BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Isnin, 12 Oktober 2020

Kembara motosikal yang mengubah Ernesto menjadi Che Guevara


Sebelum beliau dikenali sebagai ikon revolusi sayap kiri, sebelum beliau menjadi komander gerila, sebelum beliau digelar 'Che', terjadinya satu perjalanan dua sahabat yang tidak diketahui akan mengukir sebuah episod sejarah besar dunia.

Pada Disember 1951, seorang pelajar perubatan berusia 23 tahun, Ernesto Rafael Guevara de la Serna bersama rakannya seorang ahli biokimia, Alberto Granado menunggang motosikal tua Norton 500cc keluar dari Cordoba, Argentina. Ia menjadi permulaan kepada kembara dua sahabat itu ke utara menyusuri teras Amerika Selatan.

Guevara dilahirkan dalam keluarga pertengahan atas, di mana persekitaran inteleknya telah mencetuskan kesedaran sosial sejak usia muda. Kerana itu dia menuntut dalam bidang perubatan, sebelum dia benar-benar menyaksikan realiti masyarakat sekelilingnya.

Permulaan kembaranya tidak begitu lancar. Penyakit asmanya menyerang, dijangkiti selesema dan pada masa sama terpaksa merawat sendiri hati yang luka selepas kekasihnya mengirim surat perpisahan.

Malangnya, perjalanan motosikal yang diberi nama La Poderosa II itu tidak jauh. Ia rosak, semakin parah dan akhirnya jahanam seluruhnya setibanya mereka di Chile. Guevara dan Granado meneruskan kembara dengan berjalan kaki dan menumpang segala kenderaan di sepanjang jalan, dan tidur di mana sahaja yang dirasakan selamat untuk melabuhkan penat.

Alberto Granado di set penggambaran filem The Motorcycle Diaries bersama replika motosikal Norton 500, seperti yang ditunggangnya bersama Guevara pada suatu masa di 1951. (foto: History)

Mereka melawat lokasi-lokasi ikonik seperti Tasik Titicata dan Machu Picchu yang disifatkan Guevara dalam catatan kembaranya "ekspresi tulen sebuah bangsa asli terulung di Amerika. Dua sahabat juga singgah ke sebuah lombong kuari tembaga di Chuquicamata, Chile yang diusahakan oleh sebuah syarikat Amerika. Di sini, Guevara menyaksikan penindasan.

"Satu-satunya perkara yang penting adalah semangat para pekerja yang sanggup menggadaikan kesihatan dalam mencari secubit roti yang tidak mampu menyara kehidupan mereka.

"Usaha terbesar yang perlu dilakukan Chile adalah melepaskan rakan Yankee (Amerika Syarikat) dari tunggangan di belakang mereka, satu tugas yang buat masa ini memerlukan usaha yang sangat besar," tulis Guevara.

Dalam catatan kembaranya memperlihatkan Guevara sebagai seorang yang tajam derianya. Beliau menulis setiap yang ditemuinya sehari-harian dengan teliti dan terperinci untuk digambarkan dengan jelas oleh pembacanya. 

"Mereka ini yang memerhatikan kami melangkah menyusuri jalanan kota adalah sebuah bangsa yang ditewaskan. 

"Renungan mereka jinak, berkaca, dan cukup tidak suka dengan dunia luarnya. Ada yang memberi tanggapan yang mereka meneruskan hidup hanya kerana ia satu tabiat yang tidak dapat dibuang," tulis Guevara di Peru, di mana beliau menyaksikan derita kemiskinan yang ditanggung masyarakat orang asli yang dilayan sebagai warga kelas kedua.

Laluan kembara Guevara dan Granado. (foto: Wikipedia)

Kemudian dua pemuda Argentina ini berlayar merentas sungai Amazon dan meluangkan dua minggu di selatan Peru bersama satu komuniti 600 orang pesakit kusta. Berada di sini yang membuatkan Granado tekad untuk meneruskan perjuangannya merawat pesakit kusta, sementara Guevara mempunyai impian yang lebih besar.

"Pembahagian Amerika kepada negara-negara khayalan yang goyah adalah sama sekali satu fiksyen, kita terdiri daripada satu bangsa mestizo, dari Mexico hinggalah ke selat Magellan yang membawa persamaan etnografi yang jelas.

"Maka, dalam usaha melepaskan diri saya daripada bebanan minda kecil kekampungan, saya mengucapkan selamat kepada Peru dan sebuah Amerika Latin Bersatu," katanya ketika sambutan ulang tahun kelahirannya yang dibuat oleh koloni kusta itu.

Dua remaja itu meneruskan kembara mereka menuruni Amazon di atas rakit kayu diberi nama 'Mambo Tango, mengalah kepada arus deras dan nyamuk lalu berkelana di Leticia, Colombia selama sembilan hari di mana mereka melatih sebuah pasukan bola sepak tempatan buat sementara.

Guevara (kanan) dan Granado di atas rakit kayu 'Mambo Tango' sebelum memulakan perjalanan menyusuri sungai Amazon. (foto: Wikipedia)

Selepas terbang ke Bogota, mereka menumpang bas dan lori untuk ke Caracas, Venezuela, di mana Guevara dan Granado berpisah. Granado mula bekhidmat di klinik kusta tempatan sementara Guevara terbang ke Miami dan berada di sana selama tiga minggu sebelum pulang ke Argentina.

Pengembaraan sejauh 8,000 batu dari banjaran Andes ke Amazon telah memberikan impak yang sangat besar kepada Guevara apabila dibuka matanya kepada ketidakadilan sosial, ketidaksamarataan ekonomi, eksploitasi kapitalis dan tekanan politik. 

"Saya bukan lagi orang yang dahulu. Kembara ini telah mengubah saya lebih daripada yang saya fikirkan," catatnya sekembalinya ke tanah air.

Selepas menamatkan pengajiannya di sekolah perubatan, Guevara bertemu sekumpulan pelarian dari Cuba yang dipimpin Fidel Castro di Mexico. Apa yang berlaku selepas itu menjadi sejarah yang dikenang dan disanjung selamanya oleh para penentang imperialis kapitalis.

Foto ikonik Guerrillero Heroico yang diketik jurufoto akhbar Alberto Korda pada 5 Mac 1960. (foto: Wikipedia)

Selepas menyertai Revolusi Cuba dan menjadi orang kanan Castro memimpin Cuba di era baharu, Guevara tidak melupakan sahabat sekembaranya. Granado berpindah ke Cuba pada 1961 atas jemputan Guevara yang kini sudah dikenali sebagai 'Che' dan mereka bersama mengasaskan sebuah sekolah perubatan.

Detik-detik sepanjang kembara itu dicatat dalam diari Guevara yang diterbitkan pada awal 1990-an, dan menjadi asas kepada terjemahannya ke layar perak pada 2004 dalam filem bertajuk 'The Motorcycle Diaries.'

Nyata, kembara membuka mata hati dan jiwa seorang manusia terhadap dunia, malah kepada diri sendiri. Melihat apa yang berlaku, dan apakah peranan kita untuk menjadikan dunia ini tempat yang saksama dan bahagia demi bangsa, agama, negara dan kemanusiaan secara seluruhnya.

*Sumber: History, Wikipedia

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu