BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 27 Ogos 2020

Spiderman jual petai di tepi jalan


Nak jual petai pakai kostum Spiderman pun salah, ada yang mengecam.

Itu antara cabaran yang dihadapi Selvakumar K. Tharmalingam, 22 tahun dalam usaha menjadi kreatif untuk mencari rezeki.

Dah la terpaksa memakai kostum Spiderman dalam cuaca panas, ada pula yang dengki dnegan melemparkan komen negatif kepadanya.

Foto: Selvakumar K. Tharmalingam
"Kadang-kadang ada sesetengah orang sakitkan hati saya, membuat saya sebagai bahan ejekan dan ada yang sengaja membuat saya rasa sedih kerana berpakaian lain daripada lain sambil menjual petai," katanya kepada Rancak TV dalam temu bual eksklusif melalui Skype.

Bagaimanapun, dia tidak membiarkan komen-komen negatif itu memberi kesan kepada motivasinya kerana dia juga dihujani komen-komen positif oleh netizen melalui media sosial yang juga sering membuatnya tersenyum.

Menurut Selvakumar yang berasal dari Kampung Slim, Perak ini, dia memilih untuk berpakaian seperti Spiderman kerana kepadanya, itu merupakan sesuatu gimik yang sesuai untuk menarik perhatian orang ramai supaya mereka membeli petai yang dijualnya.


"Saya berasa sangat gembira untuk menjual petai sebagai Spiderman, apabila orang ramai tahu tentang perniagaan saya, dan orang ramai ingat saya sebagai Spiderman Petai (@spiderman_petai), saya rasa lebih bermotivasi untuk teruskan ia sebagai kerjaya sampingan," kata Selvakumar.



Foto: Instagram @spiderman_petai
Selvakumar bukan setakat berniaga sahaja, dia adalah pelajar universiti dalam jurusan pentadbiran perniagaan, yang mempunyai cita-cita untuk bekerja sebagai seorang polis.

Perniagaan ini bukan merupakan sumber utama pendapatan keluarganya, tetapi pendapatan tambahan ini mampu membantu keluarganya yang sudah berpecah-belah setelah ibu dan bapanya bercerai.


Selvakumar turut merasakan ia satu hobi yang produktif untuk dilakukan sementara kelas universiti masih dilakukan dalam talian.



Selvakumar mula menjual petai sejak dua bulan lalu selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mula dilaksanakan.

Perniagaan ini pada asalnya dimulakan oleh datuk Selvakumar sepuluh tahun lalu, namun telah diambil alih olehnya apabila tiada ahli keluarga lain yang mahu meneruskannya.

Selain menjual petai, Selvakumar turut menawarkan beberapa perkhidmatan lain termasuk menjadi tetamu kejutan di majlis sambutan hari lahir kanak-kanak serta menawarkan perkhidmatan pengangkutan.

Selamat maju jaya, anak muda!






Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu