Kami faham, waktu pandemik ini ramai rasa tidak tenang kerana kehilangan pekerjaan, tidak dapat melancong ke luar negara dan tidak selesa kerana dipaksa memakai pelitup muka sepanjang berada di tempat awam.
Marah-marah pun, jangan lah buat perangai dan memilih untuk menjadikan ular yang masih hidup sebagai pelitup muka, seperti yang dilakukan seorang lelaki di United Kingdom (UK).
Lelaki tersebut dilihat melilit sejenis ular sawa di bahagian mukanya bagi menutup bahagian hidung dan mulutnya ketika menaiki bas.
Pihak berkuasa pengangkutan di UK siap memberi amaran kepada masyarakat supaya tidak sekali-kali menggunakan ular sebagai pelitup muka.
Walaupun ular merupakan haiwan peliharaan yang disukai ramai, haiwan itu tidak sesuai dijadikan alat perlindungan daripada virus, percayalah cakap saya.
Untuk pengetahuan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan orang ramai memakai pelitup muka jenis tiga lapis (three-ply), kain kapas atau apa-apa jenis kain bagi melindungi diri sendiri dan orang lain daripada virus COVID-19.
Lelaki yang menaiki bas ke Manchester, UK memakai ular di bahagian leher dan muka, menarik perhatian ramai. Foto: CNN |
Tetapi menurut gambar yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini, lelaki itu dilihat masih dapat bernafas melalui ruang-ruang di antara badan ular yang tidak menutup muka dengan sepenuhnya.
(Jadi apa motif, selain menjadi bahan lawak?)
Tambahan lagi, haiwan reptilia itu mampu menyebabkan pelbagai komplikasi termasuk penyakit berkaitan bakteria salmonela oleh kerana haiwan itu merupakan pembawa salmonela yang hidup di dalam ususnya.
Jadi jika anda inginkan perhatian lebih, mungkin anda boleh cuba bawa ular hidup (atau tidak), pasti orang ramai akan toleh ke arah anda.
(Juga, bersedia untuk dengar orang menjerit).
Kepada mereka yang kreatif dan sudah terfikir untuk memilih haiwan sebagai pelitup muka, tolong batalkan hasrat anda dan sila bertanggungjawab untuk memakai pelitup muka yang tidak bernyawa!
Sumber foto: David Clode