BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 20 Oktober 2020

Kenapa ada orang yang kidal?


Menjadi kebiasaan manusia dalam mana-mana budaya, tangan kanan adalah tangan yang betul, baik dan benar. Bagaimanapun tetap wujud orang yang tangan kiri mereka lebih dominan, yang kita panggil sebagai kidal.

Kalau menggunakan tangan kiri itu adalah tidak baik, mengapa tuhan ciptakan tangan kiri dan wujudnya orang yang kidal? Memang sejak dari kecil diajar menggunakan tangan kanan dalam kebanyakan perlakuan, tetapi kenapa orang kidal tetap menggunakan tangan kiri sampai ke tua?

Hari ini, 1/10 populasi dunia adalah kidal. Bukti arkeologi menunjukkan bahawa kekidalan telah wujud sejak sekurang-kurangnya 500,000 tahun dahulu, daripada tinggalan rangka dan alatan bertukang. Ia bukan fenomena baharu yang dipengaruhi teknologi dan sebagainya.

Kidal bukanlah satu pilihan. Ia malah boleh diramal sebelum kelahiran seseorang itu berdasarkan kedudukan janin di dalam rahim ibunya. Jadi adakah kekidalan berpunca daripada warisan genetik? Ya, dan juga tidak.

Kembar seiras pun boleh berbeza tangan dominan walaupun mereka berkongsi gen yang sama. Satu sebab kekidalan ini juga bergantung kepada ibu bapa kita, dalam nisbah yang agak konsisten sejak dari dahulu. 

Kalau bapa anda kidal sementara ibu anda tidak, anda memiliki 17% peluang dilahirkan kidal. Jika kedua-duanya dominan tangan kanan, wujud juga peluang sebanyak 10%. Andai kata ibunya pula kidal sementara bapa tidak, peluangnya 22%. Manakala jika ibu dan bapa itu kidal kedua-duanya, ada 25% peluang anaknya untuk menjadi kidal.

Ketika ada banyak teori lahir untuk menjelaskan mengapa kidal ini wujud dan majoriti manusia bertangan kanan dominan, model matematik terbaharu mencadangkan bahawa nisbah sebenarnya mencerminkan keseimbangan antara tekanan kompetitif dan kooperatif dalam evolusi manusia.

Kelebihan orang bertangan kidal jelas kelihatan dalam sukan atau sukan kombat. Ini kerana orang kidal sudah dilatih berdepan lawan yang kebanyakannya dominan tangan kanan. Sementara orang tangan kanan sering tidak bersedia berdepan orang kidal kerana tak selalu jumpa rakan 'sparring' yang bertangan kiri dominan.

Ini sebabnya mengapa Datuk Lee Chong Wei susah untuk tewaskan Lin Dan, kerana beliau tidak biasa berdepan pemain bertangan kiri, apatah lagi dengan kemahiran setanding legenda badminton dari China itu.

Set kemahiran dan pengalaman yang hampir sama, tetapi kekidalan Lin Dan antara faktor yang memberikan kelebihan untuknya mengatasi Chong Wei. (foto: Astro AWANI)

Hipotesis perlawanan ini, di mana ketidakseimbangan dalam populasi memberikan kelebihan kepada pemain atau pejuang kidal, adalah contoh 'negative frequency-dependent selection' - lebih 'rare' ciri seseorang itu, lebih bernilai. 

Namun menurut prinsip evolusi, golongan yang memiliki kelebihan akan berkembang, menekan golongan yang lemah sehingga kelebihan itu tidak lagi menjadi satu kekuatan dan aset 'rare'. Kalau benar manusia berevolusi atas dasar kompetitif, maka pasti sudah lama golongan kidal dengan golongan bertangan kanan dominan akan menjadi seimbang.

Tetapi manusia berevolusi atas dasar kehidupan yang kooperatif, kerjasama dan bantu-membantu, bukan berlawan semata-mata. Bagaimanapun orang kidal berdepan cabaran untuk hidup dalam dunia yang dikuasai orang bertangan kanan dominan, dan peralatan banyaknya dicipta bukan untuk orang-orang kidal. Kerana ini mereka sering berdepan kegagalan dan kecelakaan, lama-kelamaan tidak mustahil untuk populasi kidal ini pupus.

Jika kita dapat membaca dan meramal agihan golongan kidal dalam populasi umum, juga memadankan data dari pelbagai bidang sukan, ia menunjukkan bahawa golongan kidal membawa keseimbangan dalam dunia yang penuh dengan orang bertangan kanan, walaupun mereka adalah komuniti yang kecil.

*Sumber: Youtube TED-Ed


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu