BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Jumaat, 4 September 2020

Apa beza asteroid, meteoroid dan komet?


Sistem Solar kita ada berbilion malah bertrilion jenis objek yang mengorbit matahari, bukan planet sahaja. 

Asteroid, meteoroid dan komet adalah antara objek kecil cakerawala di dalam Sistem Solar kita. Antara ketiga-tiganya, masing-masing mempunyai ciri berlainan. Nampak macam sama, terutamanya komet dan meteor, tapi sebenarnya berbeza.

Komet adalah gumpalan debu dan ais yang terbentuk pada ketika sama dengan Sistem Solar kita kira-kira 4.6 bilion tahun yang lalu. Ia adalah objek yang mengelilingi Matahari pada orbitnya sendiri.

Apabila ia melintasi Bumi, ia kelihatan bercahaya dan ada ekor. Ekor panjang komet itu terhasil daripada kesan radiasi dan angin solar yang menyebabkan komet menjadi panas lalu melepaskan gas tatkala ia menghampiri Matahari.

Komet Hale-Bopp pada 1997. (Sumber: Wikipedia)

Dianggarkan ada lebih daripada 6,600 komet diketahui wujud dalam Sistem Solar kita. Secara kasar, sekurang-kurangnya satu komet akan dapat dilihat dengan mata kasar setiap tahun, walaupun samar-samar dan tidak terang.

Penampakan komet sudah dicatat sejak permulaan peradaban manusia. Ahli kaji bintang purba menganggap kehadiran komet sebagai petanda kematian atau permulaan sebuah peperangan.

Asteroid juga mengorbit Matahari tetapi terbentuk daripada batuan angkasa. Sebahagian besar asteroid berada di lingkaran asteroid di antara orbit Marikh (Mars) dengan Musytari (Jupiter). Namun ada juga yang berlegar bebas di sekitar Sistem Solar ini.

Ia bersaiz pelbagai, dari sekecil 1 meter lebar sehinggalah sebenar suku daripada saiz Bulan, iaitu Ceres, yang ukur lilitnya sekitar 950 kilometer.

Lingkaran asteroid di mana sebahagian besar batuan yang berbentuk seperti kentang gergasi berkumpul dan beredar mengelilingi Matahari. (Sumber: spaceplace.nasa.gov)

Kadang-kala ada antara asteroid-asteroid ini menghentam antara satu dengan yang lain, menyebabkan ia pecah. Serpihan kecil daripada pecahan tersebut dipanggil meteoroid. Serpihan daripada komet juga dipanggil meteoroid.

Dengan saiznya yang kecil, ia tidak mempunyai graviti sendiri untuk membolehkannya beredar pada orbit sendiri. Maka ia berlegar-legar di sekitar Sistem Solar dan masuk ke langit planet-planet berdekatan.

Apabila meteoroid memasuki atmosfera Bumi, ia ditarik oleh graviti dan menyebabkan ia terbakar dek kelajuan tinggi menuju permukaan Bumi. Ini kita panggil sebagai meteor, yang selalu kita nampak seperti sebutir bintang bercahaya bergerak laju melintasi langit.

Ada waktu dan ketika yang tertentu, meteor boleh dilihat dengan banyaknya. Fenomena ini dipanggil hujan meteor, dan selalunya boleh dilihat jelas di kawasan luar bandar di mana tiada pencemaran cahaya daripada pembangunan pesat.

Ini adalah superbolide, sejenis meteor yang meletup di langit Chelyabinsk Oblast, Rusia yang dirakam pada 2013. (Sumber: Wikipedia)

Ada antara meteor ini tidak sempat habis terbakar selepas masuk ke ruang atmosfera lalu menghentam permukaan Bumi. Apabila ia sudah mendarat ke tanah, ia dipanggil meteorit. 

Meteorit Hoba adalah yang terbesar di dunia, ditemukan pada 1920 di Namibia. Saiznya sebesar 9 kaki lebar, 9 kaki panjang dan 3 kaki tebal dengan berat 66 tan. Berdasarkan kajian, Hoba memasuki langit Bumi dan mendarat sekitar 80,000 tahun dahulu. 

Meteor selalu disalah anggap dengan komet, kerana biasa kita memanggilnya dengan nama umum yang kita berikan - tahi bintang atau shooting stars. Senang cakap, meteor itu adalah benda yang masuk ke atmosfera Bumi, manakala komet itu yang tidak masuk ke atmosfera Bumi.

Meteor bergerak pantas, manakala komet juga bergerak tetapi pergerakannya tidak dapat begitu disaksikan dengan mata kasar kerana ia berada jauh di angkasa. Ekor meteor juga lebih halus daripada komet yang ekornya mencapah.

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu