Bukan dia sahaja yang kena, namun seluruh keluarganya termasuk isteri, Lauren Hashian dan dua anak perempuannya yang berusia empat dan dua tahun.
Walaupun mereka berempat sudah pulih, The Rock menerusi sebuah video di Instagram peribadinya, @therock menyifatkan jangkitan COVID-19 adalah cabaran terbesar dihadapi mereka sekeluarga.
"Cabaran ini lebih susah untuk dihadapi berbanding diusir atau mempunyai masalah kewangan, kerana itu berlaku kepada saya beberapa kali," kata The Rock di dalam video tersebut.
Menurut The Rock, yang disahkan positif bersama keluarganya tiga minggu lalu, menganggap jangkitan itu sebagai satu cabaran kerana selepas dijangkiti COVID-19, dia tidak lagi berdaya untuk melindungi keselamatan dan kesihatan anaknya.
Bagaimanapun, berita baik bagi ibu dan bapa di luar sana kerana menurut The Rock, anak kecil yang dijangkiti COVID-19 selalunya tidak mengalami gejala yang terlalu teruk berbanding orang dewasa.
Tujuan dia kehadapan dan menceritakan pengalaman COVID-19 adalah bagi mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mengambil mudah terhadap virus pembunuh itu.
Oleh itu, pesan The Rock, jangan ingat anda dan keluarga anda kebal daripada jangkitan virus.
"Pentingkan kesihatan anda, pakai pelitup muka, jaga keluarga anda, lebih berhati-hati ketika mengajak orang masuk ke rumah anda dan jaga sesama sendiri," katanya lagi.
The Rock dipercayai dijangkiti COVID-19 oleh kawan-kawan rapat tiga minggu lalu.
Sumber foto: Instagram @therock