BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Jumaat, 28 Ogos 2020

Makanan terbaik dimakan sebelum bersenam


Ramai orang ingat tak boleh makan sebelum bersenam. Takut nanti muntah, katanya. 

Sudah kalau sebelum angkat berat dimakan nasi goreng kampung sepinggan, memanglah cari nahas. Tapi sebenarnya penting untuk makan sebelum bersenam, pada waktu yang betul dan makanan yang sesuai.

Karbohidrat adalah sangat penting untuk membekalkan anda tenaga, yang boleh diperoleh daripada buah-buahan, sayuran dan bijirin. Ini menurut saranan Aja Gyimah, pakar pemakanan dan pengasas Kuudose, sebuah platform kesihatan digital.

Macam kereta lah, kena ada minyak. Tiada minyak tak bergeraklah kereta itu. Badan manusia memerlukan karbohidrat yang membekalkan tenaga untuk bekerja. Protein pun penting juga, zat yang membantu pembentukan otot yang mengembang ketika bersenam.

Mahu dapatkan zat-zat disebutkan, adalah wajib untuk mengambil makanan yang betul sebelum anda angkat berat.


1) Pisang


Paling mudah. Kalau tak tahu nak makan apa atau terkejar-kejar dari tempat kerja dan tak sempat makan apa-apa, makan pisang. Ia mudah dan cepat dihadam perut dan dapat membekalkan tenaga segera kepada tubuh.

Pisang mempunyai kandungan karbohidrat dua kali lebih daripada buah lain seperti epal atau oren. Nak makan dan dibawa ke mana-mana pun senang.


2) Bijirin penuh


Mengandungi karbohidrat kompleks yang diproses dan dilepaskan ke dalam salur darah secara perlahan. Bila masuk perlahan, tiadalah badan kita mengalami kejutan 'rembesan gula' atau sugar rush. Tenang saja, tapi konsisten menyuntik tenaga.

Selain daripada makanan berasas bijirin seperti roti, boleh juga makan beras perang atau quinoa. Oleh kerana ia ambil masa yang lama untuk siap dihadam, disarankan makan satu jam sebelum ke gim.


3) Oat


Sama macam gandum, oat mengandungi karbohidrat yang tinggi dan perlahan untuk diproses. Jadi samalah juga waktu makannya, dinasihatkan tidak kurang daripada sejam sebelum bersenam.

Tapi untuk memberi sedikit rasa manis, jangan dibubuh gula. Sebaiknya gunakanlah gula semula jadi dengan menambahkan buah-buahan di dalam hidangan oat anda.


4) Yogurt dan buah


Kalau ada masa lebih daripada setengah jam, bolehlah makan yogurt dan buah-buahan. Ia adalah sumber karbohidrat, sedikit bendalir untuk tubuh dan juga protein. 

Untuk kesan baik maksima, makan yogurt kosong tanpa apa-apa pemanis buatan. Cukup membekalkan tenaga, tanpa memberikan gula yang berlebihan. Kalau anda tak minum produk tenusu, ada banyak alternatif seperti yogurt kelapa atau susu badam di pasaran.

Campurkan dengan buah-buahan, dicadangkan pisang, beri, atau pic, ikut selera anda untuk menambah kemanisan semula jadi bersama pelbagai khasiat vitamin.

Bila waktu sesuai untuk makan sebelum ke gym?

Dinasihatkan agar anda mengambil snek - bukan juadah besar ya - berkarbohidrat dalam lingkungan sejam sebelum bersenam, dan elak makan dan minum 15 minit sebelum senaman bermula.

Air juga perlu selalu cukup, bawa bersama air untuk kekalkan hidrasi. Kalau badan tak cukup air, anda boleh kehilangan fokus, kekuatan malah boleh mengundang kecederaan.

Selamat bersenam!

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu