BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 18 Jun 2020

OK, Zoo Negara tetap best masa PKPP

Saraya Mia di kawasan Panda Observatory, Zoo Negara Malaysia. Foto: @sarayamia

Apabila dengar sahaja berita bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) membenarkan Zoo Negara beroperasi tentu ramai yang teruja.

Namun, dengan situasi global yang masih dalam peperangan melawan COVID-19, ia sangat penting untuk orang ramai tidak lupa untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bermula 10 Jun.

Berikut adalah lima perkara yang anda boleh jangkakan ketika mengunjungi zoo ketika PKPP.

1. Anda diperhati abang polis

Nak berseronok memang boleh, tetapi jangan lupa penjarakan sosial kerana anda tidak mahu dikompaun kerana melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan. 

Pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dikerahkan untuk memantau setiap pergerakan anda, lagi-lagi di kawasan "sensitif" (tempat orang ramai berkumpul) seperti tempat persembahan dan panda observatory atau tempat melihat panda. 

Menurut Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmat Lana, seramai lima pihak berkuasa akan dikerahkan pada hari minggu manakala jumlah itu akan ditambah pada hujung minggu bagi memastikan SOP dipatuhi setiap pengunjung.

2. Anda akan ditanda

Ya, anda sekeluarga akan dikenakan tanda menggunakan pelekat berwarna bagi tujuan mengelak kekeliruan pihak pemantau ketika melakukan tugas memastikan penjarakan sosial.

Ahli keluarga yang menduduki rumah yang sama sahaja dibenarkan berkumpul di satu kawasan pada satu-satu masa, dan bagi individu lain, jarak sekurang-kurangnya satu meter wajib diikuti untuk mengelak disoal siasat pihak berkuasa, sekali gus elak daripada kenda denda! 

Jangan risau, ada juga tanda pada jalan bagi memastikan anda menjaga jarak sosial.

3. Orang mengiringi anda di tempat persembahan haiwan

Bagi memastikan keadaan tidak kelam kabut di tempat persembahan haiwan, terdapat kakitangan zoo yang akan mengiringi setiap pengunjung bersertakan kad nombor yang diberi kepada setiap individu bagi menetapkan tempat duduk masing-masing.

Juga, setiap tempat duduk akan ditandakan dengan pangkah bagi mengasingkan satu keluarga dengan keluarga yang lain supaya kapasiti penuh dapat dicapai tanpa berlaku kesesakan.


4. Dua persembahan dalam satu hari

Jika anda pernah kunjungi Zoo Negara, anda mesti tahu tarikan utama zoo adalah persembahan haiwan pada jam 12 tengah hari setiap hari. Dengan keadaan sekarang yang sudah berbeza, haiwan-haiwan di Zoo Negara akan memberi persembahan sebanyak dua kali sehari bagi memastikan semua pelawat dapat menikmati persembahan haiwan.

Jangan risau, menurut Rosly, haiwan itu memang mampu melakukan dua persembahan setiap hari. Pasti mereka turut diberi makan dengan lebih kalau bekerja lebih masa, jadi jangan lupa memberi tepukan yang gemuruh kepada bakat-bakat comel kita di Zoo Negara!

5. Jangan sentuh, beri makan haiwan!

Haiwan-haiwan di Zoo Negara ni pandai, mereka akan datang dekat kita meminta makanan, tetapi jangan terpedaya dengan muka tidak kesian haiwan itu kerana SOP tidak membenarkan sesiapa menyentuh atau memberi makan kepada mana-mana haiwan di dalam zoo! 

Perkara ini bagi menjaga kesihatan kita dan juga haiwan, kerana masih banyak yang kita tidak tahu tentang cara penularan virus.

Cuti kakitangan Zoo Negara juga dibekukan pada setiap hujung minggu, semua bagi memastikan perkara ini tidak berlaku. Jadi kesianlah mereka yang bekerja keras ini, jangan langgar peraturan!

Nantikan MISI MIA episod 3 pada Jumaat, di mana pandangan beberapa pihak akan dibincangkan bagi menjawab persoalan anda berkaitan mengunjung zoo ketika PKPP, lagi-lagi bagi golongan anak kecil yang merupakan golongan berisiko tinggi.

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu