BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Jumaat, 14 Ogos 2020

Jangan tertipu dengan propaganda-propaganda ini



Kehidupan ini penuh dengan propaganda, sama ada tersurat atau tersirat. 

Propaganda merupakan teknik yang mampu mengubah dan mempengaruhi cara pemikiran seseorang atau masyarakat agar mempercayai entiti, syarikat, produk atau parti politik demi kepentingan mereka tersendiri.

Sama ada anda seorang pengguna produk, kakitangan di sebuah syarikat atau hanya seorang warganegara, ia adalah penting untuk anda memahami psikologi di sebalik tipu helah yang dinamakan propaganda ini.

Berikut ialah lima jenis propaganda yang anda harus fahami supaya dapat mengelak daripada diri anda ditipu.

1. Glittering Generalities 

Glittering Genetalities merupakan salah satu teknik propaganda yang paling asas di mana perkataan baik-baik akan diketengahkan.

Janji-janji manis akan ditabur supaya fokus anda akan tertumpu kepada kebaikan sahaja.

Sebagai contoh dalam politik, propaganda ini boleh digunakan untuk memupuk semangat patriotisme, satu teknik yang popular dalam kalangan ahli politik seluruh dunia sejak berzaman lagi.

Perkataan seperti "reformasi", "mengekalkan hak", "mengubah ke arah era baharu", atau "memperbaiki sistem" adalah propaganda yang sering digunakan ahli politik untuk mendapatkan kepercayaan rakyat serta undian.

Dalam industri pengiklanan pula, penekanan perkataan seperti "organik", "menguruskan badan", "dijamin sihat", atau "kurang gula" mampu menarik perhatian pembeli ke arah kebaikan produk itu tanpa memikirkan kesan jangka panjang ataupun kelemahan produk itu.

2. Name Calling/Trash Talking

Mengutuk atau menghina ialah teknik propaganda yang mampu memburukkan pesaing, sama ada secara langsung atau tidak langsung (sarcasm) dengan harapan memberi imej yang baik kepada diri sendiri.

Contohnya di arena politik, setiap kesilapan yang dilakukan oleh pesaing boleh digunakan sebagai senjata untuk menjatuhkan maruah ahli atau parti politik tersebut.

Dalam masa yang sama ia dapat meningkatkan kemarahan rakyat, sekali gus mengukuhkan sokongan terhadap partinya.

Teknik ini juga popular bagi penjenamaan, contohnya apabila satu jenama menggunakan slogan yang menidakkan jenama pesaing dan memberi perbandingan yang ketara untuk memenangi hati pembeli.

Propaganda ini turut diguna pakai untuk kepentingan diri sendiri dengan memburukkan nama orang lain sambil mengharumkan nama masing-masing.

3. Plain Folks

Plain Folks atau 'orang biasa-biasa' adalah satu cara merendahkan diri supaya dapat mempengaruhi orang ramai untuk merasa mereka difahami, serta meyakinkan bahawa entiti itu juga orang biasa, sama seperti semua.

Contoh, jika ahli politik menggunakan teknik yang mana dia meletakkan dirinya pada tahap yang sama dengan rakyat serta kelihatan beramah mesra dengan rakyat, mereka akan lebih cenderung untuk merasa sayang atau lebih belas kasihan kepadanya.

Dalam dunia hiburan, teknik ini digunakan dengan cara berkongsikan cerita kehidupan selebriti yang sederhana atau miskin, sebelum mereka berjaya dalam kerjaya itu, sekali gus dapat menarik hati peminat untuk berasa tersentuh dengan kisah itu dan melahirkan perspektif positif kepada selebriti itu sendiri.

4. Bandwagon 

Terma Bandwagon sering disamakan dengan trend, atau satu cara pemikiran di mana entiti itu mendapat sokongan dan kepercayaan oleh majoriti, atau produk itu digunakan oleh khalayak ramai.

Siapa yang tak ikut perkembangan semasa itu akan berasa ketinggalan, sama ada tidak menyokong ahli politik atau tidak menggunakan produk tersebut.

Menggunakan testimon adalah teknik yang popular di dunia media sosial, turut dikategorikan sebagai sejenis propaganda bandwagon, di mana orang ramai akan lebih percaya kepada satu produk jika lebih ramai mempromosikan produk itu dan memberi ulasan yang positif.

5. Card Stacking 

Dalam Bahasa Melayu, teknik ini dipanggil menyusun kad.

Ia merupakan terma bagi penjual, ahli politik atau pengikutnya akan bercakap tentang kebaikan produk dan diri. mereka supaya dapat mempengaruhi orang ramai untuk menyokong mereka. 

Sebagai contoh, sebuah parti politik akan mengagungkan calon parti itu sebelum atau sewaktu berkempen untuk memenangi hati penyokong sehingga menyebabkan orang ramai percaya bahawa calon itu adalah calon yang tepat untuk diundi.

Dalam urusan jual beli pula, penjual akan mengangkat kehebatan produk yang mereka jual supaya dapat menanam kepercayaan kepada bakal pelanggan untuk membeli produk mereka yang tiada tandingan.





Sumber foto: Brian Wertheim

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu