Sedih tetapi benar, sambil manusia mengejar kekayaan dunia, hidupan liar bergelut untuk mencari makanan dan mengekalkan habitat mereka.
Nak kaya punya pasal, manusia sanggup memusnahkan habitat, memburu haiwan untuk kepentingan peribadi - menyebabkan habitat sesetengah spesis terancam dan ekosistem semula jadi terganggu.
Apa bila terganggu, haiwan liar didakwa menceroboh kawasan jajahan manusia, terlibat dalam kemalangan jalan raya, terlibat dengan pemburuan haram dan akhirnya menyebabkan kepupusan.
Bagi menggambarkan spesis mana yang lebih teruk terancam, JJSmooth44 menggunakan imej dengan piksel yang tidak jelas.
Lagi terancam haiwan itu, lagi tidak jelas gambar mereka.
Berikut hasil karya JJSmooth44.
1. Badak sumbu Java
Setakat Mac 2020, spesis badak sumbu Java (Rhinoceros Sondaicus) dikategorikan sebagai haiwan terancam yang kritikal, dengan hanya sekitar 58 hingga 68 yang hidup di habitat asalnya (lapor WWF).
Seperti yang dilihat pada gambar di atas, tak nampak langsung rupa badak sumbu itu.
Sebelum ini, spesis badak sumbu Java pernah mendominasi jumlah spesis badak lain di dunia, namun kini menjadi antara haiwan darat yang terancam.
Kini hanya tinggal seekor yang masih hidup, iaitu di Taman Nasional Ujung Kulon di Indonesia, manakala populasinya di Vietnam telah pupus sejak 2010.
2. Gajah pygmy
Spesis gajah pygmy (Elephas maximus borneensis) yang tinggal di hutan Borneo, Sabah serta Indonesia kini dikategorikan sebagai terancam dengan hanya 1,500 ekor.
Gambar di atas juga menunjukkan bahawa jumlah spesis itu mungkin tidak akan kekal untuk tempoh yang lama, jika tiada tindakan yang dilakukan untuk melindungi spesis itu.
Punca gajah pygmy terancam adalah kerana kemusnahan habitatnya iaitu hutan untuk tujuan pembangunan dan pertanian skala besar.
3. Orangutan Borneo
Menurut WWF, populasi orangutan Borneo (pongo pygmaeus) telah berkurangan dengan ketara berbanding satu abad lalu.
Terdapat 230,000 ekor orangutan yang hidup satu abad yang lalu, tetapi kini hanya sekitar 104,700 ekor dan dianggap sebagai spesis terancam.
Kepupusan haiwan itu adalah sama dengan yang dialami gajah pygmy, semua kerana aktiviti manusia.
4. Penyu
Populasi spesis penyu semakin berkurangan setiap tahun, tetapi yang paling terancam adalah spesis penyu leatherback.
Menurut seaturtlestatus.org, kini lebih kurang 426,000 ekor masih hidup di seluruh dunia, .
Bagi penyu hijau pula, lebih daripada sejuta ekor yang tinggal setakat Mac 2020.
Punca utama haiwan itu semakin terancam ialah penjualan telurnya untuk dimakan, kulit dan cengkerangnya yang diambil untuk dijadikan barangan hiasan serta pembuangan plastik dan sampah di laut.
Sumber foto: seaturtlestatus.org |
5. Harimau Indochina
Menurut kajian University of Oxford, hanya 221 ekor harimau Indochina yang tinggal di Thailand dan Myanmar.
Punca utama kepupusan harimau ialah kerana pemburuan haram disebabkan industri perubatan tradisional yang menggunakan bahagian harimau bagi tujuan ubat-ubatan, serta bulunya yang digunakan untuk pakaian dan barang hiasan.
Sumber foto: JJSmooth44 yang boleh didapati di https://imgur.com/gallery/NVNsyel