BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 4 Ogos 2020

Kenapa gajah selalu lalu di jalan raya Kota Tinggi-Mersing?





Gajah, sejenis spesis mamalia terbesar yang hidup di tanah rata memang nampak garang dan bahaya, tetapi haiwan ini tidak harus dilihat sebagai satu ancaman kepada manusia.


Konflik di antara gajah dan manusia yang sering berlaku di dalam negara, terutamanya di Jalan Mawai, Kota Tinggi, baru-baru ini adalah disebabkan kurangnya toleransi di antara manusia dengan haiwan liar itu.

Itu yang dikatakan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban yang percaya konflik ini boleh ditangani jika manusia belajar bertoleransi dan berkongsi kawasan dengan gajah.



Kenapa gajah selalu lalu di jalan raya Kota Tinggi-Mersing?


Insiden manusia bertembung dengan gajah di kawasan jalan raya Kota Tinggi-Mersing ini sebenarnya satu perkara yang biasa dan bukan perkara baharu. Tetapi kenapa?


Ini kerana kawasan itu pada asalnya merupakan habitat bagi hidupan liar sebelum ditukarkan menjadi kawasan pembangunan tanah bagi aktiviti pertanian dan kegiatan manusia seperti jalan raya, perlombongan dan lain-lain.


Jadi kalau kita fikirkan, sebenarnya gajah tidak mencerobohi laluan jalan raya manusia, tetapi manusia yang tumpang lalu di kawasan gajah.


Kata Salman, gajah ini sejenis binatang yang akan menggunakan laluan yang sama setiap tahun, sama seperti manusia yang menggunakan jalan raya yang sama untuk balik ke kampung setiap tahun.


Kenapa baru-baru ini lebih banyak insiden pertembungan dengan gajah?


Kata Salman, pertembungan antara gajah dengan manusia seperti apa yang berlaku sebelum ini di mana beberapa ekor gajah dilaporkan mencari makanan di gerai buah-buahan di Jalan Mawai, sebenarnya bukan pertama kali ia berlaku.


Dengan kemajuan teknologi pada hari ini, di mana setiap individu mempunyai telefon pintar yang boleh merakam dan mengambil gambar, semua orang boleh menjadi wartawan dan melaporkan sesuatu perkara.



Apabila insiden pertembungan gajah dirakam dan ditularkan di media sosial, ia dijadikan satu isu nasional.



Harap-harap dengan kemudahan teknologi ini, isu yang ditimbulkan juga dapat mencari jalan penyelesaiannya, melibatkan inisiatif beberapa pihak, termasuk kerajaan, pemain industri dan orang awam.


Macam mana nak tangani isu konflik gajah-manusia?


Walaupun gajah merupakan satu spesis mamalia yang bersaiz besar dan mampu membunuh manusia dengan hanya satu pijakan, namun sebenarnya ia bukan spesis yang menyerang manusia tanpa sebab.


Menurut Salman, gajah sebenarnya jinak dan mengingatkan orang ramai bahawa jika kita tidak menakutkan atau mengejutkan haiwan itu, ia tidak akan mengancam kita.


Memang ada perspektif bahawa haiwan itu merupakan satu ancaman atau haiwan perosak, lagi-lagi apabila banyak berlaku insiden yang melibatkan gajah mengamuk dan menyerang manusia sehingga ada yang menyebabkan kematian dan kerosakan pada kenderaan, tetapi secara realitinya perkara itu tidak benar.


Manusia seharusnya meningkatkan kesedaran supaya boleh hidup secara aman bersama haiwan liar itu.


Nak buat apa kalau bertembung dengan gajah di jalan raya?


Antara nasihat oleh Salman ialah untuk sentiasa perlahankan atau hentikan kenderaan sepenuhnya apabila melihat gajah melintas.



Jika lampu kenderaan sedang dinyalakan, biarkan sahaja lampu itu ternyala dan jangan tutup dan buka lampu kerana ia boleh menyebabkan perhatian gajah, yang paling aktif di waktu malam, terarah dan mencari lampu, yang kemudiannya boleh menyebabkan ia menyerang kenderaan. 



Itu apa yang berlaku di Gerik, Perak di mana gajah dilaporkan telah pijak sebuah kereta Perodua Axia ketika melintas jalan.



Kalau ingin merakam haiwan itu sedang melintas jalan, memang boleh tetapi ingat, jangan merakam gunakan lampu flash kerana lampu itu boleh menyebabkan haiwan itu berasa terancam, lagi-lagi kalau ada anak gajah berdekatan. 



Fakta: Gajah merupakan haiwan yang sensitif dan mempunyai sifat pelindung terhadap anaknya, sama juga seperti manusia.



Kalau kita ada ladang, macam mana nak elak daripada gajah merosakkan tanaman?



Bagi pemilik ladang sayur-sayuran dan buah-buahan, gajah juga boleh dilihat sebagai haiwan perosak kerana sering berlaku insiden gajah mencerobohi ladang dan merosakkan tanaman atau mencuri hasil tanaman.


Menurut Salman, seekor gajah memerlukan 200 kilogram makanan sehari, dan itu boleh menjadi isu apabila gajah sentiasa mencari makanan di kawasan kebun dan ladang berdekatan habitatnya.


Apa yang pemilik harus lakukan ialah untuk menjalankan aktiviti mitigasi gajah seperti membina pagar elektrik, membina parit gajah serta mengawal ladang dan menyediakan laluan khas (koridor) untuk gajah.



Selain itu, pihak berkenaan juga harus memperkayakan kawasan itu dengan habitat gajah seperti menyediakan sumber makanan bagi haiwan itu, yang memerlukan sumber makanan yang banyak setiap hari.



Akhir kata, suka atau tidak, kita harus terima kehadiran gajah di kawasan tertentu, kerana kita bukan satu-satunya spesis di muka bumi ini. 


Jadi kita sebagai insan berakal, haruslah belajar bertoleransi dan berkongsi sesama hidupan yang lain.



Jika anda berhadapan dengan insiden yang melibatkan gajah, anda boleh menghubungi Jabatan PERHILITAN di hotline 1000-800-88-5151 atau menghubungi balai polis berdekatan. 





Sumber foto: Dusan Smetana











Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu