Liga Perdana Inggeris (EPL) akan membuka tirai musim 2020/21 pada Sabtu ini (12 September), maka begitu juga bagi persaingan Liga Fantasi.
Setiap tahun berjuta orang akan menyusun pasukan fantasi masing-masing, dengan matlamat memenangi hadiah, beradu kehebatan sesama kawan-kawan atau sekadar suka-suka. Selain berbual mengenai perlawanan yang berlangsung pada setiap hujung minggu, cerita liga fantasi juga boleh jadi bahan.
Paling mencabar adalah untuk menyusun pasukan kita sebelum bermulanya musim dengan had perbelanjaan yang diberikan £100 juta sahaja. Bererti kita tidak mampu untuk membeli barisan pemain bintang pada setiap posisi, duit tak cukup.
Juga kita tidak tahu apa yang boleh dijangkakan daripada para pemain khususnya yang baru menyertai Liga Perdana Inggeris daripada liga lain. Kita tak tahu sama ada Hakim Ziyech boleh menampilkan persembahan sama di Chelsea sepertimana dia di Ajax Amsterdam.
Insider ada bercakap dengan seorang ahli matematik di Universiti Oxford, Dr Joshua Bull. Dalam kesemua 7.6 juta pemain liga fantasi di dunia ini, dia nombor satu tahun lepas. *(Sebenarnya dia menamatkan musim di tempat kedua, tapi pemenang nombor satu dilucutkan kelayakan atas sebab tertentu).
Ini dia beberapa panduan yang dikongsikan supaya para pemain (berpeluang lebih baik untuk) memperoleh kejayaan sepertinya.
1. Sentiasa mengikuti perkembangan setiap pasukan EPL
Ini wajib. Kata Bull, yang merupakan penyokong Ipswich Town, anda perlu berhubung dengan komuniti pemain liga fantasi seluruh dunia supaya dapat melihat pandangan dari pelbagai pihak.
"Tak semua orang dalam komuniti itu betul, dan tak semua salah, tapi tak mustahil untuk meneliti perkembangan 20 pasukan berbeza dalam EPL."
Kalau mengikut Bull, dia mendapat maklumatnya daripada forum dan media sosial, khususnya Twitter dan Reddit. Lima ke 10 minit setiap petang pun sudah memadai, katanya.
2. Buat perancangan jangka panjang
Walaupun dia seorang pengamal matematik, Bull tidak membina satu model atau formula khusus untuk membentuk pasukannya. Dia hanya berfikir secara matematikal.
Katanya, cuba untuk berfikir secara strategik dengan melihat jauh ke hadapan. Buat keputusan dengan mengambil kira kesan jangka masa panjang, walaupun ia tidak memberi impak yang begitu baik untuk minggu tersebut.
"Selalunya saya akan fikir tentang membeli pemain untuk satu atau dua minggu ke hadapan - siapa yang saya mungkin mahu tukar pada minggu depan - tapi saya masih kekal terbuka sehingga semua perlawanan minggu itu selesai."
Perancangan amat penting terutamanya ketika ada dua perlawanan dalam satu minggu.
3. Nasib
Tak boleh nak kata apa, apa usaha pun akhir sekali segalanya bergantung kepada nasib.
Bull sendiri mengakui, dia tidak pernah berada di kelompok atasan dalam kalangan jutaan pemain sebelum ini, jadi keputusan musim lepas banyak dibantu oleh nasib yang baik.
Sebab itu setiap kali sebelum kita mulakan apa-apa cabaran, orang ucap good luck. Kalau ada rezeki kita, adalah. Tak ada, jangan putus asa pula. Teruskan mencuba.
Kalau gigih, tengok penjelasan Bull tentang bagaimana matematik boleh membantu seseorang unggul dalam permainan Liga Fantasi:
*Sumber: Insider