BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 8 September 2020

Betul ke Campervan, motorhome tak sesuai digunakan di Malaysia?


Beberapa tahun lalu, campervan, motorhome atau treler karavan amat sukar dilihat di Malaysia, malah melihat seseorang tidur di dalam kederaan adalah satu perkara asing dan janggal.

Namun, kini seiring perkembangan aktiviti perkhemahan keluarga dan 'car camping', kenderaan sebegini yang turut dikenali sebagai camper semakin kerap kelihatan, terutama di tapak perkhemahan tepi sungai dan pantai.

Sebenarnya, masih ramai yang skeptikal mengenai kesesuaian aktiviti ini di Malaysia, lebih-lebih lagi dengan cuaca panas dan lembab sepanjang tahun, tidak seperti di negara luar terutama Eropah dan Amerika Syarikat.

Jadi, peluang bertemu dengan Presiden Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia (PCMM), Farman Othman, yang mengetuai program Jelajah Malaysia PCMM 2020 baru-baru ini, digunakan untuk membongkar mitos dan fakta ’scene’ campervan, motorhome dan treler karavan di negara ini.

Berikut adalah antara penjelasan beliau:

1) Mitos: Malaysia panas, tak sesuai untuk campervan.

Fakta: Ada banyak cara untuk atasi isu ini termasuk menggunakan kipas dan pendingin hawa di dalam kenderaan.

Kebanyakan pemilik kenderaan rekreasi ini memasang sistem elektrik berasingan sama ada menggunakan bateri atau generator yang membolehkan peralatan elektrik digunakan.

Kosnya pula bergantung kepada keperluan pemilik kerana ada yang memerlukan kipas dan lampu sahaja, jadi kosnya lebih murah kerana hanya memerlukan bateri.

Bagi yang memerlukan peralatan elektrik lebih besar seperti pendingin hawa, mereka biasanya menggunakan bekalan tenaga daripada generator.

Selain itu, pemilihan lokasi tapak perkhemahan juga penting, justeru peminat aktiviti ini biasanya mencari tempat yang redup seperti di bawah pokok untuk meletakkan kenderaan mereka.

2) Mitos: Malaysia tiada tempat yang sesuai untuk aktiviti ini.


Fakta: Terdapat banyak tempat yang sesuai sebenarnya kerana keperluan kebanyakan camper adalah minimum kerana dilengkapi bekalan elektrik malah tandas sendiri.

Mereka boleh parkir di mana-mana lokasi yang difikirkan selamat dan terus sahaja berkhemah. Malah, ketika ini sudah banyak penyedia tapak perkhemahan dan chalet yang menerima camper masuk ke kawasan mereka dengan bayaran tertentu.

3) Mitos: Tidak selamatlah tidur di dalam campervan di Malaysia, ramai perompak!

Fakta: Sekali lagi, pemilihan lokasi untuk berkhemah amat penting. Kita biasanya tidak parkir di belakang lorong sunyi, sebaliknya di tempat yang difikirkan selamat termasuk tapak perkhemahan.

Jika keselamatan masih lagi menjadi isu, ada pemilik campervan yang bersedia dengan 'senjata' untuk pencegahan termasuk penyembur lada dan siren untuk 'menghalau' penceroboh.

4) Mitos: Ini aktiviti golongan 'kayangan'. Orang biasa duduk jauh-jauh!


Fakta: Ukur baju di badan sendiri, jangan ikut orang. Jika mempunyai bajet besar, boleh import kenderaan dari luar negara lengkap dengan semua kelengkapan motorhome, atau bina sendiri di Malaysia dengan menggunakan khidmat jurulukis pelan dan pembuat badan kenderaan bertauliah.

Jika keadaan sebaliknya, boleh gunakan apa sahaja kenderaan dan lengkapkan dengan keperluan asas, asalkan pengalaman berkhemah dengan kenderaan atau van itu dapat dirasai.

5) Mitos: Tidak boleh ubah suai kenderaan lengkap dengan dapur dan tandas! Nanti kena kacau dengan abang JPJ!

Fakta: Proses ubah suai kenderaan untuk dijadikan campervan atau motorhome boleh dilakukan secara sah dengan menggunakan khidmat jurulukis pelan dan pembuat badan kenderaan yang bertauliah.

Malah, sebenarnya ramai juga peminat aktiviti ini yang tidak membuat ubah suai kekal pada badan kenderaan, sekadar melengkapkannya dengan peralatan mudah alih sahaja. Justeru, mereka biasanya tidak berhadapan masalah dengan pihak berkuasa.

Apa pun ubah suai yang dilakukan, sentiasa utamakan keselamatan!


Harapan komuniti peminat camper

Menurut Farman, komuniti penggemar aktiviti campervan, motorhome dan treler karavan semakin berkembang di Malaysia dengan ramai menjadikannya sebagai aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

Perkembangan itu mewujudkan permintaan baharu dalam industri pelancongan domestik, justeru beliau berharap lebih banyak pihak tampil membuka tapak perkhemahan campervan yang lengkap dengan kemudahan bersesuaian namun mengenakan harga yang munasabah bagi kebaikan kedua-dua pihak.

Selain itu, mereka juga berharap kerajaan dapat membantu industri ini berkembang dengan mengurangkan duti import dan cukai jualan kenderaan jenis itu yang tinggi menyebabkan harganya menjadi terlalu mahal apabila dibawa masuk.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan tidak ramai mampu memiliki kenderaan rekreasi import yang memenuhi spesifikasi, malah secara tidak langsung membuatkan segelintir memilih untuk melakukan ubah suai sendiri.

Sumber artikel & foto: Ifwan Tun Tuah, Astro AWANI

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu