Romario dianggap sebagai antara pemain terbaik yang pernah menyinari dunia bola sepak.
Pemain Brazil itu pernah beraksi di Barcelona di bawah kendalian pengurus legenda, Johan Cruyff selama dua musim dari 1993 hingga 1995.
Semasa itu dia berada di kemuncak kariernya, dan seperti biasa menjadi orang Brazil, tidak sah kalau bukan kaki parti. Bila dah berparti, dia memerlukan cuti lebih untuk berehat sebelum kembali beraksi di atas padang.
Tambahan pula kampungnya Brazil jauh berbanding pemain-pemain lain yang kebanyakannya sekitar Eropah, maka dia mendapat akal untuk membuat rundingan dengan Cruyff.
Kisah ini diceritakan sendiri oleh Cruyff dalam satu temu bual dengan majalah L'Equipe pada April 2012.
"Pernah sekali dia datang kepada saya dan meminta cuti tambahan dua hari kerana mahu pulang ke Brazil, pastinya kerana ada Carnival di Rio berlangsung ketika itu.
"Jadi saya jawab, "kalau kau jaringkan dua gol esok, aku bagi kau cuti lebih daripada orang lain."
"Esoknya, dia jaringkan gol keduanya pada minit ke-20 dan kemudian memberi isyarat minta digantikan segera. Katanya "Coach, kapal terbang saya berlepas dalam satu jam lagi!"
"Saya tak ada pilihan melainkan berpegang pada janji saya," cerita legenda Belanda itu.
Dan ia adalah ketika perlawanan El Clasico menentang Real Madrid pada 1994. Barcelona menang 5-0 di mana Romario menjaringkan hatrik, lebih daripada apa yang dituntut Cruyff.
Legend teruk.
Nak buat macam mana, dah janji... |