BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 22 September 2020

Romeo & Juliet sebenarnya bukan sebuah kisah cinta


Asal kisah cinta dua insan bercinta, mesti diibaratkan seperti Romeo dan Juliet. Padahal sebenarnya kisah Romeo dan Juliet itu sebuah bukanlah kisah cinta, tetapi lebih kepada sebuah tragedi.

Ia adalah sebuah karya pentas sasterawan ulung Inggeris, William Shakespeare yang ceritanya berlangsung dalam masa tiga hari, antara seorang pemuda berusia 17 tahun dengan seorang gadis berusia 13 tahun, yang membawa kepada tujuh kematian.

Romeo & Juliet ditulis Shakespeare dipercayai pada sekitar 1591 ke 1595, diinspirasi daripada kisah dongeng percintaan tragis klasik. Plotnya berdasarkan kisah dongeng Itali yang diterjemah Arthur Brooke pada 1562 berjudul The Tragical History of Romeus and Juliet, yang diceritakan semula dalam bentuk prosa dalam Palace of Pleasure oleh William Painter pada 1567.


Muka depan sajak Arthur Brooke berjudul The Tragical History of Romeus and Juliet (1562)

Siapa tak pernah baca Romeo & Juliet? Mari saya ceritakan secara ringkas. 

Kisah tragis ini berlatarkan Verona, Itali bermula dengan pergaduhan di jalanan antara pekerja dua keluarga yang saling bermusuhan, Montague dan Capulet. Pada hari tersebut juga, seorang bangsawan bernama Count Paris bertemu dengan Lord Capulet dan menyatakan hasratnya untuk mengahwini anak gadis mereka, Juliet. Namun, Lord Capulet meminta Count Paris menunggu lagi dua tahun, pada masa sama menjemputnya ke majlis tari menari yang dianjurkan oleh keluarga itu.

Sementara itu, seorang pemuda bernama Romeo Montague sedang dalam kemurungan. Saudaranya, Benvolio mendapati bahawa ia adalah disebabkan Romeo sudah terpikat dengan seorang gadis bernama Rosaline, salah seorang anak saudara Capulet. Dengan hasrat membantu, Benvolio bersama Mercutio, menghasut Romeo supaya menyelinap masuk ke majlis tari menari Capulet dan mencari Rosaline.

Bagaimanapun di majlis tersebut, Romeo bertentang mata dengan Juliet lantas kedua-duanya jatuh cinta pandang pertama. 

Sepupu Juliet, Tybalt ternampak Romeo dan naik angin mengetahui ahli keluarga Montague itu menceroboh majlis mereka. Niatnya mahu membunuh Romeo dihentikan Lord Capulet yang tidak mahu berlaku sebarang pertumpahan darah pada malam itu.

Selepas majlis berakhir, Romeo menyelinap masuk ke taman Capulet untuk bertemu Juliet, dan di situ mereka bersumpah setia akan saling mencintai biarpun permusuhan ketat antara keluarga mereka berdua. Dengan bantuan Frair Laurence, Romeo dan Juliet dikahwinkan secara senyap-senyap pada keesokan harinya.

Tybalt yang masih berang dengan Romeo mengajaknya bertarung. Romeo menolak memandangkan Tybalt kini sudah menjadi saudaranya. Sahabat baik Romeo, Mercutio hilang sabar dengan kebiadaban Tybalt dan 'kelemahan' Romeo, menerima undangan bertarung itu bagi pihak Romeo. Malangnya, Mercutio menemui ajal dan Romeo yang cuba meleraikan pertarungan itu, terus membalas dendam dan menamatkan riwayat Tybalt.

Adegan pertemuan pertama Romeo dengan Juliet, lakonan Leonardo Dicaprio dan Claire Danes dalam filem adaptasi 1996 Romeo + Juliet arahan Baz Luhrmann, edaran 20th Century Fox.

Apabila kejadian diketahui pemerintah Verona bernama Prince Escalus, Romeo dibuang negeri dan berdepan hukuman mati sekiranya dia kembali. Padahal dia secara rahsia bersembunyi di kamar Juliet dan di situ mereka tidur bersama.

Pada masa sama, Capulet bersetuju untuk mengahwinkan Juliet dengan Count Paris pada keesokan harinya. Juliet menolak, bagaimanapun diugut bapanya itu yang tidak akan mengakui Juliet sebagai anak kandungnya.

Dengan hati yang lara, Juliet pergi bertemu Frair Laurence dan memohon pertolongannya. Paderi tersebut memberikan sejenis ubat yang akan membuatkannya tidur seakan mati selama beberapa jam. Pada masa sama, Frair Laurence mengutus pesanan kepada Romeo tentang rancangan itu supaya mereka dapat disatukan semula apabila Juliet sedar semula. Malam itu Juliet meminum ubat tersebut, dan apabila keluarganya mendapati Juliet sudah 'mati', 'jenazahnya' dibawa ke kamar bawah tanah.

Malangnya, utusan itu tidak sampai ke Romeo, yang hanya mendapat berita mengatakan bahawa kekasihnya itu sudah mati. Patah hati, Romeo membeli racun dan bergegas ke kamar bawah tanah Juliet, dan mendapati Count Paris sudah ada di situ.

Pengakhiran tragedi yang menyedihkan, sedutan daripada filem 1968 Romeo and Juliet lakonan Leonard Whiting dan Olivia Hussey, edaran Paramount Pictures.

Kedua-dua mereka bersemuka, dan akhirnya Paris mati di tangan Romeo. Masih percaya yang Juliet sudah mati, Romeo meminum racun yang dibelinya tadi. Tak lama kemudian Juliet bangkit dari tidurnya namun mendapati Romeo sudah terbujur kaku di sisinya. Lalu Juliet menikam dirinya dengan sebilah pisau, menamatkan riwayatnya untuk bersama Romeo.

Ahli kedua-dua keluarga kemudian tiba di kamar tersebut, melihat tiga tubuh yang sudah tidak bernyawa. Susulan tragedi yang terjadi, maka Capulet dan Montague berjanji untuk mengakhiri permusuhan mereka, buat selamanya.

Iktibarnya: Jangan jadi bodoh. Bercinta biar berpada, pakai akal bukan emosi. Inilah antara benda yang paling bahaya dan merosakkan agama, bangsa dan negara - chinggey.

*Sumber: Wikipedia

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu