BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 29 Julai 2020

Mana datang kempen 'selfie' #challengeaccepted?


Ketika ini sedang rancak di garis masa media sosial kita khususnya di Instagram dan Twitter gambar-gambar selfie hitam putih para wanita dengan tanda pagar #challengeaccepted.

Katanya, ia satu kempen memperkasakan wanita. Namun tak ada penerangan jelas apakah kempennya dan mengapa ia dibuat secara suafoto dan dalam warna hitam dan putih, dan apa kaitan semuanya dengan usaha pemerkasaan wanita.

Saya juga pasti, tak semua wanita yang terjebak sama dalam kempen ini tahu dari mana dan apa maksud di sebalik trend ini. 

Tidak salah, kami pun suka melihat garis masa dipenuhi wajah gadis cantik jelita yang yakin diri. Tapi ada baiknya kita tahu apa yang kita buat, taklah ikut membuta tuli sahaja macam burung kakak tua.

Jadi mari saya kongsikan latar belakangnya.

Sejak beberapa tahun belakangan ini, kes keganasan terhadap wanita mencanak naik di serata dunia. Turki antara negara yang mencatatkan kes tertinggi kes pembunuhan wanita, di mana dilaporkan lebih 1,000 wanita menjadi mangsa kes bunuh dek keganasan berasaskan jantina sejak 2010.

Kes semakin memburuk saban tahun. Pada 2019, dicatatkan hampir 500 nyawa wanita terkorban. Tahun ini dalam bulan Julai sahaja, 40 wanita sudah terbunuh - yang mana sebahagian besarnya oleh saudara lelaki terdekat.

Pada 16 Julai, seorang pelajar universiti bernama Pınar Gültekin dilaporkan hilang. Kali terakhir dia dilihat adalah ketika menunggu bas di daerah Mugla. Beberapa hari kemudian, mayatnya ditemukan. Bedah siasat mendapati Pınar dipukul, dicekik, sebelum ditanam di dalam sebuah tong.

Pembunuhnya berjaya dikenal pasti, yang kemudian diletakkan di bawah penjagaan pihak polis susulan liputan meluas khususnya di media sosial. 

Begitulah kesudahannya seperti kebanyakan kes terdahulu, di mana defendan selalunya dilepaskan tidak lama selepas ditangkap atau hanya dikenakan hukuman yang ringan. Bilangan kes yang dicatatkan itu bukanlah angka sebenar kerana banyak kes yang tidak dilaporkan, disembunyikan dan dipadamkan.

Menurut perkongsian di media sosial oleh warga Turki yang menetap di luar negara itu, kerajaan Turki yang sangat konservatif tidak menggalakkan malah menyekat sebarang kegiatan aktivisme dan hebahan untuk menyedarkan khalayak tentang isu ini.

Setiap pagi, garis masa media sosial warga Turki serta akhbar dan siaran berita mereka dipenuhi dengan gambar wanita yang terbunuh dalam hitam putih.

Jadi, cabaran gambar hitam putih dimulakan sebagai solidariti kepada nyawa para wanita yang terkorban dan cara supaya suara kaum hawa didengari. Sebagai peringatan, mungkin suatu hari nanti wajah mereka yang disiarkan dalam hitam putih kerana menjadi salah seorang daripada mangsa kekejaman jantina.

Biasan daripada gerakan ini, banyak juga kempen dibuat oleh badan-badan bebas untuk membantu melindungi wanita di Turki khususnya, dan di seluruh dunia amnya. Antaranya kempen yang dianjurkan oleh American University Turkish Cultural Club (Instagram @auturkishculturalclub) dan banyak lagi. Cari sahaja, pasti ada.

Di samping berselfie cantik, marilah luaskan sokongan kita terhadap kempen ini supaya jenayah melibatkan penindasan dan keganasan wanita dapat ditamatkan. Supaya kita dapat hidup di dunia ini dengan harmoni sebagai sebenar-benar manusia.

RancakTV peduli.


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu