Perasan tak, jarang kita nampak orang Korea gemuk. Ada pun tak ramai lah, tapi secara amnya susah nak nampak orang Korea mengalami obesiti.
Kenapa? Nak kata di Korea tak ada restoran makanan segera, mustahil. Jadi apa rahsia fizikal molek negara K-Pop ini.
Di sebalik keunggulan industri kosmetiknya, kecantikan dan kesihatan orang Korea berpunca daripada apa menjadi makanan tradisi mereka sejak kecil - kimchi.
Kimchi adalah sejenis hidangan Korea yang dibuat dengan cara penapaian (fermentation) daripada adunan sayur-sayuran, lazimnya kobis napa dan lobak dengan serbuk cili 'gochugaru'.
Ada ratusan variasi kimchi yang dibuat dengan pelbagai sayuran lain seperti , daun bawang, bawang putih, halia, makanan laut masin (jeotgal) dan sebagainya.
Selepas digaul bersama, adunan sayuran itu diletakkan di dalam tembikar tanah liat yang kemudian disimpan di dalam tanah dan dibiarkan selama beberapa hari untuk ditapaikan.
Proses penapaian itu menghasilkan pelbagai jenis mikroorganisma yang baik untuk kesihatan badan. Antaranya probiotik yang berkhasiat untuk sistem penghadaman, antioksida yang memperlahankan proses penuaan, selenium yang baik untuk rambut dan kulit.
Satu hidangan 150gram kimchi mengandungi kira-kira 40 kalori, dan kandungan capsaicin dalam cili Kimchi mampu menjana metabolisme badan, sekaligus membantu dalam penurunan berat badan.
Menurut kajian Institut Kajian Sains Nutrisi dan Makanan, Universiti Yonsei di Seoul, diet tradisi Korea yang amnya kurang lemak dan banyak berasaskan sayuran memainkan peranan penting dalam meletakkan negara itu sebagai antara yang paling kurang populasi obes.
Makan banyak sayur, khasiat bakteria baik daripada makanan ditapai, ditambah pula dengan sentuhan kepakaran kosmetiknya. Mana tak 'flawless' 'oppa'.