BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Jumaat, 28 Ogos 2020

Makanan terbaik untuk 'recover' selepas bersenam


Bila sudah selesai bersenam, mesti kita terus memikirkan apa seterusnya tugas penting yang perlu kita selesaikan pada hari tersebut. Tak sedar, bahawa apa yang kita makan sejurus tamat senaman adalah penting dalam menjamin keberkesanan senaman kita tadi.

Saranan pakar kecergasan dan pemakanan selalunya menggalakkan pengambilan makanan yang tinggi karbohidrat dan protein dalam tempoh sejam selepas tamat senaman. Protein akan membantu proses pemulihan dan pembinaan otot, dan karbohidrat menstabilkan semula paras gula dalam darah.

Ini antara makanan yang baik untuk dimakan selepas anda meninggalkan gim sebelum memulakan tugasan lain.


1) Ayam atau ikan


Daging dua binatang ini memang diketahui mengandungi protein tanpa lemak, sekaligus menjadikannya makanan atau snek yang penting untuk diambil selepas mengangkat berat. Kalori dan lemak tepunya pun lebih sedikit berbanding daging lembu.

Leucine, isoleucine dan valine adalah protein-protein penting yang membantu pemulihan dan pembinaan otot. 


2) Quinoa


Ia adalah sejenis bijirin penuh kompleks yang mengandungi dua khasiat penting yang sangat diperlukan selepas bersenam, yakni karbohidrat dan protein. Quinoa juga bebas-gluten, jadi semua orang boleh makan.

Quinoa boleh dimakan bersama ikan atau ayam, atau buah-buahan sekiranya anda vegan atau vegetarian.


3) Avokado


Buah ini tinggi kandungan lemak sihat dan pilihan yang sangat baik terutamanya bagi atlet yang mengamalkan diet rendah karbohidrat dan ketogenik.

Nak tambah lagi protein, avokado sedap dimakan bersama telus rebus atau kacang kuda.


4) Sayuran berdaun hijau gelap


Sayur dengan daun hijau gelap padat dengan mikronutrien dan vitamin, antaranya kalsium dan zat besi yang dapat membantu melonjakkan prestasi anda. Kalsium membantu pemulihan otot dan menguatkan tulang, sementara zat besi pula melaraskan metabolisme dan penggunaan tenaga.

Contoh sayurannya adalah bayam, bok choy (sawi Cina), salad roket (arugula) dan kangkung. Kalau anda buat smoothie protein, campurkan sedikit bayam. Ataupun makan kangkung dengan quinoa.


5) Protein shakes atau susu cokelat


Cepat dan mudah diambil selepas senaman. Bagaimanapun harus waspada dan pastikan anda mengambil protein shakes yang tidak tinggi kandungan gulanya. 

Buat kajian dan beli protein shakes yang berkualiti tinggi, yang biasanya membekalkan 30 gram protein bersama 3 hingga 4 gram asid amino leucine. Baca pada kandungan produk.

Kalau tak ada protein shakes, susu cokelat pun sudah memadai. 


Waktu terbaik untuk makan selepas bersenam?

Kajian pada 2013 yang diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Antarabangsa Perubatan Sukan menyarankan agar jarak masa antara makan pra- dengan pasca- senaman mestilah tidak lebih daripada 4 jam. Kalau lebih, anda akan keletihan dan tidak dapat mengembalikan tenaga yang diperlukan untuk pemulihan dengan baik.

Ramai juga yang makan selepas kadar degupan jantung mereka kembali tenang, selalunya selepas 10 ke 20 minit. Lepas workout, mandi dulu dan baru makan adalah lebih baik. Menghadap rezeki mesti kena dalam keadaan bersih, kan?





Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu