, Johnson kembali dengan menggalas sebuah gitar di belakangnya. Dia mula memetik gitar pada irama blues dengan teknik dan kemahiran yang tidak pernah didengar dan dilihat oleh sesiapa pun sebelum ini.

Bagaimana seorang budak mentah yang dihalau daripada Robinsonville setahun yang lepas boleh kembali dengan kehebatan luar biasa? Maka orang ramai hanya ada satu penjelasan - dia menjual rohnya kepada syaitan.

Kisah dongeng ala Faustian ini sememangnya menggamit perhatian orang ramai untuk mempercayainya. Ada banyak versi tentang bagaimana dan di mana 'perjanjian gelap' itu terjadi.

Sampai hari ini ramai yang percaya cerita itu. Tapi benarkah Johnson benar-benar menjual jiwanya kepada syaitan?

Cucu Robert, Steven Johnson menafikan dogeng itu dan meminta orang ramai berfikir secara logik dan memahami bakat yang dimiliki atuknya. Dia yang merupakan naib presiden Robert Johnson Blues Foundation menceritakan bagaimana atuknya dengan pantas daripada seorang pemain amatur menjadi legenda blues.

"Hanya kerana Michael Jordan begitu unggul di atas gelanggang maka dia menjual jiwanya kepada syaitan? Tidak, dia berlatih. Dia berlatih berkali ganda berbanding orang lain," katanya dalam satu temuramah.

Menurut Steven, kehilangan atuknya yang dikira hampir tiga tahun sebenarnya adalah kerana dia pergi berguru dengan seorang pemuzik blues hebat bernama Ike Zimmerman.


Ike Zimmerman, tok guru Robert Johnson.

Dia tidur di rumah Zimmerman untuk menuntut ilmu bermain gitar dan mendalami muzik blues. Pada waktu malam, Zimmerman akan membawanya ke tanah perkuburan untuk berlatih kerana katanya, "buruk mana pun kau main, takkan ada orang yang akan marah."

Jadi apa sebenarnya yang terjadi di simpang empat yang dikatakan tempat Johnson bertemu syaitan dan memetrai perjanjian dengannya?

Robert Johnson hidup susah, berpindah randah dari rumah ke rumah dan dilayan dengan teruk oleh bapa tirinya. Dia pernah berkahwin, namun buah hatinya Virginia meninggal dunia ketika melahirkan anak mereka.

Kisah cintanya sering tidak menjadi sehingga dia berubah menjadi kaki botol dan kaki perempuan. Dia meninggal dunia pada usia muda 27 tahun atas sebab yang tidak diketahui, dan tempat persemadiannya ada tiga - mana satu yang betul pun tak tahu.

Ini antara perkara yang menguatkan lagi dongeng pengabdian syaitan itu. Namun ramai juga yang percaya, Johnson mati kerana diracun oleh suami salah seorang perempuan yang ditidurinya.


Persimpangan 61-49, lokasi paling popular yang dikatakan di mana tempat Johnson memetrai perjanjian dengan syaitan.

Walaupun dengan kemahiran luar biasa, karier Johnson tidak begitu bergemerlapan. Dia hanya sempat terlibat dalam dua sesi rakaman, di San Antonio pada 1936 dan di Dallas pada tahun berikutnya, yang menghasilkan 29 buah lagu.

Apabila lagu-lagunya diterbitkan semula dalam album 'King of the Delta Blues Singer' pada 1961, barulah nama Johnson lebih dikenali lantas menjadi antara album blues yang paling berpengaruh yang pernah diterbitkan.

Keunggulan Johnson telah mempelopori gaya baharu blues melangkaui zamannya, menginspirasikan ramai pemuzik hebat seperti Eric Clapton, Bob Dylan dan Keith Richards. Memetik kata Clapton, "Robert Johnson adalah penyanyi blues paling penting yang pernah hidup."

Mendengar lagunya 'Crossroad Blues', ramai yang mengaitkan dengan cerita pertemuannya dengan syaitan di sebuah persimpangan. Tapi Steven memahami lirik yang ditulis atuknya itu dari aspek yang berbeza.

I went to the crossroad, fell down on my knees. Asked the Lord above, 'Have mercy, now save poor Bob, if you please.

"Adakah ia berbunyi seperti orang yang membuat perjanjian dengan syaitan? Dia berada di persimpangan hidupnya.

"Dan itulah apa yang dibuat atuk saya di persimpangan itu, dia mencari dan cuba melakukan yang terbaik," jelas Steven.

Sememangnya Johnson mengabdikan dirinya, bukan kepada syaitan tetapi kepada muzik blues yang diminatinya. Keunggulan tak datang dengan mudah, semuanya daripada kerja keras dan ketekunan.

Asal hebat saja, jual jiwa kepada syaitan. WTH.



Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu