BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Ahad, 6 September 2020

POV: Tak boleh fly bukan halangan untuk buat amal



Pandemik COVID-19 telah menyebabkan ramai terjejas, ada yang dibuang kerja, ada yang bekerja dari rumah dan ada yang 'direhatkan' sementara, sehingga tempoh tertentu.

Keadaan itu pastinya menyebabkan golongan berkenaan tertekan namun, berbeza dengan Muhammad Fazri Mohd Fatimi yang memilih untuk melakukan aktiviti amal.

Sering menerbangkan burung besi di awan biru bukanlah penghalang untuk juruterbang muda berusia 30 tahun ini menyarung kemeja T merah jambu, mengayuh basikal di tengah ibu kota dan menghantar pesanan makanan kepada pelanggan.

"Kalau kita rasa susah dan tertekan dengan apa yang berlaku, sebenarnya banyak golongan yang lagi susah dan perlu pertolongan seperti di Persatuan Sokongan Anak-Anak Kanser (Pesona).


"Kasihan apabila melihat anak-anak kecil terpaksa menjalani sesi kimoterapi dan ibu bapa mereka pula ada yang diberhentikan kerja akibat pandemik COVID-19 ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut anak jati Selangor itu, selagi pintu sempadan negara ditutup dia tidak boleh meneruskan tugas sebagai juruterbang untuk penerbangan antarabangsa.

"Boring sangat duduk di rumah sebab sekarang tak boleh nak fly, sebab itu saya mula mencari sesuatu yang bermanfaat untuk dilakukan dan ketika itu saya terfikir bila kali terakhir saya melakukan amal atau menderma.

"Kemudian baru saya sedar ya Allah tak pernah, jadi secara tidak langsung ada hikmahnya apabila tiada kerja sekarang selain tubuh badan masih sihat untuk berbuat amal," katanya.


Ketika ditanya mengenai cabaran utama menjadi penghantar makanan, Fazri memberitahu, cuaca dan jarak antara faktor yang kadang-kala menyebabkan dia hampir putus asa.

"Saya masih ingat pada hari pertama sebagai delivery guy, ketika itu order diterima di kawasan perumahan sekitar Seputeh dan saya pula di Bangsar.

"Keluar sahaja rumah, hujan selebat-lebatnya dan pakaian saya basah kuyup. Nak tak nak, saya terpaksa hubungi semula FoodPanda memberitahu tidak boleh meneruskan," katanya.

Wujud Double Standard?


Fazri turut mengakui wujudnya perbezaan layanan masyarakat terhadap golongan penghantar makanan.

"Memang ada double standard oleh sesetengah pihak sebab saya hanya penghantar makanan, kadang-kala ada yang tak hormat dan menghargai kita.

"Tapi, saya anggap semua ini sebagai pengalaman dan seronok apabila tengok ragam manusia yang pelbagai," katanya.

Bagaimanapun, kata Fazri, nekadnya hanya satu iaitu mempelawa lebih ramai menderma kepada Pesona selain mencapai sasaran peribadinya iaitu RM1,000 untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, sebelum 25 September ini.


Sehubungan itu, dia telah membuka sebuah akaun khas untuk kerja amalnya, bagi membolehkan mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyumbang.

"Saya harap dengan projek kecil ini akan memberi inspirasi kepada semua untuk memberi sokongan kepada saya seterusnya membantu anak-anak Pesona," katanya.





Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu