Rasanya ini perdebatan picisan yang masih tetap menjadi satu isu bualan hari ini. Jenama sukan tersohor dunia, Nike itu sebutannya bagaimana - 'naiki' atau 'naik'?
Nama syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat itu diilhamkan daripada dewi kemenangan Greek purba bernama Nike.
Menurut mitos, Nike digambarkan sebagai seorang wanita dengan sepasang sayap. Diceritakan juga bahawa bapanya adalah dewa perang, Ares dan atuknya dewa laut, Poseidon. Sifat dewa-dewi Greek ini macam manusia cuma dengan kuasa luar biasa.
Berbalik kepada cerita sebutan, baru-baru ini perdebatan tentangnya kembali menghangat apabila juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, Liverpool menerbitkan video promosi mereka yang pertama bersama Nike.
Dalam video tersebut, Nike disebut 'NAIK' yang hujungnya berbunyi qalqalah atau lorat sedikit - 'NAIKH', oleh orang-orang Liverpool yang digelar sebagai 'Scouser'. Tiba-tiba lain, kan? Begini mereka menyebutnya:
Kemudian dalam satu lagi video yang menunjukkan para pemain The Reds memberi reaksi pertama terhadap jersi baharu mereka tajaan Nike, Virgil van Dijk ditanya oleh Alex Oxlade-Chamberlain apakah pandangannya terhadap cara betul menyebut Nike.
Pertahanan Belanda itu tidak kisah katanya, swoosh adalah swoosh. Namun apabila ditanya kepada pemain muda Curtis Jones yang merupakan seorang Scouser totok, dia menyebutnya 'NAIKH'.
Sebenarnya, persoalan itu sudah terjawab pada 2014. Demi 'menjawab satu daripada persoalan tak terjawab dalam hidup', dua sahabat, Ben Martin dan Kendal Peters menulis surat kepada pengerusi Nike, Phillip Knight.
Dalam surat tersebut, mereka menulis dua pilihan jawapan antara 'NAIKI' atau 'NAIK' dan meminta Knight membulatkan sebutan yang betul dan mengembalikan surat itu kepada mereka.
"Kami sertakan sampul beralamat bersama setem dalam surat tersebut supaya dia (Knight) dengan ringkas membulatkan jawapannya dan mengembalikannya untuk memperjelaskan kepada kita semua. Kami awalnya tak rasa yang dia akan buat. Tapi dia memang hebat, beberapa minggu kemudian surat itu dikembalikan." kata mereka kepada Sportsmail.
Maka terjawablah persoalan yang sekian lama memisahkan kita sampai ada sahabat yang bergaduh hanya mahu membuktikan siapa betul dan siapa salah tentang hal kecil ini.
Tapi Knight tidak memberikan penjelasan kepada jawapannya itu. Apapun bagi orang Liverpool, mereka tak peduli siapa kata. Ia tetap berbunyi 'NAIKH'.
Mereka ada cara tersendiri. Cara Liverpool.
Tapi satu benda lah nak cakap. Overpriced.